Sabtu, Oktober 20, 2012

Cara Mengurus Stok Barang 'Baking' @ Barang Dapur


Selamat berhujung minggu! Syoknya cuti! Hmm, hari ni saya nak kongsi cara untuk menguruskan barang-barang dapur atau 'ingredients baking' supaya lebih tersusun. Ini melalui pengalaman saya sendiri. Setiap kali nak 'bake' atau masak setiap kali itulah saya berperang di dapur. Punggah laci itu, buka almari ini untuk dapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Stok tepung bersepah sana-sini. Kadang-kadang dah buka dan guna tepung baru, baru perasan yang tepung lama masih ada berbaki.

Ada juga situasi saya dah beria-ia nak 'bake', tiba-tiba ada ingredient yang tak cukup. Aikkkk? Rasanya tepung custard ada lagi? Dah habis ke? Terus hilang mood!

So, saya pun lambakkan semua bahan yang saya ada atas meja. Aisy...sempat juga mengeluh kerana ada tepung yang bertaburan disebabkan plastiknya 'bertikaman' sesama sendiri huhuhu. Kebanyakan bahan-bahan yang saya ada dalam kuantiti yang sedikit. Jadi, saya carilah bekas yang sederhana besar untuk muatkan apa yang patut :)

Okey, ini apa yang perlu dilakukan.

1. Sediakan bekas plastik/kotak sederhana besar. Asingkan bahan-bahan mengikut jenis.
Kumpulkan bahan-bahan yang sama jenis dalam 1 bekas. Contohnya, letakkan bijirin seperti oat dan nestum dalam 1 kotak. Tepung-tepung dalam satu kotak yang lain. Tuliskan kuantiti (dalam kg/pek) barang-barang tersebut.



2. Masukkan ke dalam kotak. Buat label senarai barang dan tampalkan di luar kotak.  Pastikan senarai ini mudah dilihat dan mudah untuk 'diedit' (apabila barang bertambah atau berkurang).

Tuliskan sekali tarikh luput bahan-bahan tersebut. Tidaklah nanti masa nak buat cookies baru perasan ada bahan yang dah 'expired'.


3. Susun kotak - kotak dengan label di bahagian hadapan.

Inilah hasilnya!

Selesai! Bolehlah kotak-kotak ini disusun atas rak/almari. Kucar-kacir bahan-bahan berjaya dibanteras!!! Heheheh kalau nak tengok satu-satu bahan tu ada atau tidak, rujuklah pada label yang dah dibuat. Bila ambil barang dari kotak atau ada pertambahan stok, jangan lupa 'update' pada label. Bahan yang nak expired boleh guna segera. Yang dah expired boleh buang. Jimat masa, jimat tenaga dan yang penting dapur kita lebih organized. 


Isnin, Oktober 15, 2012

Mari Makan Buah Dabai!


"Angah beli buah dabai, tapi tak tahulah nak makan macam mana?" 

Terpinga-pinga juga aku masa mula-mula nampak buah tu. Macam buah kurma pun ada, tapi keras. Angah bawa balik dari Kuching. Inilah pertama kali aku nampak buah dabai ni. Angah kata buah ni tak akan jumpa kat semenanjung, itu sebab dia beli. (Hehehe Angah memang ada kecenderungan untuk beli/cuba macam-macam food,...rasa pelik ke... sedap ke tidak belakang kira!)

OK, inilah rupanya buah dabai. Nama saintifiknya 'Canarium Odontophyllum'. Buah ni banyak di Sarawak, tapi berbuah ikut musim.

Cara nak makan buah ni senang je. Kita hanya perlu bersihkan dan kemudian rendam dalam air suam selama 15 - 20 minit. Once kita rendam, buah tu akan lembut, kemudian bolehlah dimakan. Rasa buah dabai ni lemak-lemak. Tapi agak 'bland'. Lagi 'ummmph' kalau dicicah dengan kuah yang masam-masam atau masukkan dalam sambal belacan.

Lepas makan, aku survey di internet. Rupanya di Sarawak, buah dabai ni dimakan dengan kicap atau dibuat jeruk. Hmmm...aku pun tiba-tiba decide nak makan 'dabai kicap' as supper.


Resepi Dabai Kicap
  • Beberapa biji buah dabai yang telah direndam dan ditus.
  • Kicap manis
  • Limau Kasturi

Gaulkan kicap dan perahan jus limau kasturi dengan buah dabai. Sedia dimakan.

Thanks so much, Cekengah! Berpeluang Along kenal dan rasa buah Dabai ni. Terima kasih juga untuk kek lapis Sarawak, terubuk masin, belacan, pes ikan bilis dan T-Shirt besau! I LOVE U!!!!!!

Khamis, Oktober 11, 2012

Resepi Bubur Barli

Beberapa hari lepas, aku buat bubur barli untuk minum petang. Tengok stok barli kat rumah tak berusik, cubalah buat bubur barli. So, ini resepinya.

