Memaparkan catatan dengan label Sekadar nak mengomel ;). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sekadar nak mengomel ;). Papar semua catatan

Selasa, Februari 15, 2022

Nah, kopi!

Assalamualaikum.

Hello! Apa khabar semua? Dua minggu ini. saya sibuk dengan urusan-urusan tidak terduga. Baru sekarang ada kesempatan masuk blog. Banyak perkara yang ingin dikongsi, banyak benda mahu dicerita tetapi mood menulis entri hilang entah ke mana.


Jadi, hari ni kita hai hai hello hello dulu. Esok lusa baru terbit entri penuh, balas komen dan kunjungi blog kawan-kawan.


Nah, kopi!

Kopi Costa

Ahad, Januari 16, 2022

Apa itu Cold Brew Coffee

Makluman: Ini entri lama yang secara tidak sengaja statusnya jadi draf.  Saya terbitkan semula. 

Pernah cuba cold brew coffee?

Kopi Bru Sejuk

Ini percubaan pertama saya. Selama ini, setiap kali teringin menikmati kopi bru sejuk (cold brew coffee), saya akan fikir dua tiga kali. Kononnya malas hendak menunggulah, kena ada kesabaran tinggilah ... Hahaha, jikalau hendak seribu daya, bukan? Okey, sebelum itu, mari kita belajar sedikit apa itu cold brew coffee dan mengapa proses bru yang ini berbeza dengan hot brew coffee.

Kebiasaannya, apabila kita hendak bancuh atau bru kopi kita akan guna air panas. Ini kita panggil hot brew. Haba panas yang kena pada serbuk kopi akan keluarkan minyak pada serbuk kopi tersebut. Dari situlah datangnya rasa pahit-pahit kopi. Sifatnya akan jadi berasid. Jadi, itulah sebabnya sesetengah orang alah pada kopi sebab tak tahan dengan keasidannya.

Cold brew coffee berbeza kerana kopi dibru menggunakan air sejuk atau air pada suhu bilik. Tetapi, proses penyediaan kopi bru sejuk mengambil masa lebih kurang satu hari satu malam! Kita bru kopi dalam tempoh 12 - 24 jam. Maknanya, kalau tiba-tiba rasa teringin cold brew coffee, bertindak segera rendam kopi hari ini supaya dapat minum pada esok hari.

Khamis, Januari 06, 2022

Seperti Berewok Pulang ke Dagu

Assalamualaikum.

Dari hujung minggu lepas kecoh pasal janggut! Janggut rebonding, janggut tanglung, janggut kena iron, janggut ikut sunnah, janggut Maharaja Cina … .

Tak sangka isu cambang bauk boleh jadi tular satu Malaysia. Apabila sudah tular, perkara tersebut tidak akan berakhir di situ sahaja. Mulalah sesak media sosial dengan pelbagai hantaran, ciapan dan perkongsian berkaitan janggut.

Tidak cukup itu, iklan produk untuk janggut muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Pomade untuk janggut … krim untuk lebatkan janggut …. Yalah, kenalah ambil peluang sementara isu janggut masih relevan dan hangat diperkatakan. 😂

Tetapi, dalam banyak-banyak itu saya rasa hantaran infografik DBP paling mencuri perhatian saya. Pihak DBP memanfaatkan isu janggut yang kini sohor di media-media sosial untuk membawa perhatian umum kepada peribahasa lama - seperti janggut pulang ke dagu.


Sabtu, Januari 01, 2022

Selamat Menggubah Rapsodi Bahagia Dua Kosong Dua Dua

Assalamualaikum. Salam 2022! Selamat tahun baharu!


Ya Allah, jadikanlah hari ini,
di pagi hari penuh dengan kebaikan, 
di tengah hari disuburi dengan kebajikan dan 
di akhir hari penuh dengan keberkatan dan redha-Mu, Ya Allah.

Salam Dua Kosong Dua Dua

Isnin, Disember 20, 2021

Misi 2022 - Baca Siri Laksamana Sunan dari Prolog

Semalam dah alang-alang duduk rumah tiada aktiviti khusus, Bott kemas bilik bacaan. Bersihkan buku-buku, lap rak, ganti humidifier sekali asingkan buku mana yang hendak dilupuskan atau diberi pada orang. Saya intai dari jauh sahaja sebab tidak tahan dengan habuk. 

