Memaparkan catatan dengan label Resepi Mudah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi Mudah. Papar semua catatan

Ahad, November 15, 2020

Resepi Asam Pedas Mudah

Bayangkan, semasa perut tengah lapar kita disajikan dengan hidangan asam pedas berkuah pekat dengan nasi panas. Fuhhh, terliur tak? Tidak kiralah protein apa yang digunakan, daging, ikan atau ayam, janji ada bendi dan daun kesum secukupnya!


Sayalah orangnya yang suka masakan asam pedas, yang akan enjoy banjirkan nasi dengan kuah, ratah potongan bendi puas-puas. In fact, di rumah ini, jika buat lauk asam pedas, tidak perlu letak protein banyak pun. Yang penting kuah kena banyak, bendi dan daun kesum kena extra! Apabila bendi empuk tu dikunyah, kuah asam yang meresap dalam bendi meletus di mulut, nikmatnya!


Di bawah ini ialah panduan resepi asam pedas paling senang yang biasa digunakan di rumah. Walaupun saya ini asal dari Melaka, bab asam pedas saya pilih versi termudah. Ini kira resepi asas ya. Jangan pula dibandingkan dengan resepi asam pedas autentik dari Johor atau Melaka. Resepi ini menggunakan bahan-bahan asas sahaja, tidak pakai rempah tambahan lain seperti halba semua tu.



Hidangan asam pedas kegemaran. Tak perlu lauk lain dah! Hadap yang ini sahaja 😊

Rabu, November 04, 2020

Resepi Popcorn Tauhu

Hai semua! Hari ini saya ingin kongsi satu lagi hidangan mudah berasaskan tauhu. Popcorn tauhu. Boleh dijadikan lauk, makan bersama nasi atau sediakan sebagai makanan cekut untuk dihidangkan kepada keluarga atau tetamu. Hendak masak popcorn tauhu ini sangat mudah. Bahan utama yang kalian perlukan ialah tauhu dan Tepung Bestari. Ya, betul. Tepung Serbaguna Bestari yang orang selalu guna untuk buat goreng-gorengan tu. 

Beginilah rupa paras kejadiannya.

Popcorn tauhu yang enak!

Terliur tak? Sudah rangup bersalut begini, orang yang kurang gemar makan tauhu pun akan suka tau! OK, waktu untuk intai resepi.

Jumaat, Oktober 30, 2020

Resepi Mudah Mi Hokkien

 Assalamu'alaikum. Hai!

Apa khabar semua? Ada di sini yang suka makan Mi Hokkien tak? Hari ini kita belajar buat Mi Hokkien versi saya. Ini memang antara hidangan Cina yang saya suka makan. Ketebalan tekstur mi, kuah kicap, harum minyak bijan, aroma daun bawang dan ramuan-ramuan lain yang bergabung dalam setiap suapan memang nikmat!

Mi Hokkien yang autentik memanglah tidak halal kerana mengandungi lard. Tetapi jangan bimbang, restoran-restoran Cina-Muslim kan ada :)

Saya dahulu suka order Mi Hokkien dekat satu restoran Cina-Muslim ni tau. Tak ingat nama restorannya. Mereka bungkus makanan dalam takeaway boxes yang berwarna putih tu. So, setiap kali sampai rumah, terus grab satu kotak, ambil chopsticks dan makan panas-panas depan televisyen. Ini one of my favourite 'Me Time'. Terpengaruh tengok cerita omputeh hahaha.

Semenjak kita dilanda pandemik ini memang tidaklah nak keluar cari makan di luar sangat-sangat. Jadi, Mi Hokkien merupakan antara menu yang sudah lama tidak dimakan.

Kebetulan semasa pergi beli barang dapur, saya jumpa mi untuk buat Mi Hokkien, terus cakap pada Bott - Projek Mi Hokkien is ON! Semasa cari bahan-bahan lain untuk dimasak bersama mi, terasa dah air liur meleleh-leleh. Jemput jamu mata tengok Mi Hokkien saya.


Isnin, Oktober 12, 2020

Resepi Tempe Mendoan

Hari ini kita makan goreng-gorengan ya. Resepi yang ingin saya kongsi hari ini namanya Tempe Mendoan. Pada dasarnya, lebih kurang seperti tempe goreng biasa cuma salutan tepung tu yang buatkan hidangan ini lebih enak dan berbeza. 'Mendoan' berasal dari perkataan ‘mendo’ yang bermaksud setengah matang atau setengah masak. 

