Memaparkan catatan dengan label Kuih-muih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kuih-muih. Papar semua catatan

Sabtu, Mac 05, 2016

Resepi Mudah Guna Puff Pastry




Ohhh, ada yang cari resepi mudah guna puff pastry ye? Jangan risau,...jangan pening. Nah, saya belanja beberapa resepi simple-mudah-easy-peasy puff pastry yang dap dap dap! Apa yang penting, puff pastry-nya kena ada. Then, you're just a few steps away from making scrumptious treat. Puff pastry boleh beli di kedai menjual bahan dan peralatan kek atau cari di pasar raya. Kebiasaannya, saya guna jenama Kawan :) Terliur tak? Hmmm, kalau berminat nak buat, klik sahaja pada gambar yang berkenaan.

Rabu, Februari 24, 2016

Resepi Kouign-Amann Paling Simple

Salam Rabu!

Pernah dengar 'kouign-amann'? 'Kouign-amann' ialah sejenis kek yang berasal daripada Perancis. Tetapi, teksturnya lebih kepada roti sebab 'kouign-amann' dibuat menggunakan doh roti, kaya dengan mentega dan gula. Macam mana rasanya? OK, bayangkan roti croissant, luarnya rangup dan manis sebab ada gula yang caramelized di bahagian atas,... dalamnya lemak manis kerana doh 'kouign-amann' kaya dengan kandungan mentega dan lapisan gula.

Saya tengok di TV, terus teringin nak makan. Nama nak membuatnya dari mula, memang tak mampulah. Saya kalau resepi tu complicated, banyak sangat langkah-langkahnya,.. saya angkat senduk, lari pergi tengok TV. Jadi, kita guna shortcut ye. Ini resepi paling simple untuk 'kouign-amann'. Diulangi sekali lagi, paling simple. Bukan 'kouign-amann' yang betul-betul sempurna. Kita imitate je. Seperti biasa, apabila membuat hidangan pastri begini, saya akan guna kawan baik saya, puff pastry jenama Kawan :)

Selasa, Februari 16, 2016

Resepi Pai Nanas Mini

Assalamu'alaikum,

Ini satu lagi resepi mudah menggunakan puff pastry. Mini pineapple pie. Panggil puff nanas pun boleh kot. Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini,  puff pastry yang saya maksudkan bukanlah yang kita buat from the scratch Puff pastry ini yang instant dan sedia untuk digunakan. Jenama KAWAN. Hanya biarkan puff pastry selama lebih kurang sepuluh ke lima belas minit pada suhu bilik. Once dah lembut, bolehlah kita buat pai nanas kita :)

Mini Pineapple Pie

Selasa, Disember 22, 2015

Resepi Mudah Kuih Sagu Berkuah

Assalamu'alaikum,
Belakangan  ini, saya asyik buat entri mengenai makanan je. Hari ini nak 'berbagi' resepi salah satu kuih kegemaran saya, kuih sagu berkuah. Selalu buat sebagai hidangan minum petang atau pencuci mulut selepas meal. Nak menyediakannya pun mudah!

Beginilah rupanya :)


Resepi Mudah Kuih Sagu Berkuah

Jumaat, Oktober 16, 2015

Donut Malt Berkeju

Salam Jumaat!
Semalam semasa keluar membuat beberapa urusan, Bott terliur tengok donut di King's. Donut bersalut gula yang biasa kita makan tu. Cuma saiznya agak besar dan nampak fluffy. Bott teringin nak beli. Harganya sebiji RM2.10 ke RM2.20. Belum sempat Bott nak ambil dulang, butang alarm 'skinflint' kat dalam kepala saya dah bergema! Whattttt?! RM2 untuk donut biasa? Tambah sikit lagi duit, dah boleh dapat Big Apple atau JCo. Selalunya bab makan saya tak berkira sangat, tapi donut simple begini sampai dua ringgit lebih,...basic ingredientsnya murah je kot. 

Saya tanya Bott betul-betul teringin ke? Bott dah buat muka seposen. Kawan baik saya ni memang pantang nampak donut! Donut yang fancy-fancy macam Big Apple tu dia tak heran sangat. Donut simple bergula yang jadi pojaan hati. Itupun setiap kali makan, dia akan katuk-katuk, kikis-kikis gula kat donut. Tak suka manis sangat, gulanya biar sedang-sedang aja. Jadi, bayangkanlah betapa saya rasa macam tak berbaloi je beli donut-gula-bakal-dikikis dengan harga dua ringgit lebih sebiji.

"Tak pe. Esok saya buat sepuluh biji untuk awak! Lagi puas makan!" 

