Memaparkan catatan dengan label From Kitchen to Tummy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label From Kitchen to Tummy. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 10, 2022

Dim Sum Enak untuk Minum Petang

Assalamualaikum. Tengah buat apa? Puas tak dapat berehat cuti hujung minggu extra satu hari?

Saya hari ini bermalas-malasan sepanjang hari. Tak produktif langsung. Padahal ada banyak je kerja yang perlu dilunaskan. Tetapi, sebab hari ini cuti, automatik badan dan fikiran ini langsung tidak mahu fikir tentang kerja. 

Semalam dah keluar jalan-jalan, jadi hari ini lepak dan beristirahat di rumah sahaja.

Kalian sudah minum petang? Saya baru lepas mengisi perut dengan dim sum. Buka peti dingin beku tengok ada sepek dim sum beku. Biasa orang makan dim sum untuk sarapan tengah hari (brunch). Kali ini, kita bawa hidangan brunch ke waktu minum petang.

Malas hendak keluarkan periuk mengukus, saya kukus guna ciri kukusan pada ketuhar gelombang mikro sahaja. Lebih cepat dan mudah. Cuma masukkan ke dalam bekas kukusan, letak air di bahagian bawah bekas dan kukus. Untuk makanan beku seperti dim sum ini, cuma perlu kukus sekitar lima ke tujuh minit.


Ting! Siap!

Sedia untuk dinikmati.


Pek dim sum beku ini didatangkan sekali dengan sos pencecah. Kadang-kadang apabila beli dim sum beku, tiada sos pencecah yang disertakan. Pandai-pandailah nak makan dengan sos apa. Ada 8 jenis dimsum di dalam pek - siew mai, daging, lada hitam, udang, keju dan macam-macam lagi. Dua ketul setiap satu perasa. Kira puas dan mengenyangkanlah. 

Sos pencecah yang disediakan.

Selasa, Oktober 04, 2022

Cucur Jagung Ikan Bilis

Assalamualaikum. Selamat pagi! Dah sarapan ke belum tu?

Ini juadah minum petang saya semalam. Cucur jagung ikan bilis. Pada asalnya saya mahu buat kuih udang. Tetapi, udang masih di pasar hahaha. Makanya, saya sediakan cucur jagung dan ikan bilis. Cucur jagung ni kalau kandungan jagung lagi banyak lagi sedap. Kemudian, ikan bilis tu kita tumbuk sedikit supaya adunan cucur lebih berasa.

Cucur jagung ikan bilis is done!

Khamis, September 29, 2022

Tart Nanas Keju Cheddar

Assalamualaikum. Hujung minggu lepas saya buat kuih tart nanas. Versi yang dohnya letak keju. Biar lemak berganda rasanya. Sudah lama teringin hendak makan tart nanas berkeju. Kebetulan beberapa hari sebelum itu ada singgah kedai jual bahan buat kuih dan kek. Saya beli sekali jem nanas satu pek kecil.


Tart nanas berkeju

Selasa, September 27, 2022

Resepi Sos Cajun Sos Pencecah yang Enak

Assalamualaikum. Apa khabar semua? 

Dahulu saya pernah tulis entri mengenai resepi Roti Sardin Gulung Air Fryer dengan sos cajun sebagai sos pencecah. Hari ini saya akan kongsi resepi sos cajun yang amat mudah untuk dibuat. Dah senang buat tu, bolehlah dijadikan sos pilihan untuk cecah snek kegemaran atau makanan cekut seperti nuget dan kentang goreng. Asyik lawan dengan sos cili, sos BBQ atau sos keju sahaja ... kali ini ada pilihan yang berbeza, kita nikmati dengan sos cajun.