Semasa jengah ke dalam bilik, terpandanglah beberapa buah novel yang disusun di atas meja paling hampir dengan pintu. Ada lapan buah semuanya. Novel-novel tersebut merupakan siri Laksamana Sunan karya Ramlee Awang Murshid. 

Saya tidak tahu pun yang Bott ada koleksi Laksamana Sunan. Jika diikutkan, yang terakhir sahaja - Saifudin Jalis: Musafir Cinta Meraga Sukma tidak dimilikinya. Dia kata dia malas beli sebab beberapa novel terakhir siri ini tidak segah tiga novel pertama. 

Gigih angkut keluar buku pergi dapur nak ambil gambar 😆

Ahad, Disember 19, 2021

Bersedia untuk Keadaan Terburuk

Assalamualaikum. Dua tiga hari ini memang bukan hari yang baik buat rakyat Malaysia. Dengan keadaan cuaca yang amat membimbangkan sekarang ini, kita semua kena sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk hadapi sebarang kemungkinan.

Buat kawan-kawan yang terkesan dengan banjir, moga kalian semua kuat, sabar dan dapat lalui dugaan ini dengan baik. Apa yang penting jaga diri, sentiasa jaga diri dan pastikan keselamatan setiap ahli keluarga kita.

Sedih baca perkongsian-perkongsian di media tentang keadaan banjir teruk tidak terduga yang melanda Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain. Kawasan yang sebelum ini tidak pernah banjir, tenggelam digenangi air. Belum campur kejadian tanah runtuh, jalan tutup dan kemalangan tragis yang meragut banyak nyawa sekali gus.

Di tempat saya, hujan masih belum berhenti. Beberapa kawasan berhampiran sudah dinaiki air. Mujurlah rumah saya terletak di kawasan yang agak tinggi. Malam tadi memang tidak lena sangat tidur memikirkan hujan lebat yang bagai tidak mahu reda.

Kredit Facebook Info Public Health Malaysia

Khamis, Disember 09, 2021

My Best Proofreading

Assalamualaikum.

Terjumpa benda ni. Terkekeh-kekeh saya seorang diri pagi-pagi buta tadi sebab rasa memang kena setepek dekat batang hidung.


I do my best proofreading after I hit send.
Saya membaca pruf hanya setelah menekan butang hantar.

Jumaat, Disember 03, 2021

Selamat Hari OKU Sedunia

Assalamualaikum. Salam Hari Jumaat. Hari ini, 3 Disember merupakan sambutan Hari OKU Sedunia. Sebagai ahli masyarakat, kita perlu buka mata, iktiraf keistimewaan golongan ini dan beri mereka peluang seadilnya untuk membuktikan diri. Ada banyak kategori orang kelainan upaya - OKU fizikal, mental, penglihatan, pendengaran dan pembelajaran. Setiap seorang punya hak yang sama dengan kita yang biasa ini cuma kitalah kena sentiasa beri sokongan dan tahu cara yang betul untuk berinteraksi dengan mereka. 

Mudah-mudahan, dengan ada sambutan sebegini saban tahun, kita akan lebih peka dan prihatin terhadap keadaan mereka. Dapat beri pendedahan dan didikan yang baik kepada ahli keluarga terutama anak-anak agar tidak mengabaikan golongan OKU atau merendah-rendahkan keterbatasan mereka. Perlu jadi lebih empati.


Photo by Eren Li from Pexels


Khamis, Disember 02, 2021

Candra Ancala Sujana dalam Satu Nafas

Kord Gitar Hitam Saksi Putih - Haqiem Rusli | Kalau jumpa orang sibuk guna rancak, rancak berdosa ... kalian tahulah dari mana punca pengaruhnya. Sampaikan Viu pun guna tagline ‘Semuanya Rancak’.

