Selasa, Januari 25, 2022

Nasi Goreng Sardin Tak Cukup Sepinggan

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Lama juga saya tidak bersiaran di blog ini. Sebenarnya, minggu lepas pergi cuti-cuti. Kononnya nak berehat. Cuti dekat-dekat sini je. Tak ke mana pun. Duduk di dalam bilik, baca novel, layan filem dan TV shows, cukup waktu turun pergi makan, jalan-jalan ambil angin, mengopi, ulang. Tak fikir pasal kerja, tak fikir pasal blog. Bila masuk tower, boleh buat-buat terkejut pula, "Lamanya aku tak masuk blog?" 😂

Cerita cuti-cuti cerita lain kalilah. Hari ini cerita tentang nasi goreng sardin yang sedap, menyelerakan sehingga makan bertambah-tambah. Tak cukup kalau cuma sepinggan. Hahaha ayat bukan main lagi! Saya yang masak, kalau tak sedap pun kena mengaku sedap juga. Kira masuk bakul angkat sendirilah ni.

Ala, dah nama pun lauk sardin, apa yang tak sedapnya, kan? Buatlah hidangan apa sekali pun, sandwic, gulai, pasta, nasi goreng ... asal ada sardin mesti laku.

Buka peti sejuk, ada dua tiga ketul ikan sardin lebihan sambal sardin lauk semalam. Masa untuk nasi goreng sardin! Saya memang gemar nasi goreng. Rasa-rasa malas fikir hendak masak apa, nasi goreng jadi pilihan utama. Pelbagai olahan nasi goreng boleh disediakan hanya dengan menggunakan bahan yang minima. Campak-campak pun jadi!


Nasi Goreng Sardin

Ahad, Januari 16, 2022

Kacang Kuda Sos Korea Adabi

Assalamualaikum. Salam Ahad! Selamat bersantai dan beristirahat.

Belakangan ini memang tidak sempat hendak masuk blog. Saya sibuk bantu beberapa orang pelajar buat persediaan untuk peperiksaan IGCSE. Dengan saya kena belajar sekali. Hari ini baru ada kelapangan intai blog.  Insya-Allah, kalau mata ini tidak berat dapatlah saya blogwalking sebentar lagi.

Kalian suka makan kacang kuda rebus tak? Biasa makan begitu sahaja atau yang berperasa dan bersira? Kalau suka makan kacang kuda, apa kata cuba buat kacang kuda rebus guna Sos Korea Adabi. Ya, kita guna Sos Korea Adabi. Lebih kurang macam kacang kuda pedas yang kita buat dengan cili giling cuma yang ini ada sentuhan rasa Korea. Best

Asalnya saya sedang kemas-kemas stok barang masak di dapur. Jumpalah satu pek Sos Korea Adabi. Dah lama beli konon-konon nak buat ayam goreng korea. Tetapi, setiap kali masak hidangan ayam, tahu-tahu sediakan menu ayam lain pula. Ayam geprek la ...ayam goreng mamak la ... . Sudahnya terbiar sepi sahaja pek sos ini di dalam almari.

Kebetulan saya baru lepas rebus kacang kuda untuk snacking. Lazimnya, saya makan kacang kuda rebus begitu sahaja tanpa garam atau perasa lain kalau time gatal gigi nak mengunyah. Tidak pun, jika ingin ubah selera, saya tumis sedikit bawang dan daun kari, letak sedikit garam dan gaulkan kacang kuda yang telah direbus. Dahulu, masa kecil-kecil Cekebon selalu buat begini. Memang penuhlah mulut saya makan. 

Kacang Kuda Rebus Bersalut Sos Korea Adabi



Apa itu Cold Brew Coffee

Makluman: Ini entri lama yang secara tidak sengaja statusnya jadi draf.  Saya terbitkan semula. 

Pernah cuba cold brew coffee?

Kopi Bru Sejuk

Ini percubaan pertama saya. Selama ini, setiap kali teringin menikmati kopi bru sejuk (cold brew coffee), saya akan fikir dua tiga kali. Kononnya malas hendak menunggulah, kena ada kesabaran tinggilah ... Hahaha, jikalau hendak seribu daya, bukan? Okey, sebelum itu, mari kita belajar sedikit apa itu cold brew coffee dan mengapa proses bru yang ini berbeza dengan hot brew coffee.

Kebiasaannya, apabila kita hendak bancuh atau bru kopi kita akan guna air panas. Ini kita panggil hot brew. Haba panas yang kena pada serbuk kopi akan keluarkan minyak pada serbuk kopi tersebut. Dari situlah datangnya rasa pahit-pahit kopi. Sifatnya akan jadi berasid. Jadi, itulah sebabnya sesetengah orang alah pada kopi sebab tak tahan dengan keasidannya.

Cold brew coffee berbeza kerana kopi dibru menggunakan air sejuk atau air pada suhu bilik. Tetapi, proses penyediaan kopi bru sejuk mengambil masa lebih kurang satu hari satu malam! Kita bru kopi dalam tempoh 12 - 24 jam. Maknanya, kalau tiba-tiba rasa teringin cold brew coffee, bertindak segera rendam kopi hari ini supaya dapat minum pada esok hari.