Resepi Sos Cajun Mudah

Rabu, September 07, 2022

Resepi Paprik Tauhu Telur dan Kedondong

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin berkongsi resepi hidangan menggunakan tauhu telur dan kedondong. Kelmarin, sewaktu buka peti sejuk, tengok ada beberapa tiub tauhu telur. Macam-macam resepi menggunakan tauhu telur yang boleh disediakan sebenarnya tetapi tiba-tiba pula jadi buntu tidak pasti hendak masak apa. 😂

Pada mulanya saya berhasrat buat egg drop soup letak tauhu telur. Tetapi, tekak tak rasa macam nak makan sup pula. Pandang-pandang keliling, nampak kedondong muda yang beli di Econsave. Banyak saya beli hari tu. Maklumlah, datang fasa craving nak cecah kedondong dengan cuka dan cili api. Ting! 💡 Kita buat paprik. Sedap masam-masam manis makan dengan nasi panas!



Rabu, Ogos 24, 2022

Aiskrim Pisang 3 Minit

Assalamualaikum. Selamat Hari Rabu! Moga-moga kalian semua sihat dan baik-baik sahaja. Cuaca sekarang tidak menentu. Kalau panas, panas sangat. Tiba-tiba boleh hujan lebat, pakej dengan ribut petir sekali. Apa yang penting jaga diri ya.

Hari ini di kawasan saya panas terik. Hendak memandang ke luar pun tidak larat lama-lama. Teriknya sampai menyilaukan mata. Waktu-waktu beginilah mula teringin hendak sesuatu yang dingin lalu di anak tekak. 😁 Saya buat aiskrim pisang tiga minit!

Betul. Aiskrim pisang ini paling mudah. Tiga minit sahaja siap. Dengan syarat, kalian ada pisang yang telah didinginbekukan terlebih dahulu. 

Di rumah ini, pisang memang antara makanan wajib beli setiap kali beli barang dapur. Sebahagian besar daripadanya dimakan begitu sahaja, dijadikan cucur pisang, buat baked oat, biskut oat sihat 3 bahan atau lempeng oat dan pisang. Selebihnya, memang saya akan kupas kulit, belah kepada beberapa bahagian supaya menjadi ketulan-ketulan kecil dan simpan di dalam peti dingin beku. Sangat berguna apabila kita hendak buat smoothie pisang atau aiskrim pisang.

Bukan sahaja mudah dan cepat disediakan, aiskrim pisang ini dikira rendah kalori. Bolehlah makan lebih sedikit tanpa rasa bersalah. 

Aiskrim pisang 3 minit rendah kalori saya 😄 

Isnin, Ogos 15, 2022

Nasi Beriani Udang, Mor Milagai dan Raita

Pernah atau tidak kalian makan beriani udang? Sebelum ini, saya kongsi gambar beriani udang melalui entri Wordless Wednesday. Baru sekarang berkesempatan tulis entri penuh.

Kebiasaannya, apabila berpeluang makan nasi beriani, pilihan saya hanya nasi beriani ayam, daging ataupun kambing. Tidak tergerak hati langsung untuk mencuba beriani udang atau makanan laut. Entah mengapa entah. Mungkin kerana saya ini bukan penggemar makanan laut. Tidak pun, hidangan tersebut tak nampak betul-betul menyelerakan, tak berjaya menggoda saya 🤣.

 

Tetapi yang ini…

Nasi Beriani Udang

Jumaat, Ogos 12, 2022

Bebola Keledek Viral yang Rangup dan Enak Dimakan

Assalamualaikum. 

Sebenarnya sudah beberapa hari asyik tergoda dan terliur tengok bebola keledek viral yang lalu lalang di Instagram dan TikTok. Tetapi, tidaklah tergerak hati untuk cuba masak. Pagi ini dalam tercari-cari apa yang hendak dibuat untuk sarapan, nampak pula beberapa keledek manis dalam bakul.

Apa lagi, teruslah kelentung-kelentang di dapur dengan harapan bebola keledek viral yang diimpikan berjaya jadi hidangan makan pagi.

Alhamdulillah, inilah bebola keledek viral saya. Panas-panas lagi dari kuali.

Bebola Keledek Viral

Resepi Bebola Keledek Manis

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bebola keledek manis ini tidak banyak. Langkah-langkah penyediaan pun tidaklah serumit mana. Jom tengok bahan-bahan yang diperlukan!