Sabtu, September 26, 2015

Resepi Mudah - Cheese Puff

Bersiaran lepas raya. Seperti yang dijanjikan, hari ni saya update resepi mudah untuk Cheese Puffs yang hanya guna 2 bahan tu.



Bahan-bahan:
  1. Beberapa keping kulit pastry puff. Saya guna Pastry Puff Square jenama Kawan.
  2. Parutan keju Cheddar

Khamis, September 03, 2015

Resepi Mudah - Popia Pisang

Resepi yang mudah dan lazat untuk minum petang :)

Jom kita tengok bahan-bahan untuk Resepi Popia Pisang.


Bahan-bahan:
  • Kulit popia secukupnya
  • Beberapa biji pisang, bergantung kepada jenis dan saiz pisang. (Belah agak-agak mengikut saiz popia yang dikehendaki) Saya guna 6 - 8 biji pisang emas, dibelah kepada 4 bahagian.
  • Lebih kurang 2 cm halia (parut untuk dapatkan airnya)
  • Satu sudu kecil gula perang. Saya hanya guna gula tebu.
  • Satu sudu besar madu.
  • Minyak masak untuk menggoreng
  • Sedikit air untuk gamkan kulit popia.

Rabu, Ogos 12, 2015

Resepi Mudah - Banana Puff

Satu hidangan pastri yang amat mudah untuk disediakan. Banana puff ni lebih kurang kacukan antara pastri dengan pie lah. Kebetulan di rumah ada tiga biji pisang yang dah mushy. Nak buat banana pie, rasa malas nak menguli crustnya. Kita guna pastry puff jelah.

Pastry puff yang saya gunakan jenama Kawan. Bersaiz empat segi. Satu pek ada 10 keping dan boleh dibeli di pasar raya. Saya kalau jumpa pastry puff Kawan memang akan beli satu atau dua pek. Jadikan sebagai stok. Senang nak buat treats untuk minum petang. 

Jom tengok resepi Banana Puff.

Resepi Banana Puff

Bahan yang diperlukan:

Isnin, Julai 13, 2015

Popia Sambal Sedap

Ramadhan tahun ni, saya tak hairan martabak, kuih lopes atau onde-onde. Saya kemaruk makan popia sambal. Makan tiap-tiap hari pun tak jemu!

Popia Sambal Sedapppp

Popia ni beli dari kenalan Cekebon yang berniaga kuih-muih, So, setiap kali teringin memang Cekebon akan order. Nanti petang sebelum berbuka delivered to the doorstep. Saya suka dengan kerangupan popia yang krup krap krup krap diganding pula dengan sambal pekat manis-manis pedas! Ada taburan bijan pada bahagian atas popia. Kadang-kadang ditabur dengan kacang yang disangrai. Pun marvelous! Saya seorang je boleh makan sampai 6! Tapi tak makan straight la. Bawa sampai ke moreh :)

Lagi satu saya suka kerepek popia. Kulit popia tu digulung, kemudian dipotong serong dan digoreng. Lepas tu kita gaul dengan cili sira. Sedap! Makan memang tak ingat orang belakang punya. Emm… sendiri tulis sendiri terliur! Mana nak cari kerepek popia untuk raya nih?




Selasa, Jun 23, 2015

Resepi Mudah - Jejari Keledek Kayu Manis

Ini hidangan berbuka dan moreh hujung minggu lepas. Ada lebihan dua tiga biji keledek Jepun di rumah, baki buat keledek bakar. Kononnya treat untuk diri sebelum puasa. Tak dapat ubi cilembu, ubi Jepun pun sodapppp!

Takkanlah nak buat keledek bakar lagi kan,.. So, kita gorenglah. Buat macam sweet potatoes yang dijual di Shihlin Taiwan Snacks tu. Tapi, yang ini cinnamon version :)
 
Jejari Keledek Kayu Manis Yummy!

Resepi Jejari Keledek Kayu Manis

Khamis, Jun 11, 2015

Kuih Tepung Bunga

Pertama kali makan dan buat kuih tradisional dari pantai timur ni. A few weeks ago tengok rancangan Lesung Pipit, nampak resepi ni as pencuci mulut. Terus berkenan nak buat! Mudah je. 


