Memaparkan catatan dengan label Roti oh Roti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Roti oh Roti. Papar semua catatan

Sabtu, April 25, 2015

French Toast 2 Minit

Di rumah. Petang Sabtu tidak ke mana-mana. Hujan. Time hujan lebat begini, mulalah perut rasa menggigit minta diisi. Nak buat kerja apa pun jadi serba tak kena. Maka, terhasillah French Toast 2 Minit di dalam Mug saya :) 

French Toast in a Mug

Nak sediakan French Toast versi di dalam mug ni tersangatlah mudah. Yang penting kena ada microwave di rumah ye. Tak ada microwave, kita kena buat French Toast atas frying pan, the traditional way.

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 2 - 4 keping roti (bergantung pada saiz mug). Saya gunakan 3 keping roti untuk 2 mug sederhana besar.
  • 1 biji telur 
  • 3 - 4 sudu susu segar. Susu yang bancuh pun tak mengapa. Asalkan dalam bentuk liquid. Jangan letak susu tepung pulak.
  • Serbuk kayu manis mengikut citarasa
  • Sirap mapel atau madu mengikut citarasa


Cara-cara Penyediaan:
  1. Potong dadu roti. Kalau malas, siat-siatkan dan masukkan ke dalam mug. Jangan mampatkan.
  2. Pukul telur, susu dan serbuk kayu manis hingga ketiga-tiganya tergaul sekata. Tuangkan adunan telur ke dalam 2 mug tadi sama rata. Tekan-tekan sedikit bahagian atas roti supaya potongan-potongan roti dapat menyerap adunan telur.
  3. Masukkan ke dalam microwave dan masak selama 1 - 1.30 minit. Masa bergantung pada kepanasan dan suhu microwave. Buat 1 minit dulu, keluarkan. Jika telurnya masih belum masak. Tambah 20 - 30 saat lagi.
  4. Setelah masak, taburkan sedikit lagi serbuk kayu manis dan curahkan sirap mapel atau madu. Nikmati dengan senyuman :)





Sabtu, Februari 07, 2015

Roti Hitam

Selamat pagi! Selamat berhujung minggu!

Roti Hitam

Roti Hitam ala Dayang Senandung ni menu sarapan beberapa hari lepas. Adik lelaki saya yang beri. Dia beli di bakery mana tah. Saya reheat, makan cicah dengan minyak zaitun dan butter. Breakfast style omputih la konon-kononnya. Cekebon lagi advanced. Dia ambil beberapa keping, celup dalam telur dan goreng.  

 "Tak pernah ibu tengok roti legam macam ni, kak," komen Cekebon. Tapi laju gak beberapa potong roti tu masuk perut. Hihihi...yang istimewa tentang roti ni hanya warna arangnya. Rasa macam roti loaf biasa yang jenis dry tu.

Pagi ni saya kena berkurung dalam bilik kraf siapkan tempahan kad dan buku skrap. Insya Allah, akan drop by teratak kalian mana yang sempat. Take care. Enjoy your weekend!


Jumaat, Januari 30, 2015

Cekodok Roti CT Humairah

Dalam entri Resepi Cucur Roti Berkeju saya, Dik CT (Siti Yang Menaip) ada kongsikan version cucur rotinya.

Komen CT :)

Baca tang rangup macam kulit aiskrim tu sungguh menggoda, OK. Jadi, bila ada lebihan roti, memang Cekodok CT ni lah yang pertama sekali terlintas di kepala. Saya gunakan susu rendah lemak, marjerin instead of butter,...dan selepas blend roti tu saya tambah sedikit carikan-carikan roti untuk bagi tekstur pada bater. Perasakan dengan garam. Goreng!

Tattadaaaaaaa! 

Khamis, Januari 22, 2015

Kerepek Roti Canai

Menu ni akan 'muncul' di rumah apabila ada lebihan roti canai. Kebiasaannya, apabila adik-adik saya bawa Cekebon pergi 'breakfast date' di restoran mamak kegemaran Cekebon dan saya tak ikut sama, mereka akan tapaukan roti canai untuk saya. Tetapi, adik-adik risau saya tak cukup makan kot,..tapau roti macam cukup untuk stok dua tiga hari! Terlebih sudah! Berapa keping sangatlah saya mampu makan. Alih-alih masuk peti sejuk. Berhari-harilah kat dalam tu.

Jadi, apabila bersih-bersihkan peti sejuk,..maka terhasillah Kerepek Roti Canai!

