Sekitar penghujung April yang lalu, kumpulan Rabbani melancarkan lagu baharu mereka yang bertajuk Mencintaimu. Lama juga tidak mendengar karya baharu mereka setelah Santun, lagu penyertaan mereka dalam APNI.
Mencintaimu mengajak kita untuk mengenang dan menyuburkan lagi rasa cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W. Melalui lagu ini juga, kumpulan Rabbani bekerjasama dengan Pondok AlBari' untuk mengumpul dana sebanyak RM800,000 untuk menyiapkan pondok pengajian, madrasah dan musolla. Ustaz Ridhwan dari Pondol AlBari' turut menyumbangkan suara untuk lagu ini.
Klip video Mencintaimu boleh ditonton di Youtube. Jika ada yang berminat untuk menghulurkan sumbangan kepada Pondok AlBari', segala maklumat dan butiran ada di sana. Mudah-mudahan melalui usaha ini, Madrasah Pondok Pengajian AlBari’ dapat segera didirikan dengan sempurna.
Sentuhan segar tetapi tetap menyentuh perasaan.
Bagi saya, antara tarikan lagu ciptaan Daqmie dan Ustaz Neezam AlBanjari/Jart Hassan ini ialah susunan muziknya yang segar, dapat memikat cita rasa pendengar pelbagai lapisan usia. Kerancakan bahagian korusnya akan menggamit kita untuk sama-sama berselawat. Mesej yang terkandung dalam lirik juga jelas dan mudah sampai kepada semua.