Bahan-bahan:

  • 400g keledek oren
  • 140 gram tepung ubi kayu
  • 140 gram gula
  • 1 - 2 sudu besar air (digunakan hanya jika perlu untuk melembutkan adunan)
  • minyak masak secukupnya untuk menggoreng jeluk (deep fry)


*Selain keledek oren, resepi bebola keledek ini juga boleh diolah dengan menggunakan keledek ungu atau keledek Jepun.


** Jika diikutkan, sukatan gula yang digunakan sama dengan sukatan tepung ubi. Tetapi, terpulanglah pada selera kalian. Andai tidak mahu bebola keledek kalian terlalu manis, kurangkanlah penggunaan gula sesuai selera.

Lihat juga: Resepi Cucur Keledek Kembung


Cara Buat Keledek Viral Rangup

Pertama sekali, bersihkan keledek. Kupas kulit, potong kepada beberapa bahagian supaya lebih mudah empuk dan kukus.

Keledek saya sedia untuk dikukus.

Setelah keledek empuk, lenyek keledek. Kemudian, masukkan tepung ubi kayu dan gula. Gaul sekata dan uli sehingga menjadi doh seperti di bawah ini. Saya tidak guna kesemua tepung ubi sekali gus. Masukkan secara berperingkat dan uli sampai dapat adunan yang tidak melekat di tangan.

Sekiranya doh agak berderai disebabkan terlebih tepung, masukkan satu ke dua sudu besar air. Jika doh lembik, tambahkan sedikit tepung.

Pucat pula doh saya dalam ni. Sebenarnya warnanya lebih oren :)


Setelah itu, gentel-gentel doh sehingga menjadi bebola kecil. Bulat-bulatkan asal jadi bebola sudah. Tidak perlu teliti sangat kerana semasa proses menggoreng nanti bebola keledek kita akan mengembang bulat dengan jayanya.

♫ Bulat kecil ... bulat kecil ... bebola keledek! 🎝🎜


Selesai proses buat bebola, panaskan minyak masak. Guna api sederhana. Minyak memang kena banyak supaya bebola boleh tenggelam. Kita nak deep fry, kan?

Setelah minyak panas, masukkan bebola dan goreng sehingga agak-agak separuh masak. Proses selepas ini yang penting. Jangan lupa buat! 

Apabila bebola keledek kita sudah separuh masak, gunakan sudip untuk tekan bebola di dalam kuali. Proses ini bertujuan untuk mendapatkan bebola yang ringan, rangup dan berlohong di dalamnya. Jika kita balik-balikkan seperti gorengan biasa, tidak dapat lubang kuih. Nanti tepung dalamnya jadi gooey.

Tekan-tekan seolah-olah kita hendak penyekkan bebola yang sedang digoreng. Jangan bimbang bebola tu jadi pipih ke ... kemik ke .... Bebola akan menjadi lebih ringan dan cantik terbentuk kembungnya. Terus tekan dan tekan lagi sambil menggoreng sehingga kulit luarnya mengeras.

Angkat bebola yang sudah masak cantik. Tuskan minyak. Biarkan sejuk seketika sebelum dihidang.

Maaf, gembira sangat bebola keledek viral saya menjadi sampai lupa untuk ambil gambar bahagian dalam bebola yang berlohong tu. Kalian dapat bayangkan bagaimana, kan?


Nikmatilah dengan senyuman. 😊


Bebola Keledek Viral Guna Air Fryer

Bolehkah bebola keledek ini dimasak menggunakan air fryer? Jadi tak lohong di bahagian dalam bebola? Saya betul-betul terlupa. Hasrat asal hendak cuba goreng sebahagian daripada bebola keledek ini menggunakan air fryer. Tetapi, disebabkan teruja tengok hasil gorengan cantik bulat-bulat guna kuali, tahu-tahu habis semua bebola saya goreng sekali.

Insya-Allah, ada kesempatan lain saya cuba bereksperimen masak bebola keledek viral guna air fryer. Kalau ada antara kalian yang sudah cuba resepi bebola keledek viral ini pakai air fryer, jangan lupa kongsi di sini! 

Sabtu, Ogos 06, 2022

Kerepek Paru Rangup

Assalamualaikum. Salam Santai Sabtu! Selamat berehat semua!