Resepi Mudah - Kuih Tepung Bunga

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 200 - 250 g tepung pulut
  • 1/2 cawan santan
  • Air secukupnya
  • 2 biji telur
  • Garam secukup rasa
  • Gula untuk ditabur pada kuih sebelum dihidang
  • Minyak secukupnya untuk menggoreng

Langkah-langkah penyediaan:
  1. Bancuh tepung dengan santan dan sedikit air sehingga membentuk doh yang tidak melekat. Kalau nak lebih lemak, boleh gunakan lebih santan. Saya guna santan kotak jenama Ayam Brand yang Fat Trimmed. Jangan risau, rasa lemak santan tetap ada  cuma kandungan lemaknya rendah berbanding santan kotak yang lain.
  2. Bentukkan doh menjadi bebola kecil. Kemudian, tekan sedikit di bahagian tengah untuk leperkan doh.
  3. Panaskan minyak. Pecahkan telur dan pukul sedikit. 
  4. Celupkan doh ke dalam telur dan goreng hingga warnanya bertukar keperangan.
  5. Setelah diangkat dan ditus minyaknya, taburkan sedikit gula di atas kuih. Saya gunakan gula tebu Mildura (boleh baca di sini.) Jika ingin lebih enak, guna gula perang pun boleh.
Kuih Tepung Bunga

Sedappppppp sangat! Memandangkan kuih ini dibuat daripada tepung pulut, teksturnya seperti kuih onde-onde. Lapisan luar ala-ala crispy sebab disalut dengan telur, bahagian dalamnya lembut. Then, manisnya just nice. Kita sendiri boleh kawal jumlah gula yang kita nak letak. Jangan banyak sangat ye. Kita bukan nak salut donut. Letak seadanya. Biar rasa manis manja-manja gitu.

Selamat Mencuba! Boleh masuk dalam menu berbuka puasa :)


Jumaat, Mei 29, 2015

Pisang Goreng Kayu Manis

Ini santapan minum petang semalam. Dalam peti sejuk ada satu plastik pisang goreng yang tak berusik. Kat rumah ni yang hantu makan pisang dan apa-apa yang berasaskan pisang saya seorang je. Cekebon tak boleh makan pisang sebab on low potassium diet.

Pisang goreng ni pisang tanduk dan dihiris memanjang nipis-nipis. Bayangkanlah teksturnya apabila dah bermalam dalam peti sejuk. Saya pun ambil pisau, kerat kepada beberapa bahagian kecil dan goreng semula pisang tu guna minyak canola. Setelah angkat dan tuskan minyaknya, saya taburkan dengan serbuk kayu manis. Gaulkan hingga sekata.

Pisang Goreng Kayu Manis

Verdict: Dap dap dap! Aroma kayu manis tu membangkitkan lagi selera. Gabungan rasa lemak manis pisang dan kayu manis menjadi. Not bad!  Kena dengan tekak saya :D

Credit

Hikhikhik tak adalah eksperimen mana. Setakat tambah perasa je. Anyway, selamat berhujung minggu! Selamat Cuti Sekolah!


Rabu, Oktober 01, 2014

Epok-epok Roti

Epok-epok Roti

Ingat lagi entri saya mengenai Lauk Sengkuang dan Cendawan Shitake Masak Tumis? Lauk yang berbaki, saya tidak buang. Sayang… jadi saya buat switch-up recipe - Epok-epok roti inti sengkuang dan cendawan.

Jumaat, September 05, 2014

Agar-agar Cendol yang Marvellous

Saya kagum dengan orang yang pandai buat agar-agar dan kuih talam aneka jenis, macam-macam warna,..macam-macam rasa! Respect sangat! Saya bab agar-agar tahu buat yang basic je. Berlapis-lapis seperti yang di bawah ni memang FAIL! Hmmm, kuih talam lagilah! Talam (dulang) je saya ada. Kuihnya memang tak tahu buat. Talam labu, talam ubi, talam jagung,...semuanya hanya tahu makan! Saya rasa remeh sangat nak sediakan! Bagi saya orang-orang expert+sabar je boleh hasilkan kuih-muih begini.

Agar-agar Cendol
Ini agar-agar cendol. Kawan Cekebon yang buat. Sedapppppp! Manisnya cukup,..lemaknya cukup. Rupanya tok sah cakaplah. Memang memancing selera! Terharu bila makan huhuhuh (terharu yang tak larat tu!) Sejukkan dalam peti ais, dah betul-betul sejuk baru dihidangkan. Lagi syiokkkkk!