Kepingan tempe akan digoreng dalam minyak yang banyak dan panas dengan cepat, jadi tempe tidak masak sepenuhnya. Macam potongan tempe dalam hidangan ayam penyet tu, lembut-lembut ja. Tetapi, versi ini saya derhaka sedikit. Saya buat bahagian luarnya garing dan rangup manakala dalamnya kita biarkan lembut empuk.

Selasa, September 29, 2020

Resepi Kek Epal dalam Mug

Kadangkala apabila datang rasa craving nak makan something sweet, saya akan pilih untuk buat kek dalam mug. Satu, sebab mudah. Guna bahan-bahan asas yang ada dalam dapur dan pantri sahaja. Kemudian, tidak perlu ambil masa yang lama untuk tunaikan permintaan anak tekak. Sekitar satu ke dua minit sahaja hajat dah tertunai.

Dua, jika setakat saya dan Bott nak makan, saya suka buat single serving begini. Sekali makan habis, dah sudah. Tak ada second or third helping. Sebab saya ini jenis yang akan mengulang makanan tu sampai habis selagi ada. Nanti tengah-tengah jogging manja keliling rumah untuk cukupkan tapak boleh pula detour pergi buka peti ais atau intai bawah tudung saji! Bayangkanlah jika saya buat kek dalam loyang, tak ke naya?! 

Sebelum ini saya pernah kongsi kek kurma dan kek lemon dalam mug. Kali ini, kek epal kayu manis pula ya. Beginilah rupa paras kek epal kayu manis dalam mug saya!



Khamis, September 24, 2020

Pasta Fusilli Cendawan Shimeji

Assalamu'alaikum.
Saya muncul balik di sini! Hahaha asyik tenggelam timbul je kan? Maaflah, dua tiga menjak ni agak sibuk. Ditambah pula dengan tahap kesihatan yang agak kurang memuaskan. Jadi, bila dah lemau sepanjang hari tu, manalah ada masa nak berblogging.

Hari ini kita cerita pasal makan. Tentang pasta. Pasta merupakan antara bahan kering yang sentiasa saya pastikan ada dalam pantri saya. Kalau waktu ada promosi atau jualan murah, memang saya akan beli lebih buat stok. Tidak kiralah fusilli ke ... macaroni ke ... atau yang jenis  panjang (spaghetti atau fettuccine). Macam-macam resepi dan hidangan yang boleh diolah menggunakan pasta. Dari hidangan utama, buat salad hinggalah ke kudapan ringan untuk dikunyah-kunyah. 

Di rumah ini, saya yang suka makan pasta ✋ (in fact saya suka makan semua benda) huhuhu.  Tetapi, yang suka masak pasta, si Bott. Mintalah nak pasta apa - nak bergoreng, berkuah soupy-soupy, nak yang creamy atau versi yang bakar ... pandailah Bott olah ikut bahan-bahan yang ada di dapur. Bab-bab pasta, saya memang tahu minta je. 

Hidangan di bawah ini Fusilli Cendawan Shimeji. Kuahnya ala-ala bolognese, isinya menggunakan cendawan shimeji yang berwarna putih dan hirisan sosej. Cendawan shimeji ada dua jenis. Putih dan coklat. Saya tak berapa pasti ada perbezaan ketara atau tidak antara kedua-duanya selain warnanya. Dari segi rasa, bagi saya dua-dua sedap! Jika beli, lazimnya saya main ambil sahaja apa yang ada. Tidak kiralah putih atau coklat.
 

Jumaat, April 24, 2020

Resepi Cheese Puff dan Resepi Lain Menggunakan Puff Pastry

Salam 1 Ramadan!

Hari ini saya ingin berkongsi beberapa resepi menggunakan puff pastry yang sedap dan mudah disedikan. Semalam saya mengemas peti sejuk dan peti dingin beku. Barulah perasan masih ada stok puff pastry yang belum digunakan. Dah lama saya tidak bake, mujurlah puff pastry masih elok belum sampai tarikh luputnya. Puff pastry ini memang antara benda yang saya akan beli secara berkala dan pastikan ada dalam inventori barang-barang dapur. Bukan apa, kalau tiba-tiba rasa craving nak makan pastri atau something sweet, buntu tak ada idea untuk buat hidangan minum petang ... bolehlah diusahakan sesuatu dengan adanya puff pastry. 