Kerepek Roti Canai
Senang je nak buat. Roti canai yang ada tu dipotong kecil memanjang. Kemudian, goreng dengan minyak yang panas sehingga garing. Tuskan gorengan. Tabur dengan sedikit gula dan gaul sekata. Selalunya saya goreng guna minyak jagung atau minyak canola. Kononnya health conscious-lah hehehe.

Best tau! Rangupppp! Rasanya ala-ala kuih tiram. Oh, bagi yang ada roti canai frozen/instant pun boleh buat kerepek roti canai terlebih sudah ni :)


Ahad, Januari 04, 2015

Nutella Cheese Toast Sandwich

Gloomy day? Not for me! Hehehe pagi Ahad mood ceria sampai ke langit lepas sarapan. 😊 Hari ini saya usahakan apa yang ada di dalam peti sejuk sahaja untuk buat hidangan sarapan. Gara-gara malas bersiap untuk keluar.


Alhamdulillah. Inilah hasilnya - Nutella Cheese Toast Sandwich. Roti bakar keju bersapu Nutella.

Nutella Cheese Toast Sandwich

Senang sahaja cara untuk menyediakan hidangan roti bakar keju ini. 

Bahan-bahan yang diperlukan - roti potong, keju keping (saya guna jenama Mother’s Choice), parsley dan sapuan Nutella. Jika hendak guna sapuan coklat atau mentega kacang pun boleh. Tiada daun parsley, gantikan dengan hirisan daun bawang. Then, of course kita perlukan sandwich maker.


Dalam proses … 😊

Ambil dua keping roti. Di atas salah satu roti, letakkan keju keping dan taburkan hirisan daun parsley sesuai selera. Katup dengan roti yang satu lagi. Boleh juga sapu sedikit mentega pada bahagian dalam dan luar roti, tapi saya tidak letak :) 

Kemudian, bakar roti menggunakan sandwich maker. This will take about 2 or 3 minutes (depends on your sandwich maker). Setelah siap, sapukan bahagian luar roti dengan Nutella semewahnya. 

Potong kepada dua bahagian. Sedia untuk dinikmati!

Alhamdulillah. Sedap dan yang penting, mengenyangkan! Rasa lemak keju yang mencair pada roti bakar garing, ditambah pula dengan sapuan coklat kacang hazel… memang betul-betul menyelerakan.

Sarapan yang berbaloi untuk memulakan hari dengan ceria. 😊

Have a blessed Sunday!

Khamis, Disember 18, 2014

Roti Bawang Putih Pejam Mata

Garlic Bread

Haaa...pagi-pagi dah buat entri makanan. Inilah hidangan minum petang saya semalam. Kan kononnya tengah edit-edit dokumen, tiba-tiba rasa lapar datang. Tapi, saya tak makan dengan sup cendawan. Makan begitu je krup krap krup krap.

Tengah feeling-feeling santap roti ni, tiba-tiba ada tetamu la pulak. Kak Wa, salah seorang parents kepada anak murid saya, datang nak tanya tentang kelas untuk tahun depan. Heheheh Kak Wa ni mesti 'windu' sama saya,..siap datang rumah lagi. Padahal selalu tu boleh calling-calling je ;)

Langkah kanan Kak Wa petang semalam. Jamu dia minum petang sama-sama. 

"Kau buat ni Farrah?"
"Mmm."
"Pandainya ko! Bukan remeh ke nak buat roti ni?"
"Senang je kak. Akak beli roti perancis tu. Tumbuk 3-4 ulas bawang putih, masukkan minyak zaitun/marjerin, garam sedikit. Sapu kat roti. Tabur parsley. Bakar." 

Kemudian, saya terangkan kat Kak Wa variasi resepi mudah garlic bread yang boleh dibuat.

"Ohhhh senang je rupanya! Mati-mati akak ingat leceh. Pejam mata pun boleh buat!"

Amboi, kak! Tak sesuai pejam mata kat dapur kot! Hahaha so, tataplah 'Roti Bawang Putih Pejam Mata' saya  :) Have a great day!


Rabu, Oktober 01, 2014

Epok-epok Roti

Epok-epok Roti

Ingat lagi entri saya mengenai Lauk Sengkuang dan Cendawan Shitake Masak Tumis? Lauk yang berbaki, saya tidak buang. Sayang… jadi saya buat switch-up recipe - Epok-epok roti inti sengkuang dan cendawan.