Baru-baru ini, ada kawan bertanya sama ada saya hendak paru atau tidak untuk dibuat masak? Maklumlah, sesetengah orang tak makan paru. Itu yang dia tanya dahulu sebelum beri.

Saya iyakan sahaja dengan syarat paru yang sampai kepada saya paru yang sudah siap direbus. Hahaha memang bunyi macam banyak cekadak tetapi saya tidak cukup gagah untuk proses paru yang belum direbus. Nak kena rendam, kena cuci darah beku semua tu. Saya tidak mampu.

Jadi, apabila paru rebus selamat mendarat di dapur, terus saya usahakan untuk buat kerepek paru rangup. Beberapa tahun dahulu, ada orang beri saya kerepek paru rangup. Sedap sangat! Krup krap krup krap apabila dikunyah. Paru rangup yang sepatutnya dijadikan hidangan standby kalau malas masak tidak ambil masa lama untuk saya habiskan. Licin-licau.

Setelah itu, hajat hendak beli kerepek paru yang sama tidak kesampaian kerana tuan punya badan yang buat kerepek paru dah berhijrah. Cari di Shopee dan Lazada, macam tak berkenan sangat sebab tidak ada yang betul-betul nipis seperti yang saya pernah makan.

Ini kerepek paru rangup saya.


Kerepek Paru Rangup

Sabtu, Julai 30, 2022

Bakar Semula Biskut Lemau

Assalamualaikum. Salam santai Sabtu! Salam 1 Muharam! Hari ini saya bersiaran dari rumah, masih dalam proses mengemas. Dua minggu lebih juga tidak balik kerana ada urusan di luar kota. Maka, banyaklah hal ehwal rumah yang perlu diuruskan.

Dari semalam sibuk kemas dapur dan pantri. Tengok stok barang dapur, semak tarikh luput makanan dan minuman yang ada sebelum pergi beli stok baharu. Masa kemas stok beginilah akan jumpa macam-macam. 

"Eh, saya tak tahu kita ada teh jenama ni?" 

"Mana dapat biskut dalam balang ni?" 

"Kerepek ni bila kita beli?" 😄

Selain jumpa khazanah-khazanah berharga yang boleh dinikmati kemudian, jumpa juga benda-benda lain yang perlukan tindakan segera. Antaranya, biskut Jacobs Hi Calcium Low Salt yang kandungannya hanya berbaki suku tin. Dah lemau!

Ini memang kebiasaan di rumah saya. Biskut tu kalau awal-awal buka, memang laku keras. Tinggal setengah pun laku lagi. Nanti bila dah hujung-hujung, terbiar dilupakan begitu sahaja. 

Biskut lemau begini jangan dibuang begitu sahaja. Sayang! Rezeki tu, kan? Habis tu, kita nak buat apa?

Kita bakar supaya rangup semula.


Cara Bakar Semula Biskut Lemau

Biskut lemau sedia untuk dibakar semula.

Isnin, Julai 25, 2022

Onde-onde | Buah Melaka Idaman Kalbu

Dalam banyak-banyak kuih tradisional, kuih inilah yang miliki paling banyak nama! Onde-onde dan buah Melaka boleh dikira panggilan biasa untuk kuih daripada tepung pulut bersalut kelapa parut ini. Selain itu, ada yang panggil kelepung atau kelepon. Tidak silap saya orang Johor. Lebih kurang sama seperti di Indonesia. 

Jika di belah Pantai Timur pula, kuih ini dipanggil kekoh char atau woh mulong (buah mulong).

Tidak kiralah apapun namanya, kuih ini memang kesukaan ramai. Kalau masa bulan Ramadan, memang paling laris sebagai juadah pemanis mulut/pembuka selera ketika berbuka puasa.

Part yang paling saya suka -  gigit onde-onde dan ada rembesan manis meletus dalam mulut. 🤤 Gabungan rasa lemak manis doh yang lembut-lebut kenyal dengan air gula (gula nisan atau gula Melaka) memang nikmat betul! Tapi, ada juga yang dah kunyah lumat pun tak muncul-muncul gulanya. Onde-onde kosong. Anggap jelah tak ada rezeki, kan? 🤣


Onde-onde saya 😊

Jumaat, Jun 24, 2022

Tempe Mendoan Cecah Sos Keju

Petang semalam di kawasan saya hujan lebat. Mulalah perut rasa berlubang dan minta diisi. Tercari-cari apa yang boleh disediakan sebagai hidangan ringkas, akhirnya saya goreng tempe salut tepung ala-ala tempe mendoan. Bukan untuk dijadikan lauk. Lebih kepada kudapan ringan untuk kunyah-kunyah semasa minum petang.


