Ahad, Januari 04, 2015

Nutella Cheese Toast Sandwich

Gloomy day? Not for me! Hehehe pagi Ahad mood ceria sampai ke langit lepas sarapan. 😊 Hari ini saya usahakan apa yang ada di dalam peti sejuk sahaja untuk buat hidangan sarapan. Gara-gara malas bersiap untuk keluar.


Alhamdulillah. Inilah hasilnya - Nutella Cheese Toast Sandwich. Roti bakar keju bersapu Nutella.

Nutella Cheese Toast Sandwich

Senang sahaja cara untuk menyediakan hidangan roti bakar keju ini. 

Bahan-bahan yang diperlukan - roti potong, keju keping (saya guna jenama Mother’s Choice), parsley dan sapuan Nutella. Jika hendak guna sapuan coklat atau mentega kacang pun boleh. Tiada daun parsley, gantikan dengan hirisan daun bawang. Then, of course kita perlukan sandwich maker.


Dalam proses … 😊

Ambil dua keping roti. Di atas salah satu roti, letakkan keju keping dan taburkan hirisan daun parsley sesuai selera. Katup dengan roti yang satu lagi. Boleh juga sapu sedikit mentega pada bahagian dalam dan luar roti, tapi saya tidak letak :) 

Kemudian, bakar roti menggunakan sandwich maker. This will take about 2 or 3 minutes (depends on your sandwich maker). Setelah siap, sapukan bahagian luar roti dengan Nutella semewahnya. 

Potong kepada dua bahagian. Sedia untuk dinikmati!

Alhamdulillah. Sedap dan yang penting, mengenyangkan! Rasa lemak keju yang mencair pada roti bakar garing, ditambah pula dengan sapuan coklat kacang hazel… memang betul-betul menyelerakan.

Sarapan yang berbaloi untuk memulakan hari dengan ceria. 😊

Have a blessed Sunday!

Sabtu, Januari 03, 2015

Ingin Jadi 'Ikhwan' yang Dirindui oleh Rasulullah

Assalamu'alaikum,
Selamat berhujung minggu.
Kita bertuah di minggu pertama tahun ini. Selain dapat berehat, kita juga berpeluang meraikan sambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ada yang terlibat dengan perarakan tak hari ini?


Semoga dengan ada sambutan sebegini saban tahun, kita sebagai satu ummah dapat terus mengenang baginda, menyanjungi baginda dan menjadikan baginda Rasulullah sebagai role model kita. Bukan pada hari ini sahaja kita perlu mengingati baginda, malah tiap-tiap hari. 

Saya terpanggil untuk kongsi petikan kisah menarik ini.

Pernah suatu hari, ketika Nabi Muhammad s.a.w. berbual-bual dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan beberapa sahabat yang lain, baginda menyuarakan hasratnya.

“Wahai Abu Bakar, aku amat rindu untuk bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan).”

“Wahai Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudaramu?” soal Saidina Abu Bakar kepada baginda.
“Bukan,” jawab Rasulullah. “Kamu adalah sahabat-sahabatku."

Kemudian, baginda menerangkan, "Saudara-saudaraku (ikhwan) ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua."

Bertuahnya kita menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. Saya ingin berada dalam kalangan ikhwan (or ikhwah) yang dirindui oleh Rasulullah. Kalau boleh biarlah ahli keluarga, saudara mara, kenalan dan sahabat handai juga tergolong dalam kumpulan yang sama. Bagaimana? Kita mulakan dengan sesuatu yang berskala kecil tetapi dengan istiqamah. Antaranya:

  • Biasakan lidah mengucapkan 'Sallallahu 'alaihi wassalam' setiap kali mendengar nama baginda. Lentur kelaziman ini pada anak-anak sejak mereka kecil lagi.
  • Banyakkan berselawat ke atas nabi.
  • Adakan perhiasan atau objek (Contohnya bingkai nama Nabi Muhammad, carta salasilah keluarga baginda) di rumah/sekolah/pejabat yang boleh mengingatkan kita kepada Rasulullah. Setiap kali terpandang perhiasan atau objek ini, berselawatlah sebagai tanda ingatan kepada baginda.
  • Amalkan sunnah-sunnah Rasulullah. Saya ada seorang teman yang meletakkan target untuk belajar satu sunnah Rasulullah setiap hari. Kemudian cuba mengamalkannya bersama amalan sunnah lain yang telah diketahui.
  • Baca buku-buku mengenai riwayat hidup Rasulullah dan perjuangan baginda. Terapkan sifat-sifat mulia baginda dalam diri kita, anak-anak dan ahli keluarga.

Harap perkongsian tidak seberapa ini bermanfaat buat kita semua :)


Jumaat, Januari 02, 2015

Resepi Mudah - Ayam Sambal Cili Api

Siapa yang suka makan pedas? Ini resepi untuk anda. Ayam Sambal Cili Api. Berdesupppppp rasanya ;)

Ayam Sambal Cili Api

Resepi Ayam Sambal Cili Api

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 350g ayam (atau lebih mengikut keperluan hidangan) - lumurkan dengan garam dan kunyit, goreng dan ketepikan.
  • Segenggam cili api (kisar)
  • 5 batang cili hijau (kisar)
  • 1 biji bawang besar (potong dadu)
  • 2 - 3 sudu besar cuka
  • garam secukup rasa
  • minyak untuk menumis

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar. Masukkan cili yang dikisar dan tumis hingga masak.
  2. Masukkan cuka. Rasa kemasamannya. Jika perlu, tambah lagi sedikit cuka.
  3. Perasakan dengan garam.
  4. Gaulkan dengan ayam yang telah digoreng. Sedia untuk dimakan.

Saya gunakan cili hijau untuk dapatkan elemen rasa sambal hijau dalam hidangan ini. Jika anda tidak mahu sambal yang pedas, boleh tukarkan penggunaan cili api kepada cili hijau sepenuhnya.