Tetapi, kalau tiba-tiba kalian dengar anak remaja terutamanya gadis-gadis sunti guna candra, ancala dan sujana ... dapat agak tak dari mana? Hahaha jangan terkejut. Siapa yang guna istilah-istilah ini dalam masa terdekat, sahih peminat setia Haqiem Rusli (Qiemillio). 😎

Saya singgah ke rumah seorang kenalan baru-baru ini sebab dia buat kenduri tetapi saya tidak dapat hadir. Ditegur oleh anak gadis remajanya, N yang dahulu pernah jadi anak murid kelas tuisyen saya. Bukan main rancak lagi dia berbual, bercerita itu ini. Saya perasan dalam keterujaan N mengkhabarkan perkembangan dirinya kepada saya, dia menggunakan tiga perkataan yang jarang kita dengar - candra, ancala dan sujana. Practically, dia seolah-olah tuturkan tiga perkataan ini dalam satu nafas! 😅

Candra bertemankan anjala 😎 (Photo by Pixabay from Pexels)

Rabu, Disember 01, 2021

31 Hari Tanpa Hari Buruk

Assalamualaikum. Salam 1 Disember! 2021 cuma berbaki 31 hari sahaja lagi. Teruja tak? Saya lebih kepada berbaur, bercampur aduk. Tidak tahu hendak jangkakan apa. Dengan perkembangan terkini Covid-19 yang 'diancam' kehadiran Omicron, dengan harga barang-barang naik ... kita tunggu dan lihat dengan sabar jelah ya. Apa yang penting, kita jangan alpa. Terus bersikap positif, terus jaga diri, terus patuh SOP.

Selamat menempuh bab akhir untuk ceritera 2021 kita. Semoga 31 hari yang bakal kita lalui baik-baik belaka. 31 hari tanpa hari buruk! Aamiinn.



Azam 2021 kalian bagaimana? Berjaya capai apa yang diingini? Atau ada yang kena bawa ke tahun hadapan? Mungkin ada satu dua yang masih sempat lagi dicapai. Mari kita sama-sama usahakan. 


Rabu, November 24, 2021

Pagi Rabu untuk Ain

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Dua tiga menjak ni tower saya sunyi sepi sebab saya balik kampung. Lama dah tidak pulang ke kampung arwah Babah. Setelah tu sambung cuti-cuti. 

Habis cuti, sambung pula dengan temujanji pemeriksaan kesihatan. Umur dah banyak, kenalah sedar diri. Minggu ini penuh dengan ujian ini ujian itu. Periksalah apa yang boleh diperiksa. 😊 


Pagi Rabu di klinik oftalmologi. Luangkan masa untuk periksa mata. Lambat sedikit temujanji saya kali ini. Pesakit pun boleh tahan ramai.

Menaip dengan keadaan tergesa-gesa ni sebab kedua-dua belah mata baru sahaja dititis dengan ubat titis untuk dilate urat mata sebelum doktor ‘teropong’. Kejap lagi urat mata dah kembang terus kabur tak nampak. 

Okey, jumpa nanti. Selamat menikmati pertengahan minggu!


Isnin, November 01, 2021

November yang Lebih Segala

Assalamualaikum. Dah November? Selamat 1121! Saya rasa berbanding tahun lepas, 2021 lebih pantas berlalu. Laju je hari bertukar minggu bertukar bulan. Kita pun dah lalui macam-macam P - PKP, PKPB, PKPD, PdPR … macam-macam fasa - Fasa 1, 2, 3, 4 … Alhamdulillah, semua baik-baik sahaja dan masih bertahan, kan? 😊


Best wishes for your November

Selamat menempuh November, bab 11 untuk cerita 2021. 

Jumaat, Oktober 29, 2021

Be A Man in The Storm

Assalamualaikum. Seminggu lebih saya tidak jenguk blog. Entri terakhir pun entri Wordless Wednesday sahaja minggu lepas. Sebenarnya, banyak benda hendak dicerita ... hendak dikongsi. Tetapi, rasa malas menulis tu berlapis-lapis. 😂

Ditambah pula dengan masalah talian internet yang menduga setiap petala sabar. Entah sampai bilalah syarikat-syarikat telekomunikasi ini mahu guna alasan servis disedang dinaiktaraf demi kebaikan dan kesenangan anda entah. Si Kursar (kura-kura besar) yang viral tu jalan lagi laju! 

