Memaparkan catatan dengan label Menu Sarapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Menu Sarapan. Papar semua catatan

Isnin, Januari 10, 2022

Buat Roti Jala untuk Sarapan

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu. Pagi ini saya sarapan roti jala. Semalam tengah-tengah buat kerja tiba-tiba pula boleh terlintas hendak makan roti jala.

Lepas Subuh terus masuk dapur. Nak menebar roti, nak buat kari ayam … kuali leper dahlah ada sebuah je di rumah ni. Jadi, makan masa sedikitlah hendak siapkan rotinya.

Alhamdulillah, inilah hidangan sarapan saya.

Roti jala lembut gebu nyum nyumm

Jumaat, Disember 31, 2021

Sarapan Tiga Cucur

Assalamualaikum. Ini cerita sarapan pagi tadi. Saya buat cucur labu. Labu yang saya beli minggu lepas masih banyak berbaki. Ingat nak buat lepat labu tetapi perut dah lapar, kita cucurkan sahaja senang. Lepat labu buat lain kali.

Sedang menggoreng cucur, jiran sebelah laung suruh jumpa tepi pagar. Nek P beri cucur pisang. Alhamdulillah. Cucur labu di kuali masih digoreng, dapat pula cucur pisang panas-panas.

Belum sempat masuk rumah, ada motosikal masuk halaman. Jiran lama saya dalam perjalanan hendak ke hospital untuk temujanji sempat singgah bawa buah tangan. Jiran saya baru balik dari kampung. Jadi, banyak jajan yang dibawa untuk kami berdua. Tidak ketinggalan, hidangan sarapan juga. Guess what? Dapat cucur juga! Cucur jagung. 

Cucur jagung, cucur pisang dan cucur labu.

Alhamdulillah, rezeki saya dan Bott bersarapan tiga jenis cucur pagi ini. Nah, berusaha saya susun cucur-cucur dalam piring untuk dimasukkan ke dalam blog! Ni kira kenduri cucur ni. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati. 


Cucur Labu untuk Minum Petang

Disebabkan pagi tadi dah banyak cucur, saya hanya goreng separuh adunan cucur labu saya. Selebihnya, kita jadikan sebagai hidangan minum petang.

Cucur labu kuning

Hendak kongsikan resepi cucur labu, saya agak-agak sahaja sukatan bahannya. Saya main campak-campak, asal lemak manis labu tu terasa dan bater cucur lembut gebu sudah cukup. Insya-Allah, nanti ada rezeki di kesempatan lain saya kongsi resepi cucur labu yang proper. 😊


Psst! Ada yang dah bertolak balik kampung ke tu? Atau pergi cuti-cuti? Jaga diri baik-baik ya.

Sabtu, Disember 11, 2021

Apam Gebu Tak Cukup Satu

Sebelum ini saya pernah kongsi resepi Apam Bakar Kelantan. Memang sedap apam tersebut tetapi ada sesetengah orang kurang gemar kerana terganggu dengan rasa halia dan lada hitam. Jadi, hari ini saya kongsikan satu lagi versi resepi apam bakar yang lebih ringkas tetapi tetap enak, gebu dan lembut teksturnya.


Begini Cara Menyediakan Apam Tepung Gandum yang Gebu

Jika apam bakar Kelantan menggunakan tepung beras dan pisang sebagai asas dohnya, apam gebu ini menggunakan tepung gandum sahaja. Tidak perlu masukkan pisang.


Apam bakar gebu sedia untuk dinikmati.

Selasa, Disember 07, 2021

Nasi Lemak Oat

Pagi tadi saya masak oat untuk sarapan. Sudah siap senduk ke dalam mangkuk, tinggal hendak potong buah sahaja untuk dinikmati bersama oat. Tiba-tiba, jiran sebelah laung dari pagar. Petanda rezeki tu!

Alhamdulillah, kami terima nasi lemak lauk ayam goreng panas-panas. Besar tau portionnya. Boleh buat makan dua kali. Jiran saya lepas geram, tidak puas hati dengan nasi lemak yang dibeli beberapa hari lepas. “Sejak barang naik harga, habis semua tukar resepi! Kurang rasa!”

Ada benarnya. Kelmarin Bott pergi beli nasi lemak kegemarannya di gerai biasa. Terserlah juga kehambaran dari segi rasa. Harga tetap sama cuma sambal tumis tiada ikan bilis, timun satu hiris nipis, kacang goreng dah tiada, telur jadi telur simkad dan ikan bilis guna yang jenis tebal tu. Apa nak buat kan… tentu-tentulah golongan yang berniaga ni terpaksa adjust sana-sini. Dah barang-barang semua naik! Nak puas makan, kenalah masak sendiri. Itu yang jiran kami masak banyak-banyak belanja tetangganya sarapan nasi lemak hari ini.