Nota Senyum: Semoga satu hari saya tergerak hati untuk belajar dan cuba buat kuih-kuih begini ;)

Selasa, Julai 08, 2014

Kuih Kasturi untuk Moreh

Beberapa hari lepas dah buat inti kuih kasturi ni. Teringin nak makan.  Once inti dah pekat dan sejuk, terus masuk freezer. Tak jadi nak goreng sebab makanan banyak sangat. Hari ni tahap kerajinan tu tinggi sikit. So, saya bertapalah kat dapur, bentuk inti kacang jadi bulat-bulat sampai habis. Kemudian, goreng sedikit untuk moreh kat rumah :) Selebihnya, saya goreng separuh masak untuk didinginbekukan.


Kuih kasturi ni saya buat tak manis sangat. Jadi, Cekebon bolehlah makan banyak sikit.  Nak resepi? Rasanya saya pernah tulis entri mengenai kuih ni dulu. Cuba tengok di sini --> Kuih Kasturi untuk Minum Petang

Khamis, Januari 16, 2014

Lepat Segan a.k.a Lapek Sagan


"Lapek Sagan? Kenapa orang panggil lepat ni lepat segan?" Itu yang mula-mula saya tanya pada ibu. Pada usia menjangkau 33 tahun ni, baru pertama kali saya rasa kuih bergelar 'Lapek Sagan' ini.

Beginilah rupanya 'lapek sagan'.
Menurut Cekebon, lepat ni dipanggil 'lepat segan' atau dalam bahasa orang Minang, 'lapek sagan' sebab lepat ni mudah untuk dibuat. Lepat orang malas! Huh?! Masih kurang jelas, saya bertanya pada kenalan saya dari Indonesia. Katanya di sesetengah kawasan yang diduduki oleh orang Melayu seperti Riau dan Sumatera Utara, kuih ini dipanggil 'lepat segan', sama seperti di Malaysia. Perkataan 'segan' membawa makna malas atau enggan melakukan sesuatu. Jadi, lepat ini dinamakan sedemikian kerana kaedah penyediaannya tidak rumit hinggakan orang yang malas pun boleh membuatnya. Hahaha! Make sense-lah kenapa Cekebon cakap 'lepat orang malas'.

Resepi Lepat Segan @ Lapek Sagan

  • 1/2 kg beras pulut, dicuci bersih, direndam selama setengah jam kemudian dikukus selama lebih kurang 15 minit.
  • 1 sisir pisang kepok (lenyekkan)
  • 1/2 butir kelapa parut
  • 5 - 6 sudu besar gula merah
  • Garam secukup rasa
  • Daun pisang untuk membungkus

Cara-cara Penyediaan:
  1. Gaul sekata pisang yang telah dilenyek dengan gula, kelapa parut dan beras pulut yang telah dikukus.
  2. Perasakan dengan garam
  3. Bungkus dalam daun pisang dan kukus selama 30 minit.

Well, kalau ditengok pada resepi di atas, mungkin interpretasi 'malas' orang dulu-dulu berbeza kot. Kalau ikut tahap malas saya, bila baca resepi ni terus terhapus niat nak cuba buat! Nak rendam beras, kukus beras dulu, lenyek pisang la, then nak bungkus jadi macam lepat lagi,...kukus lagi,...ni lepat orang rajin lah!

Sabtu, Mac 30, 2013

Donut Keju

Hmm...bagi yang nak ubah selera, bolehlah buat donut cheese ni untuk hidangan minum petang. Tak susah pun. Gunalah mana-mana resepi donut yang kalian ada, cuma jangan diterap guna 'doughnut-cutter'. Bulat-bulatkan macam nak buat pau. Then, letakkan keju keping yang telah dipotong kepada beberapa bahagian sebagai intinya. Boleh guna Chesdale atau Kraft. Kalau nak yang a bit salty, boleh guna Mother's Choice. Untuk buat donut keju ni tidak disarankan guna keju blok sebab kejunya susah sikit nak cair apabila kita goreng. (Tak dapatlah efek keju meleleh tu masa makan nanti hehehe).

'Seangkatan' donut keju sedang direhatkan :)

Jemput makan! Sedap, tau! Penggemar keju tegar mesti sukalah donut nih.

Seeloknya, hidangkan donut ketika masih suam. Barulah yummy! Sebabnya, once dah sejuk, keju di dalam donut akan mengeras semula. So, tak syok sangatlah. Nway, saya rasa kalau buat untuk jamu anak-anak mesti tak sempat sejuk dah licin-licau heheheh. Tetapi, hati-hati... Jangan terus dihidang sebaik angkat dari kuali. Suhu keju cair yang agak tinggi boleh buat kalian melecur.


Selasa, Disember 18, 2012

Agar-agar Rambutan


Agar-agar ini pun siaran tertunda :) Baru hari ni berkesempatan nak kongsikan resepinya di sini.


