Isnin, Oktober 11, 2021

Perencah Nasi Daging Nasi Briyani Iman

Sewaktu terima kiriman ini, punyalah saya gembira. Rezeki dapat sebungkus asam keping, Perencah Nasi Daging dan Perencah Nasi Briyani Iman. 

Bott apabila ternampak je perencah nasi daging tu, terus dia kata hendak buat nasi bukhari. Sebelum ini memang pernah masak menggunakan perencah nasi daging jenama Iman. Selain nasi daging dan nasi beriani, ada juga perencah untuk nasi tomato. Yang dua lagi tu saya belum pernah cuba. Perencah nasi daging pula, saya tidak buat nasi daging hidangan tradisi dari utara yang popular tu. Sebaliknya, guna untuk buat nasi bukhari ayam.

Ahad, Oktober 10, 2021

Gara-gara BTS dan Semesta Mereka

Assalamualaikum. Salam Santai Ahad. Salam 1010. Cantik tarikh hari ini, kan?

Sudah beberapa hari tidak masuk blog. Pagi Ahad biasalah saya luangkan masa di bilik kraf. Hari ini kena jana idea untuk tunaikan permintaan seorang pelanggan dari Singapura. Ingat lagi Projek Soldadu saya yang menggunakan pembungkusan BTS Meal? Baca mengenainya di sini. Pelanggan ini berkenan dengan hasil kerja saya.

Jadi, bersempena dengan hari lahir puteri tunggalnya yang bakal tiba hujung Oktober nanti, dia hendak hadiahkan sesuatu yang BTS-related. Disebabkan BTS dan Coldplay baru lancarkan My Universe (ketika entri ini ditulis, klip video My Universe sudah mencecah 56 juta tontonan di Youtube), tentu-tentulah tema Semesta yang diinginkan.  

Pada awalnya, saya terpaksa tolak kerana ada ada beberapa tugasan kerja + projek kraf tempahan orang yang perlu disiapkan. Bincang punya bincang, akhirnya saya setuju untuk bantu beri idea dan terlibat dalam proses-proses awal sahaja. Yang ini tidak menuntut komitmen sangat. Selebihnya, akan diserahkan kepada pihak perancang majlis yang diupah di sana.


Gara-gara BTS dan Semesta mereka, pagi-pagi saya dah memerah otak. Masalahnya, sudah agak lama saya di sini, idea yang dinanti tidak kunjung tiba. Entah mengapa hari ini bangun pagi macam tak ada mood. Sel-sel otak enggan berhubung! Dah macam-macam video BTS saya tengok. Iklan BTS jadi duta Coway pun dah banyak kali ulang. 😅

Lazimnya apabila mencari idea, saya akan pusing keliling bilik kraf, cari barang-barang yang sesuai dan boleh digunakan. Apa yang ada, apa yang perlu dibeli. Dari situ, baru pilih dan padan. Tengok kena atau tidak. Bertepatan dengan tema atau sebaliknya.


Kemajuan saya yang tak berapa nak maju setakat ini ... 🤪

Proses awal Semesta BTS

Jumaat, Oktober 08, 2021

Nissin Ramen Tokyo Shoyu

Ini entri selongkar pantri. Biasalah apabila cuaca bertukar-tukar, sekejap panas sekejap sejuk ... yang malar tidak bertukar cuma selera dan hala langkah saya sahaja. Laju menapak pergi dapur selongkar pantri tengok apa yang boleh dimakan atau dibuat kunyah-kunyah.

Penemuan saya untuk kali ini - Sepek Nissin Ramen Tokyo Shoyu. Interesting! Ada yang pernah makan tak?

Nissin Ramen Tokyo Shoyu

Khamis, Oktober 07, 2021

Buat Pelekat Hiasan untuk Junk Journal

Ini sebenarnya aktiviti malam hujung minggu saya yang lalu. Sambil-sambil tonton drama di Viu, tangan berjalan buat pelekat (sticker) untuk dijadikan hiasan jurnal dan planner. Saya cap imej-imej cantik menggunakan cap getah di atas kertas pelekat. Kemudian, potong satu demi satu. 

Saya buat pelekat hiasan bertema vintage, retro ala-ala antik. Bagi saya ini antara tema hiasan yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Sentiasa ada permintaan dan kita sendiri boleh pelbagaikan penggunaannya. Sudah terbayang-bayang dah di kepala untuk guna pelekat-pelekat ini sebagai penyeri lembaran junk journal saya.

Saya hanya menggunakan kertas pelekat, dakwat hitam dan stamps yang dirasakan sesuai dengan tema ala-ala vintage

Antara cap yang jadi pilihan ialah cap getah bunga dan mesin taip yang saya beli secara preloved di bawah ini.