Nasi Lemak Oat


Ahad, November 21, 2021

Resepi Lempeng Kelapa yang Enak, Lembut dan Berlemak

Sudah agak lama sebenarnya saya buat lempeng kelapa ini untuk hidangan sarapan. Lama peram dalam draf, baru sekarang terhegeh-hegeh buat entri. 

Orang utara panggil peknga nyoq. Saya suka sangat aroma lempeng kelapa yang membangkitkan selera. Wangi satu rumah. Kebetulan, beberapa hari sebelum itu saya masak sambal tumis ikan bilis dan masih berbaki. Terbayang-bayang keenakan lempeng kepala panas yang dicecah dengan sambal tumis. Tak boleh jadi! Memang kena melempenglah jawabnya.

Salah satu tips untuk menghasilkan lempeng kelapa yang enak berlemak adalah dengan menggunakan parutan kelapa sederhana muda. Orang panggil nyiur kulit hidup. Isinya lebih manis. Barulah kawww! Tetapi, masa tu hendak melempeng baru hendak dicari kepala parut muda .... lupakan sahaja. Pakailah kelapa parut biasa yang ada di dalam peti dingin beku. 

Lihat Cara Simpan Kelapa Parut di sini.


Selain itu, penggunaan air kelapa dan santan turut memainkan peranan supaya lempeng kelapa kita lebih enak. Tetapi, usah khuatir. Dua bahan ini sekadar ramuan tambahan. Kalau ada santan lebih di dalam peti sejuk tu bolehlah guna. Jika tiada, tak perlu pening kepala. Tanpa air kelapa dan santan pun lempeng tetap sedap. Kan kita sudah letak banyak kelapa parut. 

Inilah lempeng kelapa saya.

Khamis, September 16, 2021

Pulut Pagi Hari Malaysia

Assalamualaikum. Selamat Hari Malaysia! Alhamdulillah, moga hari ini dapat kita manfaatkan sebaiknya untuk berehat. Ada yang punya sebarang rancangan untuk keluar jalan-jalan? Jika ada, jaga diri baik-baik. Patuhi SOP ya.

Kalian sudah bersarapan? Hari ini rezeki kami berdua makan pulut pagi. Kebetulan ada sedikit beras pulut yang berbaki di dalam balang. Seawal pagi Bott dah kukus pulut di dapur.

Khamis, September 02, 2021

Kakiage untuk Minum Petang

Kelmarin, selepas Bott balik beli barang dapur dan keperluan rumah, saya kemas peti sejuk. Korek baki bahan masak yang lama supaya boleh dimasak terlebih dahulu berbanding stok bahan baru beli. 

Ada lebihan kobis, lobak merah dan cili hijau. Kebetulan untuk minum petang tak terfikir hendak sediakan juadah apa lagi. Jadi, masak kakiage sahajalah.

Kakiage merupakan sejenis hidangan sayuran digoreng rangup lebih kurang seperti tempura. Untuk buat kakiage kita hanya perlu ada bawang besar dan beberapa sayuran yang dihiris memanjang seperti lobak merah, cili benggala, keledek dan kobis.

Kakiage untuk Minum Petang

Kakiage saya kali ini banyak cacat celanya. Dah hiris bawang, tetapi selepas digoreng baru sedar yang bawang masih di atas papan pemotong. Kemudian, sewaktu potong kobis, entah apa yang saya fikirkan ... tahu-tahu dah jadi potongan dadu. Okey, jom tengok resepi.


Resepi Kakiage Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 labu bawang besar
  • 1/2 batang lobak merah
  • 1/4 - 1/2 biji kobis, terpulang hendak banyak mana
  • beberapa tangkai cili hijau.

* Secara asasnya, ada 2-3 jenis sayur dah cukup dah. Jika ingin lebih sedap, boleh juga tambah hirisan cendawan atau jejari ketam.

  • 1/4 - 1/2 cawan tepung
  • beberapa sudu tepung ubi
  • 1 biji telur


** Penggunaan tepung agak-agak sahaja. Sekadar untuk salut bahan-bahan yang kita hiris seadanya. Tidak perlu banyak macam hendak buat bater cucur. 

Adunan kakiage sedia untuk digoreng.


