Rabu, Februari 17, 2021

Labu Goreng

Ingat lagi tak sebelum ini saya ada cerita yang saya teruja beli labu bersaiz besar untuk dibuat masak? Selain buat gulai labu, cucur labu, kopi labu (nanti saya kongsi resepi), saya juga sediakan labu goreng untuk minum petang. Cara penyediaan memang mudah. Rasanya sedap, rangup di luar, lembut manis di dalam. 

Jom tengok resepi!


Resepi Labu Goreng

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1/4 - 1/2 biji labu manis (bergantung kepada saiz, dikupas kulit dan dihiris nipis)
  • 1 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • sedikit serbuk kunyit
  • garam secukup rasa
  • air secukupnya 
  • minyak masak secukupnya untuk menggoreng jeluk (deep fry)


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Campurkan tepung, serbuk penaik, serbuk kunyit dan garam. Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga membentuk bater yang tidak terlalu pekat dan tidak juga terlalu cair.
  2. Panaskan kuali dan minyak masak. Celup hirisan labu ke dalam bater dan goreng selama beberapa minit sehingga gorengan bertukar kekuningan. Jangan lupa balik-balikkan labu agar gorengan sekata.
  3. Angkat. Tus minyak dan sedia untuk dihidangkan.

Mudah, bukan? Sebenarnya tak perlu ikut sangat sukatan di atas. Jika kalian ada resepi sendiri untuk bancuhan bater atau hendak guna tepung goreng yang sedia ada di pasaran, terserah selera. Cuma pastikan minyak betul-betul panas semasa menggoreng kerana kita tidak mahu labu tu serap minyak berlebihan pula.


Inginkan kelainan? Boleh cuba labu goreng bersalut serbuk roti. Resepi labu goreng versi ini boleh disediakan menggunakan air fryer.


Resepi Labu Goreng Bersalut Serbuk Roti

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1/4 - 1/2 biji labu manis (bergantung kepada saiz, dikupas kulit dan dihiris nipis)
  • 1 - 2 biji telur
  • 1 - 2 sudu besar tepung gandum
  • garam secukup rasa
  • serbuk roti secukupnya
  • minyak masak secukupnya untuk menggoreng jeluk (deep fry)

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Pecahkan telur. Pukul sedikit telur (sehingga kuning dan putihnya bersatu) bersama tepung dan garam. 
  2. Celupkan hirisan labu ke dalam bancuhan telur dan tepung, kemudian salut sekata dengan serbuk roti. Ulang proses sehingga habis.
  3. Goreng sehingga hirisan labu bertukar kekuningan. Jika menggunakan air fryer, masak pada suhu 180 darjah celcius dan laraskan masa mengikut air fryer masing-masing.
  4. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!


Isnin, Februari 15, 2021

eCaque Fruit Cake by Faridah Borham

Penggemar-penggemar kek buah mari merapat! Hari ini saya hendak cerita tentang kek buah yang baru-baru ini saya makan. eCaque Fruit Cake by Faridah Borham. Cekengah yang belikan untuk saya. Alhamdulillah, merasalah makan kek buah. Kalau harapkan saya, dua tiga bulan ini saya on genjatan shopping online. Hahaha hanya barang perlu sahaja boleh beli. Kehendak atau benda yang simply teringin atau terliur, abaikan. Jika tidak, jari tu laju je tekan butan 'Add to Cart.' 😆 Lagi-lagi makanan dan barang kraf!

OK, berbalik kepada kek buah tadi. Dalam keluarga saya, semua memang suka kek buah. Jadi, apabila dapat makan kek buah yang betul-betul sedap, kena dengan selera memang gembira tak terkata. Senyum sampai telinga!

Inilah kek buah Faridah Borham yang saya maksudkan. Tengok pembungkusan je saya dah tergoda. Cantik! Sesuai untuk buat gift, dah cukup presentable. Dalam otak siap fikir, packaging boleh guna buat kad atau bookmark ni hehehe

Sabtu, Februari 13, 2021

Journal Embellishments | Hiasan untuk Jurnal

Minggu ini saya kembali sibuk membungkus hiasan kraf (crafts embellishments) yang saya buat. Embellishments ini adalah untuk kegunaan menghias jurnal, planner dan scrapbook. Sebelum ini dek kerana sibuk melunaskan urusan lain, penjualan barang saya di Carousell tergendala. Saya tidak sempat langsung untuk update hiasan kraf baharu. Buyer hendak berurusan pun kena minta tangguh.

Makanya semalam, sambil-sambil siapkan tempahan kad ucapan, sepanjang hari saya berada di dalam bilik kraf. Ambil gambar produk untuk listing di Carousell. Pack mana yang patut. Siap-siapkan barang yang perlu dipos kepada pelanggan. Musim PKP ini saya hanya buat urusan pengeposan dua minggu sekali. Tidak berani hendak berlama-lama di luar.

Saya memang akan buat pek mini hiasan kraf mengikut tema. Saya akan kumpul bahan-bahan ikut tema tertentu daripada koleksi material kraf saya supaya dengan satu pek itu sahaja, pembeli boleh hias lembaran jurnal atau buku skrap mereka tanpa perlu bazir duit untuk beli banyak paper pack dan embellishments yang berbeza. Jimatlah sedikit.

Jom tengok sebahagian daripada listings baharu saya.


Hitam Putih

Khamis, Februari 11, 2021

Bombolini Fluffy Sungai Buloh

Sesekali, saya dan Bott memang gemar reward diri dengan donut atau bombolini. Tak boleh selalu, puas nak bunuh kalori nanti. Kebiasaannya, apabila kami rasa banyak urusan yang berjaya diselesaikan untuk bulan itu, barulah berbaloi beri ganjaran manis buat diri.

Jika sebut tentang bombolini, pilihan bombolini pastilah Bombolini Fluffy Sungai Buloh. Inilah bombolini yang mula-mula tular dua tiga tahun dahulu. Masa tu saya memang tak pergi langsung. Pandang dengan ekor mata je sebab tak tahan nak beratur panjang. 

Di sini dan kawasan sekitar memang ada banyak gerai atau kedai yang menjual bombolini sejak orang kita pandai makan donut bulat berkrim pastri yang berasal dari Itali ini. Tetapi, saya hanya berani beli Bombolini Fluffy Sungai Buloh by Izzah sahaja. Yang lain saya tak yakin. Kenapa? Sebab kadang-kadang ada yang tak macam bombolini rasanya; ada yang sampai gagal dikenal pasti perisa apa (sebab manisnya kusmangat dah menyengat sampai ke kepala!); ada yang 'kempislini' hahaha.

Empat sebab mengapa saya suka Bombolini Fluffy Sungai Buloh