Rabu, Januari 12, 2022

Kerepek Ngaku yang Rangup dan Sedap, Tak Henti Mengunyah

Tahun ini hendak buat sendiri kerepek ngaku banyak-banyak! Biar puas makan. Itulah hasrat saya setelah beberapa tahun tidak berpeluang makan kerepek ngaku. Kerepek ngaku ni mudah sahaja cara membuatnya. Tetapi, hendak dapatkan ngaku itu yang sukar. 

Ngaku, tangku atau turut dikenali sebahai China arrowhead ni kira buah bermusim. Setahun sekali je jumpa. Waktu raya Cina beginilah.

Semalam pergi beli barang dapur, berkobar-kobar semangat ingin beli ngaku. Malangnya tiada rezeki. Jangankan buahnya, tonjet (tangkai) ngaku pun tak nampak bayang! Bagi yang kurang jelas bagaimana rupa buah ngaku, ini saya kongsi gambar lama.


Ngaku | Tangku | China Arrowhead 

Isnin, Januari 10, 2022

Buat Roti Jala untuk Sarapan

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu. Pagi ini saya sarapan roti jala. Semalam tengah-tengah buat kerja tiba-tiba pula boleh terlintas hendak makan roti jala.

Lepas Subuh terus masuk dapur. Nak menebar roti, nak buat kari ayam … kuali leper dahlah ada sebuah je di rumah ni. Jadi, makan masa sedikitlah hendak siapkan rotinya.

Alhamdulillah, inilah hidangan sarapan saya.

Roti jala lembut gebu nyum nyumm

Ahad, Januari 09, 2022

Rezeki Sangkut Pagar

Assalamualaikum. Ahad kalian okey tak setakat ini?

Saya dua hari ini duduk di rumah sahaja. Tidak ke mana-mana. Badan rasa macam tak sihat sangat. Jadi, tak perlulah rajin sangat nak merayau. Cubalah cari mood untuk tulis entri.

Rezeki sangkut pagar ini kisah saya semalam. Pagi-pagi lagi apabila tengok cuaca cantik, saya terus grabbed Yuri untuk mandikan dia. Bulu dah macam ambal lunyai saya tengok. Sekali-sekala keliru juga, ini kucing ke tenggiling?

Tengah bergelut mandikan Yuri, tiba-tiba dapat panggilan daripada Khudri, anak jiran lama saya yang datang hantar makanan. Apabila saya cakap saya sedang mandikan Yuri (Bott pula tiada di rumah ketika itu), terus dia gelak besar dan beritahu yang dia sangkut makanan pada pagar. Sebelas tahun jaga kucing seekor ini, usaha memandikan Yuri memang tidak pernah mudah. 

Selesai sesi lencun bersama Yuri (dan kemungkinan besar saya juga berjaya melengkapkan satu sesi kardio), saya keluar ambil makanan. Tersengih-sengih seorang diri apabila lihat apa yang tergantung di pagar rumah.

Lontong Pecal Saujana Utama dan Roti John Ayam

Lontong pecal dan roti John

Jumaat, Januari 07, 2022

Mi Udon Bolognese

Assalamualaikum. 

Nama resepi bukan main fusion lagi, kan? Mi Udon Bolognese. Konon-konon menu kacuk negara matahari terbit dengan Itali. Hakikatnya, ini hidangan leftover. Saya kelaparan. Buat kerja di komputer sampai terlajak waktu makan. Mulalah menyelongkar peti ais tengok lebihan makanan yang boleh dimakan.

Ada beberapa batang sosej ayam yang Cekengah beri. Dia pergi bersarapan di luar, pesan menu Big Breakfast. Memang betul-betul big! Dalam pinggan tu (mungkin boleh tepat lagi dulang hahaha) ada segala macam benda - telur dadar, sosej, chicken slice, beef slice, salami, pepperoni. Belum campur dengan dua tiga jenis roti, dua tiga jenis keju dan jem. Tidak ketinggalan salad. 

Terkejut jugalah Cekengah melihat saiz hidangan. Sudahnya, dia berkongsi makan dengan kawan yang turut memesan menu sama. Bahagian dia, bungkus bawa balik hantar pada Along.

Mula-mula ingat nak buat roti sosej sahaja. Tetapi, takut tak kenyang! Pagi tadi dahlah tidak ambil sarapan berat. Jadi, untuk hidangan merarap yang dah nak membawa ke waktu minum petang, saya masaklah proper meal yang mengenyangkan.

Mi Udon Bolognese