*** Tak ada tepung ubi? Apa salahnya kita derhaka resepi. 😅 Boleh tukar kepada tepung beras atau tepung jagung. Hasil akhir sedikit berbeza mengikut jenis tepung yang digunakan.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan  yang telah dihiris ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar.
  2. Kemudian, masukkan tepung gandum, tepung ubi dan telur yang telah dipukul sedikit.
  3. Gaul sekata semua bahan.
  4. Panaskan minyak. Api biar sederhana besar. Apabila minyak dah betul-betul panas, sudukan adunan ke dalam kuali.
  5. Goreng sehingga kakiage bertukar keperangan. Balik-balikkan agar gorengan sekata.
  6. Angkat. Tuskan minyak. Sedia untuk dihidangkan bersama sos pilihan. 


Kakiage biasanya dihidangkan dengan sos khas dipanggil tentsuyu. Tetapi, saya tidak buat pun. 😊 


Pstt! Masih dalam proses blogwalking sambil berperang dengan masalah kotak komen. Kalau komen tak muncul, insya-Allah saya datang round lain kali dan komen bertubi-tubi 😂



Khamis, Ogos 26, 2021

Puding Biji Chia untuk Sarapan dan Pencuci Mulut

Biji chia atau chia seed banyak manfaatnya untuk kesihatan. Mengandungi serat, antioksida, Omega-3, protein dan pelbagai vitamin dan mineral, pengambilan chia seed baik untuk jantung, sistem pencernaan, otot dan tulang, mengurangkan tanda-tanda penuaan dan membantu kita mendapatkan kulit yang lebih sihat.


Disebabkan khasiatnya, tidak hairanlah jika biji ini selalu dimasukkan ke dalam diet pemakanan harian.

Contoh hidangan mudah yang menggunakan biji chia:

  1. Air chia seed. Masukkan chia seed ke dalam minuman kalian. Air kosong, jus buah segar, air lemon, kopi atau teh tanpa gula dan biar seketika sehingga chia seed kembang. Saya suka buat teh dengan sedikit parutan halia atau hirisan lemon. Segar dinikmati dingin. Oh,  lagi satu, jadikan salah satu bahan untuk lai chi kang pun sesuai.
  2. Taburan di atas roti bakar atau salad. 
  3. Puding biji chia

Di bawah ini, chia seed pudding saya.

Isnin, Ogos 23, 2021

Resepi Lempeng Oat dan Pisang

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin kongsi resepi sihat lempeng oat dan pisang. Lebih kurang seperti lempeng pisang biasa tetapi lempeng yang ini versi rendah kalori kerana kita guna oat. Bagi yang tercari-cari idea bagaimana untuk memasukkan oat dalam hidangan atau menu harian anda, lempeng oat dan pisang ini sesuai untuk sarapan atau minum petang. Bukan sahaja mudah disediakan, malah lempeng ini berkhasiat dan mengenyangkan.


Lempeng Oat dan Pisang

Resepi Lempeng Oat dan Pisang

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 biji pisang bersaiz besar (+/- 280 - 300g). Jika guna pisang yang bersaiz sederhana atau kecil, tambah bilangan pisang. Lebih masak pisang lebih baik kerana kita akan peroleh manis daripada pisang ini.
  • 2 biji telur
  • 1 cawan rolled oats
  • 1/2 sudu teh serbuk kayu manis
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 2 - 3 sudu besar susu (optional)
  • secubit garam
  • sedikit minyak kelapa, minyak sayuran atau mentega untuk lengser kuali leper

Jumaat, Julai 30, 2021

Sarapan Telur Hancur Cendawan Shitake Kering

Assalamualaikum. Salam Penghulu Hari.

Hidangan sarapan saya kelmarin. Telur hancur dengan sedikit kailan dan hirisan cendawan shitake. Cendawan shitake yang saya gunakan ini cendawan shitake kering yang saya beli ketika jualan 7.7 di Lazada awal bulan dahulu.

Telur Hancur Cendawan Shitake

Saya ada baucar Lazada yang hendak tamat tempoh. Stok cendawan kering di pantri tinggal dua tiga tongkol sahaja. Kebetulan, ada penurunan harga dan peroduk ini tergolong dalam item yang akan dapat cashback. Jadi, saya pun belilah satu pek.

Rabu, Jun 16, 2021

Baked Oat - Resepi Viral TikTok

Sebenarnya, sejak mula-mula resepi baked oat ini viral di Tik Tok, saya hendak cuba buat. Teringin juga mahu pelbagaikan hidangan oat selain dibuat bubur dan overnight oat. Masalahnyasetiap kali beli pisang, pisang habis dahulu sebelum sempat jadi apa-apa juadah.