Di pasaran ada macam-macam bentuk dan jenis puff pastry - jenis square, jenis gulung ... yang jenis blok pun ada. Boleh dapatkan di pasar raya atau kedai yang menjual bahan kek. Saya biasa beli jenama Kawan yang dalam bentuk empat segi kecil. Mudah, dah siap potong. Senang nak buat tuna puff atau sardine puff. Kalau nak buat pai atau cinnamon rolls baru beli yang jenis gulung. 

Alang-alang dah ada puff pastry, gali baliklah menu-menu ringkas guna puff pastry yang saya buat dahulu. Lagipun, sekarang saya sibuk merangka menu sahur dan berbuka untuk minggu pertama Ramadan. Kena plan betul-betul guna bahan apa yang ada di rumah. Kalau boleh nak elak kena keluar rumah untuk beli barang. 


Di bawah ini, saya kongsi semula beberapa menu ringkas dan sedap guna puff pastry. Bolehlah dijadikan hidangan pencuci mulut atau moreh untuk bulan Ramadan. Klik sahaja pada gambar yang berkenaan untuk ke entri resepi. Selain menggunakan ketuhar pembakar (oven) biasa, resepi-resepi di bawah juga boleh disediakan dengan menggunakan air fryer.



Cheese Puff
Cheese Puff

Penggemar keju pasti tidak akan tolak cheese puff ini. Sangat mudah untuk disediakan. Secara asasnya, hanya perlukan pastry puff dan keju. Rasanya yummy yumm! Bagi penggemar keju, setakat makan seketul dua memang tak akan cukuplah!



Kouign - Amann
Kouign-Amann dinikmati dengan secangkir kopi.

Kouign-Amann sebenarnya sejenis kek manis dari Perancis yang kaya dengan mentega dan gula. Resepi saya ni versi yang sudah dipermudah (simplified version). Jika tidak suka pencuci mulut yang terlalu manis, kalian bebas untuk ubah sukatan gula ikut cita rasa.



Selain cheese puff dan kouign-amann di atas, ada dua lagi resepi menarik yang kalian boleh cuba.


Banana Puff with Cinnamon
Banana Puff


Kombinasi puff pastry, pisang dan kayu manis memang terbaik! Saya tidak akan tolak hidangan ini.  Lazimnya, saya akan lebihkan serbuk kayu manis. Semerbak aroma puff memenuhi ruang dapur ketika dibakar. Saya juga akan buat inti pisang lebih sedikit untuk drizzle atas puff yang sudah siap dibakar.


Mini Pineapple Puff
Pineapple Puff

Ini lebih kurang sama dengan pai McD tetapi isinya di atas permukaan puff. Apabila dibakar, gula dan potongan buah telah caramelized memang sedap sangat! Kadang-kadang, jika tiada nanas, saya gunakan hirisan epal hijau. Pun sedap! Janji rasa masam-masam tu ada.


Rasa-rasanya ada tak antara dessert di atas yang menambat selera kalian? Selamat mencuba!

Khamis, April 09, 2020

Kuih Tepung Bunga untuk Minum Petang

Tercari-cari idea hendak buat kuih apa untuk hidangan minum petang? Apa kata cuba buat kuih tepung bunga. Kuih ini kuih tradisional dari Pantai Timur. Ada banyak versi resepi kuih ini. Bahan utamanya ialah tepung pulut. Kemudian, kita boleh pilih sama ada ingin guna santan ataupun tidak. Jika guna santan, rasa kuihnya berlemaklah sedikit.

Dinamakan tepung bunga sebab rupa dan tekstur kuih semasa digoreng. Kita akan celup adunan yang telah digentel ke dalam telur barulah goreng di dalam minyak panas. Macam kita goreng bergedel lah. Apabila kena minyak panas, telur yang salut adunan tu akan mengembang macam bentuk bunga.  Dari situlah asal usul nama 'tepung bunga'.

Resepi di bawah versi yang menggunakan santan. Jika tidak mahu pakai santan, bancuh tepung guna air sahaja. 