Bahan-bahan:
  • Satu paket agar-agar 25g
  • Air 1.2 liter
  • 200g isi rambutan dikisar bersama 200ml air dan ditapis.
  • 1 senduk gula/ mengikut citarasa - kalau mahu lebih manis, tambahkan gula.
  • 1 cawan isi rambutan/lebih.

Cara-cara:
  1. Rendam agar-agar 30 minit - sejam supaya mudah hancur apabila direbus. Toskan.
  2. Didihkan 1.2 liter air. Masukkan agar-agar tadi. Kacau hingga agar-agar betul-betul hancur.
  3. Masukkan jus rambutan yang dikisar dan gula. Kacau lagi hingga sebati.
  4. Tuangkan ke dalam loyang atau acuan agar-agar dan sejukkan.

Nota: Masukkan daun pandan dan tukarkan gula kepada gula perang/gula Melaka untuk pelbagaikan rasa :)

Khamis, April 05, 2012

Kuih Kasturi untuk Minum Petang

Kuih ni ada setengah tempat panggil kuih kacang,...ada yang panggil kuih kasturi (tak pasti tang mana yang 'kasturi' nya). Mana-manalah yea. Aku buat kuih ni untuk sajian minum petang dan hantar ke masjid untuk jemaah makan lepas Isya'. Mudah je nak buat kuih ni cuma masa rebus kacang tu agak-agak jelah airnya.

Bahan-bahan untuk inti:

  • 1 cawan kacang hijau (Basuh, toskan dan kemudian rendam selama 1 - 2 jam sebelum direbus)
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 ke 3/4 cawan gula (Ikut citarasa. Nak kurang manis, kurangkan sukatan gula ye...)
  • 1/2 cawan kelapa parut



  1. Rebus kacang hijau dengan beberapa cawan air hingga kacang empuk dan mengembang.
  2. Apabila air mula kering, perlahankan api dan kacau selalu supaya bahagian bawah tidak hangus.
  3. Masukkan gula, garam dan kacau lagi hingga semuanya sebati. Tunggu sehingga adunan inti kembali kering, kemudian matikan api. Sejukkan inti. 
  4. Setelah inti sejuk dan boleh dikepalkan, masukkan kelapa parut. Gaul hingga sebati. Kemudian bentukkan bulat-bulat.



Bahan-bahan untuk kulit/salutan luar:

  • 3 sudu besar tepung beras
  • 5 sudu besar tepung gandum
  • 1/4 sudu besar garam
  • 1/2 sudu besar margerin
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng



  1. Campurkan semua bahan-bahan di atas (kecuali minyak) dan gaul sebati dengan air sedikit demi sedikit hingga membentuk adunan yang boleh menyalut kuih yang telah dibentukkan tadi. (Jangan terlalu cair)
  2. Goreng sehingga kekuningan.
  3. Sedia untuk dimakan!

Sabtu, November 19, 2011

Tuna Puff

Selamat Berhujung Minggu! Budak-budak sekolah dah mula 'cuti Jepun'. Semalam last day of school. Sure ada ibu bapa yang dah sibuk plan aktiviti untuk anak-anak. Hari ni aku spend time di Kuang. Ibu panggil adik-beradik semua balik Kuang. Makan-makan sikit.

Ibu suruh aku buat curry puff. Dia teringin nak makan. Tapi last minute kentang masih ada lagi dekat kedai hehehe. Tukar sikit menu. Kita buat Tuna Puff ye, Bu.

Tadddaaaaaa!!


Senang je nak buat. Yang penting kita kena ada pastry puff (bolehlah dapatkan di kedai menjual bahan buat kek). Kemudian, potonglah mengikut saiz yang dikehendaki.

Untuk inti tuna:
  • Isi ikan tuna secukupnya (aku guna tuna chunk dalam tin)
  • 1 labu bawang besar (potong dadu)
  • 3 sudu jagung/ 3 sudu mix-vegetables
  • 1- 2 sudu mayones
  • Sedikit garam dan lada sulah
Gaulkan semuanya sehingga sebati.


Cara-caranya:
  1. Ambil kepingan pastry yang dipotong tadi. Letakkan inti tuna secukupnya.
  2. Kelimkan pastry dengan hujung garpu. Susun di atas dulang pembakar (sapukan dengan sedikit mentega terlebih dahulu). 
  3. Campurkan 1 biji kuning telur dengan 1 sudu besar susu. Kacau sedikit hingga rata. Sapukan kuning telur ke atas puff. 
  4. Bakar pada suhu 190 darjah Celcius selama 20 - 25 minit.

Selamat Mencuba!