Tempe mendoan garing di luar, lembut di dalam 😊

Ahad, Mei 22, 2022

Sandwic dan Sandwic Lagi

Semalam ketika sedang lihat gambar-gambar di galeri telefon, saya sedar satu perkara - belakangan ini saya banyak makan sandwic! 

Bermula dari makan beef brisket sandwich lettuce and peanut butter on the side yang saya buat entri WW dua minggu lalu, selang sehari memang akan makan sandwic. 

Mungkin kerana dua tiga minggu ini agak sibuk buat kerja suntingan dan terjemahan, apabila tiba masa untuk makan, sandwic jadi pilihan saya sebab senang. Tidak perlu fikir banyak. Hendak sediakan hidangan roti ini tidak mengambil masa yang lama. Kalau tunjuk-tunjuk dalam aplikasi Grab lagilah... tinggal tunggu roti sampai di hadapan pintu sahaja 😂


Sandwic Kacang Kuda

Sandwic kacang kuda

This is my favourite go-to sandwich jika di rumah. Saya memang selalu ada kacang kuda rebus di dalam peti ais untuk snacking. Jadi, apabila sudah lapar dan ingin sesuatu yang cepat dan mengenyangkan, saya lenyek sedikit kacang kuda untuk dijadikan inti sandwic. Tetapi sandwic di atas tidak cukup bahan. Daun salad tiada. Cuma kacang kuda, hirisan cili hijau, tomato yang didadu, perahan jus limau, chilli flakes dan sedikit tuna spread yang disapu di atas kedua-dua roti.

Lihat resepi sandwic kacang kuda saya di sini.

Sandwic Telur


Sandwic telur mudah


Sandwic telur saya guna resepi biasa sahaja. Telur direbus, kemudian dilenyek dengan sedikit mayones sebelum diperasakan dengan serbuk lada putih dan garam. Roti saya guna kepingan Gardenia Sommerset Cottage Multi Grain & Seeds. Saya suka roti ni. Sedap! Sapu dengan mentega kemudian bakar sekejap biar garing sedikit. Susun daun salad, letak campuran telur lenyek tadi... siap!


Egg Club Sandwich Coffee Bean


Egg Club Sandwich

Sandwic telur lagi! 😊 Ini sebenarnya sarapan Bott. Dia makan setengah je. Saya dah selamat habiskan Jalapeno Cheese Salmon Bagel saya. Baki egg club sandwich ni saya jadikan hidangan merarap. Dah soggy sedikit, tetapi tetap sedap!


Sandwic Tuna, Lemon dan Lada Hitam

Sandwic tuna

Masa ini memang betul-betul tengah lapar. Terus capai tuna dalam tin, perasakan dengan perahan jus lemon, serbuk lada hitam dan garam. Bakar roti, letak daun salad, hirisan tomato dan hirisan cili api sebab nak something spicy. Bila tergigit cili tu, fuhhh! Terangkat!


Sandwich atau sandwic?

Alang-alang sudah buka cerita tentang sandwic, saya sentuh pasal ejaan sebenar sandwich sekali ya. Kita kongsi ilmu sama-sama. Tahu tak mana satu yang betul - sandwich atau sandwic?

Ejaan yang tepat ialah sandwic. 

Huruf h di hujung digugurkan. Boleh rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat atau Laman Web Pusat Rujukan Persuratan Melayu.

Sentuh tentang penjodoh bilangan pula. Disebabkan sandwic diperbuat daripada dua keping (atau lebih) roti, penggunaan sekeping untuk sandwic adalah kurang tepat. Disarankan guna potong atau set (biasanya sandwic dibelah kepada dua bahagian, bukan?)