Resepi Mudah - Kuih Tepung Bunga


Jumaat, April 03, 2020

Resepi Kek Coklat Kurma Dalam Mug 2 Minit

Ini memang dianggap resepi PKP. One of my go - to recipes saat saya tiba-tiba teringin nak makan kek atau sesuatu yang manis. Apa yang menariknya, kek ni ambil masa kurang daripada lima minit untuk disediakan. Dua minit untuk siapkan bahan-bahan dan sukat apa yang perlu. 30 saat untuk kacau adunan manakala antara satu hingga satu minit setengah untuk masak di dalam ketuhar gelombang mikro.

Kek coklat dalam mug saya ini ada perasa kurma. Cuba untuk kurangkan penggunaan gula dan berharap versi kek saya ini guilt-free (yang mana saya boleh nikmati tanpa rasa bersalah), saya guna kurma. Jadi, rasa manis kek coklat saya hanya daripada manis buah kurma. Beberapa biji kurma saya rendam dalam 1 - 2 sudu besar air panas untuk lembutkan isinya, kemudian saya lenyek-lenyek supaya menjadi pes kurma. Jika tidak mahu guna pes kurma, kalian boleh sahaja guna gula biasa, gula perang, madu atau sirap mapel. Ikut kesukaan masing-masing ye.

Lagi satu, tepung saya guna tepung badam. Tiada tepung badam? Guna tepung gandum biasa pun boleh.

Khamis, September 12, 2019

Resepi Air Fryer - Ayam Cajun

Satu lagi variasi hidangan ayam - ayam cajun. Cara hendak buat amatlah mudah. Hanya perlu dapatkan rempah cajun di pasaran. Dahulu saya biasa beli rempah cajun keluaran Tesco. Harganya lebih mudah berbanding rempah jenama lain. Tetapi, memandangkan yang keluaran Tesco ini mengandungi gula dan maltodextrin (gula juga), saya beralih ke jenama yang lain.  Maaf, tak ingat nama. 

Saya suka kepelbagaian rasa dalam masakan. Cuma sekarang, saya sedaya upaya cuba kurangkan kandungan gula dalam penyediaan makanan termasuklah di dalam rempah, sos atau perasa yang lain. Jangan pula pening kepala ingat rempah cajun Tesco tidak boleh guna ya. Sebenarnya, tidak kisahlah jenama apa, asal ada rempah cajun, dah boleh masak ayam ini.


Beginilah rupanya ayam cajun saya.


Resepi Ayam Cajun

Jumaat, April 26, 2019

Resepi Air Fryer - Cucur Roti Mudah

Assalamu'alaikum. Hai semua!
Lama betul tak bersiaran di tower ini. Mujurlah masih boleh nak log masuk.

Okey, hari ini saya nak kongsi satu resepi air fryer. Kita buat cekodok roti guna air fryer. Tidak goreng guna minyak. Easy-peasy. Apa bahan-bahan yang diperlukan? Check di bawah ya.


Cucur roti | Cekodok roti

Bahan-bahan:
  • Beberapa keping roti putih biasa/ roti fibre. Cucur roti dalam gambar di atas saya guna roti fibre. Jadi, warnanya lebih gelap berbanding jika guna roti putih. Selalunya di rumah ini, roti yang dah expired akan mendiami peti sejuk buat beberapa ketika. Agak-agak rajin tu datang, kita buatlah cucur roti atau puding roti untuk dimamam.
  • 1 labu bawang besar dipotong dadu
  • 1 - 2 cili hijau dihiris halus
  • 1 biji telur
  • Garam secukup rasa 

Jumaat, Oktober 26, 2018

Kentang Bakar - Sedap Mudah Mengenyangkan

Saya selalu pastikan ubi kentang sentiasa ada dalam stok barang dapur. Sekurang-kurangnya apabila saya hendak sediakan sesuatu yang mudah dan sedap, my favourite pick is baked potatoes. Tidak kisahlah sebagai side dish, something to eat during brunch or just a simple treat for one, kentang bakar akan jadi sesuatu yang lazat untuk dinikmati.

Resepi kentang bakar sangat mudah. Disediakan dengan menggunakan ramuan minima yang boleh didapati di dapur. Secara dasarnya, kita hanya perlukan:
  • Kentang
  • Garam
  • Serbuk lada hitam
  • Sedikit minyak masak. Juga boleh digantikan dengan sedikit marjerin atau mentega.