Baru-baru ini, beli sesisir pisang terus saya asingkan siap-siap. Enggan pisang berbuah dua kali hahaha 😂Alhamdulillah, dapat pun cuba resepi ini. Saya dan Bott menikmati baked oat untuk sarapan pagi.

Resepi Baked Oat

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1/2 cawan rolled oat
  • 1 biji pisang
  • 1 biji telur gred A
  • 1 sudu besar madu asli
  • 3 sudu besar susu
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik 
  • secubit garam
  • coklat cip dan hirisan pisang secukupnya sesuai selera

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Kisar semua bahan di dalam pengisar selama beberapa minit sehingga sekata.
  2. Tuangkan ke dalam ramekin, dulang mufin atau cawan kertas.
  3. Bakar di dalam ketuhar pembakar (oven) atau air fryer pada suhu 180 darjah celcius selama 15 - 18 minit atau sehingga benar-benar masak. Ambil lidi dan cucuk ke bahagian tengah kek. Jika lidi keluar dalam keadaan bersih, dah masaklah tu. Jika ada kesan bater, tambah lagi beberapa minit. 
  4. Sedia untuk dihidangkan.


Memandangkan kita guna oat, tidak digalakkan untuk bakar hidangan ini terlalu lama. Seelok-eloknya bawah 20 minit kerana dikhuatiri oat akan jadi terlebih kenyal atau keras.


Ini rupa setelah bahan-bahan dikisar. Saya guna pengisar smoothie je. 


Isi dalam paper cup. Beria-ia punggah barang cari ramekin, tak jumpa pula. Saya tambah hirisan pisang dan taburan cip coklat. Selain itu, boleh letak kekacang seperti gajus dan badam, kismis, beri biru atau beri goji. Satu adunan ini dapat 3 cawan. Kalau pakai ramekin dapat dua.

RASANYA? Sedap! Saya suka. Seolah-olah kita dapat makan kek untuk sarapan tetapi yang bagusnya, kek versi lebih sihat. Cuma disebabkan kita pakai tepung oat, teksturnya tidaklah ringan gebu gebas. Agak dense sedikit.

Ini cuma salah satu variasi resepi baked oat yang ada di luar sana. Ada banyak versi lain dengan cara olahan yang berbeza. Selamat mencuba! 


Selasa, Mac 30, 2021

Hidangan Sarapan - Lempeng Jagung Manis Ala Krim

Tercari-cari idea untuk menu sarapan? Apa kata cuba buat lempeng jagung krim ini. Mudah, tidak perlu ambil masa yang lama untuk sediakan. Makan begitu sahaja sudah cukup sedap, apatah lagi jika dinikmati dengan jem, madu, sirap mapel atau mentega kacang.


Isnin, Januari 18, 2021

Hidangan Sarapan Mudah Ala Shakshuka

Assalamualaikum semua. Apa khabar? 

Hari ini saya ingin kongsi hidangan sarapan ala shakshuka saya. Apakah itu shakshuka? Shakshuka yang bermaksud 'campuran' merupakan hidangan telur dalam kuah tomato dari timur tengah.Campuran pelbagai ramuan seperti hirisan bawang, tomato, lada benggala, kombinasi rempah seperti paprika dan jintan yang dimasak dalam skillet bukan sahaja sesuai dinikmati semasa sarapan, malah untuk makan tengah hari atau makan malam.

Saya biasa buat untuk sarapan. Breakfast skillet-lah konon-kononnya. Jika resepi shakshuka asal mewah dibanjiri kuah tomato, versi shakshuka saya cuma menggunakan buah tomato yang dipotong dadu dan ditumis hingga layu, lembut serta mengeluarkan air.

Ini hidangan sarapan saya semalam. Saya letak hirisan lapisan ayam belanda yang saya goreng dengan sedikit mentega terlebih dahulu. Lebihan minyak gorengan tu akan memberikan lebih rasa kepada telur. 😊

Khamis, November 26, 2020

Resepi Sandwic Kacang Kuda

Assalamualaikum. 

Tercari-cari menu menarik untuk dicuba? Apa kata kalian pertimbangkan sandwic kacang kuda saya ini. 