Jumaat, September 26, 2014

Peanut Butter French Toast untuk Sarapan

Selamat Hari Jumaat, semua! Dah sarapan? Makan apa? Hari ni saya buat french toast untuk sarapan (yang lebih kepada brunch sebenarnya). Tetapi, ini bukan french toast biasa. Ada filling peanut butter di dalamnya :) 

Tidak cukup itu, lapisan luar disalut pula dengan oat. Rangup emping oat di bahagian luar roti … peanut butter yang meleleh keluar … memang lazat dan mengenyangkan! 

Jom intai resepi french toast mentega kacang di bawah. Mana tahu bakal jadi salah satu hidangan sarapan kegemaran kalian pula.


Peanut Butter French Toast with Oat

Peanut Butter French Toast with Oat (Portion for 1-2 pax)

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 biji telur
  • 4 keping roti (Saya guna roti fibre.)
  • Mentega kacang yang secukupnya (Kebetulan di rumah ada mentega kacang berlapis dengan coklat)
  • 3 sudu besar instant oat
  • 2 sudu besar susu (Kalau tak letak pun tak apa)
  • Secubit garam jika mahu. (Saya tak letak pun.)
  • Sedikit mentega/marjerin untuk menggoreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Ambil dua keping roti. Sapukan mentega kacang pada roti semewahnya. Kapit roti kemudian potong kepada dua bahagian. Lakukan yang sama pada baki dua keping roti lagi.
  2. Pukul sedikit telur + garam (jika menggunakan garam).
  3. Ratakan instant oat di atas piring.
  4. Celup roti ke dalam telur. Kemudian, letak roti di atas piring dan sadurkan sehingga semua bahagian dilitupi dengan oat.
  5. Panaskan kuali leper. Letakkan sedikit mentega atau marjerin. Masak roti di atas kuali leper selama 2 - 3 minit. Terbalikkan roti dan masak sisi yang satu lagi untuk tempoh yang sama. 
  6. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!



Isnin, Ogos 18, 2014

Roti Telur Kayu Manis

Malam tadi kena stay-up sekejap untuk siapkan kerja. Tiba-tiba perut meraung minta diisi. Aisy...laparlah pula! Terus masuk dapur buat roti telur kayu manis untuk supper.

Roti telur kayu manis.


Resepi Roti Telur Kayu Manis (untuk 1-2 orang)

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 3 keping roti (belah dua)
  • 1 biji telur
  • 2 sudu besar susu (Kalau tidak mahu letak susu pun tidak mengapa)
  • secubit garam
  • sedikit serbuk kayu manis. Banyak mana tu ikut cita rasa. Jika inginkan rasa kayu manis yang lebih ketara, letaklah lebih sedikit.
  • sedikit minyak sayuran/ minyak zaitun/ mentega atau marjerin untuk goreng roti di atas kuali leper.

Cara Penyediaan:

  1. Kacau rata telur, susu, garam dan serbuk kayu manis dalam sebuah mangkuk.
  2. Panaskan kuali leper. Letakkan sedikit minyak/marjerin atau mentega.
  3. Celup roti ke dalam adunan telur tadi dan goreng hingga kedua-dua sisinya masak.
  4. Sedia untuk dihidang. Kalau nak lebih sedap, taburkan sedikit gula kasar di atas roti. Tetapi, saya lebih suka makan macam tu je :)

Okey, selamat memulakan minggu baru!


Rabu, Mac 12, 2014

Buat Garlic Bread | Roti Bawang Putih Mudah

Ini aktiviti pagi semalam. Saya buat stok roti bawang putih (garlic bread) untuk family. Jadi, siapa yang lapar, can simply grab one stick, bakar and nom...nom...nom...


Hari sebelumnya, saya beli 2 batang baguette. Untuk buat garlic bread, setiap satunya saya belah kepada 4 bahagian. Setiap bahagian pula saya potong kepada belahan kecil ala-ala garlic bread seperti di Pizza Hut tu. Jika mahu dapatkan potongan yang cantik, guna serrated knife tau. Kemudian, sapukan 'garlic spread' pada belahan roti. Balut dengan kerajang aluminium (aluminium foil) dan simpan dalam freezer. Bila teringin nak makan, keluarkan dan bakar je dalam oven. Senang, bukan?


Resepi Roti Bawang Putih | Garlic Bread

Ada banyak cara buat roti bawang putih. Di bawah ini ada beberapa resepi mudah garlic bread yang biasa saya buat.

Pilihan 1

  • Sebarang roti ikut citarasa
  • Beberapa siung bawang putih (tumbuk hingga hancur/cincang hingga halus)
  • Beberapa sudu besar mentega/marjerin
  • Daun parsley (cincang halus)

Cara penyediaan:
  • Gaul rata bawang putih dengan mentega/marjerin.
  • Sapukan pada roti.
  • Taburkan sedikit daun parsley dan bakar.