Empat bahan di atas kira bahan asaslah. Selebihnya, kita enhance keenakan rasa kentang bakar dengan pelbagai bahan lain (mengikut cita rasa). Macam saya, kalau nak sesuatu yang mudah disediakan dan  mengenyangkan, saya memang akan buat kentang bakar kegemaran guna empat bahan tadi je. Kentang bakar versi empat bahan ini juga sesuai untuk yang menjaga pengambilan kalori dalam pemakanan.

Cuma apabila tunas rasa ingin dimanja-manja ... sudah alang-alang buat kentang bakar tu apalah salahnya buat sesuatu yang kaya dengan rasa, kan? Pilihan utama saya tentulah tambah parutan keju kemudian  gandingkan dengan taburan herba yang sesuai seperti parsley, oregano atau thyme. Guna rosemary pun sedap! 

Selasa, September 25, 2018

Resepi Sayur Campur Goreng Kilas

Siapa suka makan brussel sprouts? Saya tidak pasti apa nama sayuran ini dalam Bahasa Malaysia. Biasa guna kubis brussel je. Takpun guna bahasa pasar panggil kubis ketot atau kubis kecil. Saya jarang beli kubis brussel ini sebab kurang gemar akan rasanya. Jadi, memang tidak akan masuk dalam menu harian.

Nak dijadikan cerita, Cekengah memang on diet. Dia memang akan beli dan plan meal dia sendiri. Tetapi, ada satu rule yang consistently applies. Anything yang nak perish atau rosak sebelum Cekengah sempat makan, Along kena selamatkan. 😆 Sebab kadang-kadang dia sibuk, balik lambat atau bertugas di luar kota, food yang dibeli memang tak termakan. Termasuklah sebungkus brussel sprouts yang semakin hari semakin kecut di dalam peti sejuk.

Maka, saya masaklah sayur campur. Tetapi kali ini tidak buat style sos tiram kuah pekat tu. Saya guna minyak bijan dan kicap cair. Sayur campur versi ini digoreng kilas (stir fry). Tekstur sayur-sayurannya rangup krup krap krup krap gitu!


Khamis, Ogos 16, 2018

Jeruk Limau Bali

Baru-baru ini saya dapat buah limau bali daripada Kak Nani, a family friend. Kak Nani kalau balik jalan mesti tak lupa nak beri ole-ole. Saya memang suka buah pomelo ni. Kalau makan memang sedap je masuk mulut. Kadang-kadang setengah biji tu saya seorang sahaja yang 'baham'. Hehehe tak sesuai guna istilah makan atau kunyah dah 😉

Nak dijadikan cerita, dua tiga minggu ni cuaca panas lain macam. Mulalah craving nak itu ini. Saya paling teringin nak rambutan. Teringin sangat! Musim buah kali ni boleh pula tak ada rezeki merasa rambutan. Selalu tu sampai tak terhabis makan. Buah dari pokok, buah yang orang bagi. Terbayang-bayang nikmatnya jeruk rambutan asam boi dan agar-agar rambutan yang refreshingAduhai, tulis entri ni pun dah salivating! Dek kerana teringin, dapat je limau bali terus transform jadi jeruk. 

Jeruk Limau Bali

Isnin, Julai 16, 2018

Resepi Tempoyak Goreng

Sekarang ini sana sini nampak durian. Masuk Facebook, Instagram ... macam-macam durian buat special appearances. Maklumlah musim durian kali ni, buah banyak melambak-lambak. Harga durian pun runtuh jadi murah bukan main!

Dah ada durian, mesti ada tempoyak kan? Biasanya kalian masak hidangan apa dengan tempoyak? Saya selalunya masak gulai lemak tempoyak cili padi. Tidakpun tempoyak tu dilawan dengan sambal lonte. (Lihat resepinya di sini.)

Apa kata cuba buat tempoyak goreng pula. Resepinya mudah. Rasanya dap dap dap! Hidangan tempoyak goreng popular di Sarawak. Tetapi resepi tempoyak goreng saya ini sudah diubah suai ikut bahan apa yang ada. Gambar di bawah ni, gambar lama. Tempoyak goreng yang dibuat pada musim durian yang lepas. Pada asalnya saya nak masukkan sekali serunding tuhau ke dalam tempoyak goreng. Belum sempat goreng tempoyak, serunding tuhau dah habis dimakan terlebih dahulu. Cancel!