Kadang-kadang, rasa macam tercampak kembali ke zaman penggunaan telefon hanya untuk membuat dan menjawab panggilan. Dah, data internet ada banyak-banyak G pun tak berfungsi! Jadi, hari-hari lepas memang banyak diluangkan dengan aktiviti tanpa sambungan internet. Puas dan tenang hati saya tak perlu fikir tentang line laju ke line siput.

Apa khabar semua? Harap kalian baik-baik sahaja. 


Masuk-masuk, dah suruh jadi man in the storm. Haa ... ingat lagi entri saya mengenai apa jawapan unggul untuk persoalan bagaimanakah cara terbaik mendepani halangan dan cabaran hidup? How do you face setbacks in life?

Saya rasa saya jumpa sesuatu yang boleh dipertimbangkan sebagai jawapannya.

Isnin, Oktober 04, 2021

Khabar Kopi | Jumpa di Kafe Joshua

Assalamualaikum. 

Hari ke-4 bulan Oktober. Saya masih berkopi-kopi. Memanfaatkan sebaiknya baucar-baucar Hari Kopi yang saya terima. Menikmati sepenuhnya aroma dan kelazatan kopi memanjalan tunas rasa. Rugilah kalau dibiarkan begitu sahaja. 😊

My coffee 😊

Hari ini, seawal pukul 4.30 pagi, saya terima pesanan Whatsapp. Ingatkan Cekebon. Tetapi, tidak! Mesej daripada seorang gadis bernama Amira - Kak Girang, lama tak dengar berita. Miss you so much! Miss Ariyyan. Miss Joshua. 

Jumaat, Oktober 01, 2021

Pesan Oktober | Hari Kopi

Assalamualaikum. Salam 1 Oktober!
Selamat melangkah ke bulan baharu. Kita sudah sampai ke suku tahun terakhir untuk 2021. Cepat benar masa berlalu, bukan? 

Hari ini saya sangat teruja. Bagi penggemar kopi (coffee lover), pasti kalian juga seperti saya. Hari ini Hari Kopi Sedunia! Yeayyy! Saya berkopi dari pagi hingga ke petang. Tetapi, jangan risau. Masih dalam portion yang terkawal. Banyak tawaran kopi menarik yang tak boleh resist. Tadi sempat beli beberapa pek biji kopi di Lazada. Ganjaran untuk dirilah konon-kononnya sebab berjaya lunaskan semua kerja bulan lepas sebelum deadline.

Kemudian, seorang teman hantar kek kopi, aiskrim kopi dan dua cawan kopi kepada saya. Bukan main seronok lagi kami berdua di rumah ni berkopi-kopi.😊

Pesan Oktober

Memandangkan hari ini hari kopi, saya kongsi satu quote tentang kopi dan kehidupan dengan kalian. Ini salah satu quote kegemaran saya.


Selasa, September 21, 2021

Piza Arang

Dua tiga hari ini saya masih menghabiskan makanan yang dihantar oleh kawan saya pada hujung minggu lalu. Cerita lanjut di sini. Untuk fika hari ini, saya makan dua potong piza yang dibakar menggunakan ketuhar arang. 

Alhamdulillah. Saya makan dengan gembira. Yang sebelah atas tu pepperoni dengan keju. Satu lagi tidak pasti apa perasanya. Saya suka tekstur dan aroma asap-asap pada roti piza. Dua potong di atas sekejap sahaja saya habiskan. Ada beberapa potong lagi di dapur, tetapi cukuplah dulu. Nanti terlebih makan mengantuk, terus tak jadi kerja.

Isnin, September 20, 2021

Sumpah Semalam Sepi

Sumpah Semalam Sepi? Kenapa sepi? Sebenarnya saya ingin bercerita mengenai Aina Abdul. Dalam ramai-ramai artis muda, Aina Abdul antara penyanyi kegemaran saya. Selain berbakat menggubah lagu, nyanyian Aina punya kelas tersendiri. Saya selalu juga tonton video-video di saluran Youtubenya. Suka dengar lagu-lagu cover yang dinyanyikan, buat jadi teman masa buat kerja. Cuma kalau waktu tengah tertekan atau fikir banyak, tak boleh dengar Aina nyanyi lagu yang tinggi-tinggi. Makin stress saya dibuatnya 😂.