Pilihan 2 (Lebih sihat kerana kita guna minyak zaitun)

  • Sebarang roti ikut citarasa
  • Beberapa siung bawang putih (tumbuk hingga hancur/cincang hingga halus)
  • Beberapa sudu besar minyak zaitun
  • Daun parsley (cincang halus)
Cara penyediaannya sama seperti di atas


Pilihan 3(Lebih sihat kerana kita guna minyak zaitun/minyak canola)

  • Sebarang roti ikut citarasa
  • Serbuk bawang putih (boleh dibeli di pasar raya di bahagian rempah)
  • Minyak zaitun atau minyak canola

Cara penyediaan:
  • Sapukan minyak pada kedua-dua belah permukaan roti.
  • Taburkan sedikit serbuk bawang putih.
  • Masak menggunakan non-stick pan hingga warnanya bertukar kekuningan.

Jika sekali-sekala nak tukar selera, boleh taburkan sedikit keju parut atau serbuk keju di atas roti sebelum dibakar. Jadilah Roti Bawang Putih Berkeju.




Khamis, Februari 13, 2014

Cinnamon French Toast with Cheese

Dalam usaha saya membersihkan peti sejuk beberapa minggu lepas, terjumpalah beberapa bungkusan roti yang mana setiap satunya masih ada beberapa keping roti. Macam manalah kami di rumah ni makan. 😅 

Kemudian, jumpa pula keju yang Cekengah dah lama beli tetapi dia tiada masa nak makan. Mujurlah belum sampai tarikh luput lagi. 

Sayang tengok roti dan keju tu terbiar begitu sahaja, saya pun buatlah hidangan french toast untuk makan pagi. Bukan french toast biasa-biasa tau… french toast ini diperkaya dengan keenakan dan wangi aroma kayu manis.



Cinnamon french toast with cheese.

Khamis, September 29, 2011

Roti Sardin Goreng

Hari ini Cekebon minta tolong aku buatkan kuih untuk dihantar ke surau. Aku yang yakin semua barang cukup untuk buat kuih main setuju je. Lepas tu buat-buat relaks. Padahal, belum pasti lagi hendak buat kuih apa. 

Balik kerja semalam, langsung tak singgah mana-mana kedai pun. Hari ni... apabila sampai masa nak buat kuih barulah muka tukar jadi biru. Ada saja bahan yang tak cukup! Padan muka aku!

Mula-mula ingin buat onde-onde. Gula melaka, kelapa parut, daun pandan semua dah ada. Yang tak adanya -- TEPUNG PULUT! Aduhai, mana nak jadi onde-ondenya?

Tukar plan, buat apam tepung gandumlah. Tepung, yis, kelapa parut … senang cakap semua bahan ada. Yang tak ada -- loyang atau bekas untuk kukus apam! Pengukus aku kat rumah ni kecil je. Tak ada pula saiz loyang yang padan. Acuan apam yang kecil-kecil pula member pinjam belum pulang. 

Aku ni memang kalau dah masuk rumah, berat dan malas sikit nak keluar kalau setakat untuk beli satu dua barang. So, mata pun mulalah menerawang ke seluruh dapur. Cari apa lagi yang boleh diusahakan jadi benda makan dan yang mudah disediakan. 

Ting! Roti Sardin Goreng. Roti putih memang ada dua buku setengah. Kes terlebih beli. 

Inilah hasilnya! Di bawah ini stok untuk Cekebon dan Cekengah makan. Orang surau punya dah masuk kotak. 

Roti Sardin Gulung

Cara Mudah Buat Roti Sardin Goreng

Untuk sediakan roti sardin goreng mudah saja. Mula-mula, sediakan inti sardin (ikut cita rasa kalian). Masukkan hirisan bawang, hirisan cili, asam limau dan garam secukupnya. Jangan basah sangat inti tu. Kemudian, ambil roti keping. Potong bahagian tepi/kulit tepi roti. Ambil penguli (rolling pin) dan uli roti tu hingga menjadi nipis.

Masukkan inti, gulung dan kemaskan bahagian tepi roti dengan garpu dan sapuan telur. Goreng dengan minyak yang panas 1 - 2 minit atau hingga rangup. Hidangkan dengan sos cili.

*Kulit/tepi roti tu usah dibuang! Simpan di dalam peti sejuk. Nanti kita boleh buat puding roti atau cekodok roti. 😊