Resepi Mudah Tempoyak Goreng


Rabu, Julai 11, 2018

Roti Telur Dadar

Siapa sini suka makan roti telur? Saya memang sangat gemar roti telur. Tak kisahlah untuk sarapan atau minum petang. Dapat guna roti lama dalam peti sejuk. Lagipun, kita boleh pelbagaikan hidangan roti telur ikut cita rasa. Nak lemak berkrim,..nak wangi beraroma, nak pedas, nak manis,..terpulang pada kita.


Intai resepi berasaskan roti dan telur di sini:


Kali ini saya ingin kongsi mengenai roti telur dadar. Basically, kita buat telur dadar dan letak roti di atasnya. Di bawah ni rupa kejadian roti telur dadar semasa sedang dimasak. Gambar sesudah siap dimasak lupa pula nak ambil. 




Apa yang diperlukan? Jom tengok resepinya.

Jumaat, Jun 01, 2018

Resepi Air Fryer - Tauhu Bergedel

Tauhu bergedel memang kegemaran saya. Suka sangat makan tauhu bergedel, cicah dengan kuahnya siap dengan cili api. Bila gigit tang cili api tu, fuhhh terangkattttt!!

Tahun lepas si Cekengah rajin beli tauhu bergedel ni sebagai salah satu hidangan berbuka puasa kami. Alang-alang dah suka tu, saya mula buat sendiri. Buat banyak barulah puas makan.

Tauhu bergedel versi saya disediakan guna air fryer. So, saya goreng (masak) tidak perlu guna minyak. Kiranya ni healthier version of tauhu bergedel lah. Lagipun, saya prefer guna air fryer time bersilat busy di dapur. Tak perlu tunggu perhati gorengan di dalam kuali. Masukkan je ke dalam air fryer, set timer, biarkan dan TINGGGG! Siap!


Resepi Tauhu Bergedel Mudah


Rabu, Mei 02, 2018

Resepi Mudah Buttered Tempe | Tempe Bersos Mentega


Tempe Bersos Mentega

Resepi Buttered Tempe | Tempe Bersos Mentega

Bahan-bahan:
  • 2 bungkus tempe - dihiris nipis memanjang
  • 3 tangkai daun kari
  • 4 tangkai cili padi - hiris (Kali ini saya guna hirisan cili merah sebab ada yang dijamu tidak makan pedas) 😀. Sebenarnya kalau pakai hirisan cili padi memang lagi umphh!
  • 3 ulas bawang putih - cincang halus
  • 1/2 tin susu cair. Boleh guna lebih jika ingin kuah yang lebih banyak.
  • 1 - 1 1/2 sudu besar mentega
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng tempe

Selasa, April 24, 2018

Resepi Nuget Tauhu

Hari ini saya ingin berkongsi satu resepi mudah dan sedap berasaskan tauhu. Tauhu yang saya guna untuk resepi ini ialah tauhu keras putih yang biasa tu ye. Bukan tauhu Jepun, tauhu kering atau versi yang goreng. 

Tauhu biasa jadi menu kami sekeluarga. Sesuai untuk diet Cekebon juga. Saya kalau ke pasar  memang automatik akan TERRR-beli banyak sekiranya tauhu tu nampak segar. Lepas tu mulalah pening kepala nak masukkan tauhu dalam plan menu mingguan sebab takut cepat rosak.

Kali ini saya cuba buat nuget tauhu. Buat dikunyah-kunyak ketika minum petang. Ingin minimakan penggunaan minyak dalam masakan, jadi nuget ini saya masak di dalam air fryer. Bagi yang tiada air fryer, jangan risau. Goreng seperti biasa pun boleh.


Nuget Tauhu dan Mayones Keju

Nuget Tauhu

Khamis, April 05, 2018

Resepi Mudah Ayam Bakar

Ini antara resepi ayam bakar kegemaran saya. Sangat mudah untuk disediakan. Bahan perapan pun tak perlu banyak. Tak susah nak cari atau beli sebab kebanyakannya memang ada dalam dapur kita. So, kalau tiba-tiba teringin ayam bakar, tidakpun apabila saya malas fikir menu apa untuk disediakan, this is my go-to recipe. Easy-peasy!

Kemudian, dari segi penyediaan, kita boleh pilih sama ada nak bakar dalam oven, atas griller, gridle pan ataupun menggunakan air fryer. Yes, bagi yang ada air fryer tu, ini salah satu resepi sihat yang kalian boleh sediakan.