Terbaharu, Aina Abdul melancarkan sebuah single yang tajuknya juga Aina Abdul. Pelik? Memang sedikit berbeza dan unik. Kali ini Aina menggabungkan tiga lagu popularnya sebelum ini, Sumpah, Semalam dan Sepi di dalam satu lagu. Ala-ala macam mash-up song lah. Sumpah, Semalam  dan Sepi memang lagu yang sangat dekat dengan penyanyi ini sendiri, yang gambarkan susah senang dan pengalaman perjalanannya sebagai anak seni. Jadi, memang tepatlah gabungan Sumpah Semalam Sepi diberi judul Aina Abdul, simbol representasi dirinya. Nak dengar, cari di Youtube ya.

Photo by Lisa from Pexels

Jumaat, September 03, 2021

Sarapan Selepas Lengkap 2 Dos Vaksin

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, semalam saya terima suntikan vaksin dos kedua. Lengkap sudah vaksinasi untuk tubuh ini. Saya terima vaksin di klinik kesihatan tempat saya dapatkan rawatan untuk asma dan hipertiroid. Jadi, tak kalut sangatlah. Dekat je dengan rumah.

Saya antara orang yang terawal dapat masuk ke dewan vaksinasi untuk sesi pagi. Tetapi, disebabkan keadaan kesihatan saya, lama sedikitlah kena luangkan masa di dalam bilik pantauan. Mana tahu ada kesan pada pernafasan atau degup jantung. Alhamdulillah, semua okey.

Balik rumah, masih kuat buat itu ini. Tetapi, lengan yang disuntik mula berat dan sengal. Menjelang malam, otot dan sendi sengal-sengal, macam nak demam.


Sarapan Pagi untuk Pulih Tenaga

Pagi ini apabila bangun, badan rasa macam kena rempuh dengan lori. Tak larat betul! Mata memang berat. Nak tutup je rasa. Bott periksa suhu, mujurlah saya tidak demam. 

Mulut saya pula payau semacam. Ada nasi lemak untuk sarapan tapi rasa tak lalu nak makan. Ini sesuatu yang jarang-jarang berlaku. 😂 Jadi, Bott buatkan puding biji chia sementara badan nak kuat. Kebetulan, semalam memang dah rendam biji chia dengan serbuk koko untuk buat puding. 


Peanut butter and jam chia seed pudding

Puding Biji Chia Mentega Kacang dan Jem Rasberi

Selasa, Ogos 31, 2021

Salam Malaysia Prihatin

Assalamualaikum.

Salam 31 Ogos! Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64! Tahun ini sekali lagi ‘Malaysia Prihatin’ diangkat sebagai tema sambutan kemerdekaan negara. Mudah-mudahan konsep prihatin, ambil berat dan saling peduli itu ada dalam diri kita semua, malah sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.

Google kibar Jalur Gemilang 😊


Rindu tak pada kemeriahan suasana sambutan Hari Kebangsaan? Ada yang buat countdown merdeka tak malam tadi? Dahulu, pagi-pagi dah buka televisyen hendak tengok perarakan Hari Kebangsaan. Kuatkan bunyi suara, siap tukar dari satu saluran ke saluran TV lain hendak cari siaran dan liputan mana yang best. Semoga tahun-tahun akan datang, dapatlah kita nikmati kemeriahan sambutan ini semula.

Rabu, Ogos 18, 2021

Bubur dan Cakoi You Are My Hero

Penangan maraton tengok drama Cina hujung minggu lalu. Saya tonton drama You Are My Hero. Tiba-tiba, terliur tengok babak doktor-doktor beli bubur dan cakoi di kafeteria. Terus jadi teringin hendak makan! Masa ini mulalah terimbau pelbagai memori lazat bubur dan cakoi. Terbayang bubur dan cakoi McD ... terbayang bubur dan cakoi I Love Yoo!

Apa lagi, laju sahaja langkah diatur ke dapur. Basuh beras untuk tanak bubur sambil tu peram yis. Lebih kurang satu jam lebih kemudian, hidangan yang diimpikan tersaji di depan mata.