Sebut tentang kacang kuda (turut dikenali dengan nama chickpeas dan garbanzo beans), ini merupakan antara bahan yang tidak putus bekalannya dalam pantri saya. Macam-macam resepi yang boleh diolah dengan kacang ini. Hidangan India, Timur Tengah, Mexico, bergantung pada selera.

Selain itu, kacang kuda sangat sesuai untuk yang sedang berdiet atau jaga pemakanan. Terutama sekali bagi yang amalkan diet suku suku separuh atau clean eating. Kandungan indeks glisemiknya rendah, jadi tidak akan spike kandungan gula dalam darah malah buat kita rasa lebih kenyang. 

Saya selalu rebus kacang kuda untuk dijadikan snek antara waktu makan. Daripada kita makan chips dan jajan yang bukan-bukan, baiklah nikmati kacang kuda rebus. Craving satisfied, pengambilan kalori harian pun tidak terbabas 😆.

Resepi sandwic kacang kuda di bawah ini lazimnya jadi menu sarapan saya. Saya buat yang simple sahaja. Cuma sesekali jika inginkan kelainan, barulah ditambah rempah dan ramuan tertentu untuk imitate rasa ala ala mexican food.


Isnin, Januari 23, 2017

Yee Mee Goreng Extra Broccoli

Hidangan sarapan pagi tadi. Sebenarnya lebih kepada brunch sebab dah nak tengah hari baru suapan pertama masuk mulut! Sebelum ini saya pernah sediakan Yee Mee Goreng Mudah. Boleh intai resepinya di sini.

Kali ini, satu lagi variasi untuk yee mee goreng - Yee Mee Goreng with Extra Broccoli. Entah kenapa, buka peti ais pagi tadi, nampak broccoli kat tempat sayur, terus teringin! Mula-mula ingat nak buat brokoli goreng je untuk kunyah-kunyah, tapi tengah laparrrr. Mana cukup nak tampung kapasiti peyot. Jadi, kita sediakan Yee Mee Goreng.

Yee Mee Goreng Brokoli

Khamis, Februari 11, 2016

Makoko Canapa

makoko canapa
egg in the hole
toad in the hole
bird in the nest
one eyed jack
egg in the frame


Inilah antara hidangan yang ada paling banyak nama julukan. Walhal, sebenarnya it's just toast and egg in the middle. Roti bakar dengan telur di bahagian tengah. Sekali-sekala, saya suka juga makan untuk sarapan. Pagi-pagi pancing selera dan mata dengan toast comel ini ok juga kan,..

Rabu, Januari 20, 2016

Resepi Omelette Muffin

Omelette merupakan antara hidangan sarapan yang simple, mengenyangkan dan sangat mudah penyediaannya. Resepi omelette boleh kita pelbagaikan. Bergantung pada apa yang ada di dapur. Selain daripada menyediakan omelette biasa, kita juga boleh buat omelette muffin. Comel-comel je. Kira individual size lah :)

Omelette Muffin

Isnin, November 09, 2015

Peanut Butter Toast yang Mengenyangkan!

Assalamu'alaikum. Hari dah petang baru saya berpeluang jengah blog. Belum terlambat lagi nak ucap selamat memulakan minggu baru! Moga minggu ini lebih ceria dan happening. Terima kasih banyak-banyak pada yang telah datang berkunjung sepanjang hujung minggu dan tinggalkan banyaaaakkkkkk komen meskipun saya tiada di tower :) Nantikan kunjungan balas saya ye.

Dah minum petang? Roti bakar di bawah ni sebenarnya lebih sesuai dijadikan hidangan sarapan pagi, tetapi inilah yang saya mamam untuk minum petang semalam. Pukul 3 lebih perut dah berdengung dan berlubang! Nak buat apa pun tak larat heheheh

Jadi, saya korek peti ais dan buat this simple treat - peanut butter toast with orange and banana slices

Selasa, September 15, 2015

Nasi Goreng Telur Masin

Ini salah satu hidangan hujung minggu lepas. Kononnya mood cuti, mood santai hujung minggu. Malaslah nak masak. Lagipun, ahli isi rumah semua ada plan kat luar. Tak kalutlah nak sediakan meal
Niat hati nak makan apa ada jelah. Roti ke,..biskut ke,..Alih-alih menjelang tengah hari, perut dah menggigil lapar nasi! Nak tak nak, korek peti ais. Kemudian, kelentung kelentanglah saya di dapur. Huhuhuh demi sesuap err,..sepinggan besar nasi :)

Tattadaaaaaa! 
Nasi Goreng Telur Masin a.k.a Salted Egg Fried Rice 

Salted Egg Fried Rice