Kalian suka sandwic apa? Ada tak mana-mana sandwic sedap yang boleh disarankan? Mana tahu episod makan sandwic saya ini melarat hingga ke minggu-minggu depan.


Selamat menikmati hari!


Khamis, Mei 19, 2022

Ayam Ala Tiga Budak Gemok

Sudah lama teringin hendak makan ayam kicap ala Tiga Budak Gemok. Tetapi, setiap kali masak hidangan ayam, melencong pergi buat lauk lain. Tidak boleh jadi ni! Mesti diusahakan juga buat sampai dapat lepas hajat. Kali ini, saya guna resepi dari blog Che Nom tetapi diolah sedikit bahan-bahannya mengikut apa yang ada di dapur saya. Untuk resepi asal, boleh lihat di sini

Hidangan ayam kicap saya versi tidak cukup syarat. Tiada sambal gesek. Buat ayam kicap semata-mata. Jom intai resepi!

Ayam ala Tiga Budak Gemok

Khamis, April 14, 2022

Popia Tuna Frozen

Assalamualaikum. Kisah buat popia tuna frozen ini kisah sebelum puasa sebenarnya. Sengaja saya buat beberapa jenis kuih frozen buat stok. Saya ni kurang gemar ke bazaar Ramadan. Jadi, kalau rasa hendak makan kuih untuk berbuka puasa atau moreh, adalah kuih dalam peti dingin beku yang boleh dimasak. Tidak pun, buat goreng dan kongsi-kongsi dengan jiran sebagai salah satu hidangan tambahan berbuka puasa.

Rancangan asal hanya ingin buat popia goreng biasa sahaja. Bab buat popia, sebenarnya saya tukang buat inti sahaja. Sayalah yang akan parut semua bahan-bahan, tumiskan, tuskan supaya tidak berair... apabila inti sedia, proses selanjutnya akan disudahkan oleh Bott. Dia ada 100 biji popia yang hendak digulung.


Resepi Popia frozen boleh lihat di sini.


Sementara Bott gulung popia, saya kemas pantri. Terjumpa beberapa tin tuna. Dari situlah tergerak hati hendak buat popia tuna. Saya potong dadu bawang Holland setengah biji, masukkan beberapa sudu mayones, serbuk lada putih dan garam secukup rasa kemudian gaul semua bahan sehingga sekata.

Inilah inti popia tuna saya.

Inti popia tuna

Ahad, April 10, 2022

5 Idea Hidangan Ayam untuk Menu Berbuka Puasa

Tercari-cari menuu hidangan ayam untuk berbuka puasa? Di sini saya kongsikan 5 idea hidangan ayam yang sesuai dijadikan juadah berbuka puasa. Dari ayam daun kari sehinggalah ke ayam masak lada hitam, kesemuanya sedap belaka.


1. Ayam Daun Kari

Ayam Daun Kari

Khamis, Mac 31, 2022

Resepi Terung Ikan Bilis Cili Api

Tercari-cari idea masakan menggunakan terung? Boleh cuba resepi ringkas yang saya kongsikan ini. Mudah sahaja membuatnya. Waktu makan, pasti bertambah nasi. Juadah terung ikan bilis cili api ni meriah dengan rasa. Ada masin, ada pedas dan ada masam. Masin ikan bilis, pedas cili api dan masam air asam jawa - kombinasi rasa ketiga-tiga bahan memang best!

Jom tengok resepi!

Terung Ikan Bilis Cili Api


Jumaat, Mac 25, 2022

Makarun Kelapa Makan Ulang-ulang

Assalamualaikum.

Ada tidak dalam kalangan kalian yang suka makan makarun kelapa (coconut macaroons)? Dua bahan asas makarun kelapa ialah putih telur dan kelapa parut. Saya sebenarnya suka sangat rasa makarun ini berbanding makarun berwarna-warni yang ada inti manis di tengah-tengah tu. 

Hendak membuatnya pun tidaklah sesukar mana cuma setiap kali teringin hendak makan makarun kelapa, mesti stok kelapa kering tiada di rumah. Maka, kerap tertangguhlah hasrat itu.

Ini makarun kelapa saya.

Makarun kelapa