Resepi Bubur Bali Cekebon (sebab masa buat bubur ni teringat kat ibu he..heh)

  • 1 cawan barli
  • 2 cawan air
  • Beberapa bahagian ayam (dalam 1 atau dua ketul) - potong kecil-kecil
  • 1 batang lobak merah - potong bulat
  • 1/2 sudu lada sulah/lada putih
  • Garam secukup rasa
  • Beberapa biji limau kasturi - belah dua dan buang biji

Cara-cara:
  1. Rebus barli dengan air hingga masak. 
  2. Masukkan potongan ayam dan lobak merah. Biarkan atas dapur seketika hingga ayam masak.
  3. Kemudian, masukkan lada sulah dan perasakan dengan garam.
  4. Sedap dimakan begitu sahaja ketika bubur masih panas. Lebih lazat jika diperahkan sedikit jus limau kasturi ke dalam bubur. Boleh juga dihidangkan bersama roti atau biskut.

Tatttaaaaaadaaaaaaa!
Inilah Bubur Barli Cekebon.


Khamis, Ogos 23, 2012

Angah, Dato' Siti & Hafiz

Hari ni balik je dari kerja Angah bagi aku dengar lagu baru. Dia suruh teka siapa nyanyi. Alamakkk,...lagu duet...starting je dah ada aura 'I LIKEE!'...tapi tak cam sangat siapa tuan punya suara. Masuk part perempuan, terus cam suara Dato' Siti Nurhaliza.

Oh, inilah lagu baru yang jadi OST drama/telenovela Adam & Hawa. Tajuknya 'Muara Hati', dendangan Hafiz & Dato Siti. Adam & Hawa ni adaptasi novel Aisya Sofea, lakonan Aaron Aziz & Nadiya (pelakon filem Cun). Hmmmm...mesti hit lagu nih.

Kalau tak hit pun, dekat rumah ni dah 'box office' dah heheheh. Angah dah pasang berulang-ulang kali sepanjang malam, buat ringtone dan dah siap karok dengan lagu ni. Berdengung jugaklah telinga aku dengar adik kesayangan aku nyanyi. Mujurlah aku turut jatuh chenta dengan 'Muara Hati'. Best! Best! Best! Muzik videonya pun klasssss gitu! Berminat nak tengok? Searchla dekat youtube, ye.



Lirik Lagu 'Muara Hati' - Nyanyian Dato' Siti Nurhaliza & Hafiz.

Cinta terpisah ruang waktu
Tetap cinta bersatu dalam hatiku
Walau raga kita tak mungkin bersama
Ku yakini hati kan tetap setia

Ku percaya kemana pun kau berjalan
Suara cinta menuntunmu kepadaku
Kerna bila cinta sudah bersenandung
Takkan terpisah hati

Korus:
Demi cinta dalam hatimu
Ku yakin engkau untukku
Meski jejak pisahkan kita
Cinta kan bawa kembali padamu

Hoo uuu..

Aku ada kerna engkau ada
Tercipta hatiku hanyalah untukmu
Jalanku tertuju padamu
Kemana pun kan pasti kembali

Wooo....hoo..

[Ulang Korus]

Demi cinta dalam hatimu
Biarkan aku merasuk
Bersatu dalam hatimu
Hanya dirimu dan aku

Hoo....

Demi cinta dalam hatimu
Biarkan aku merasuk (merasuk dalam hati)
Cinta..

DISCLAIMER: Lirik lagu di atas adalah hak cipta / hak milik pengarang, penggubah, artis dan label muzik yang berkenaan. Seluruh media - termasuk lirik, 'guitar chords' & klip video yang terdapat di blog ini hanyalah untuk keperluan promosi dan evaluasi. Sokong artis/penyanyi/kumpulan kegemaran anda dengan membeli CD/nada dering/'caller ringtone' agar mereka dapat terus berkarya.

Sabtu, Julai 21, 2012

Resepi Biskut Cornflakes (Mudah & Ringkas)

Nak makan biskut cornflakes yang rangup dan mudah disediakan? Cuba resepi di bawah ni.

Bahan-bahan yang diperlukan:

Bahan A (Ayak):
  • 150g tepung gandum
  •  210gm tepung jagung
  •  1/2 sudu teh 'baking powder'

Bahan B:
  • 250g mentega
  • 180g gula halus
  • 2 biji telur kuning
  • 2 sudu teh esen vanilla
  • 180gm cornflakes (diramas sedikit sehingga menjadi serpihan kecil dan kasar)

Cara-cara: 
  1. Krimkan mentega dan gula hingga menjadi ringan dan 'fluffy'. Kemudian masukkan kuning telur dan esen vanilla. Pukul hingga semuanya sebati. 
  2.  Masukkan Bahan A yang telah diayak. 
  3. Masukkan cornflakes dan gaul adunan hingga sekata dan menjadi doh yang lembut.
  4. Bentukkan doh bulat-bulat dan letakkan atas 'baking tray' yang telah digris dengan mentega atau shortening. Jika mahu lebih cantik, tekan sedikit permukaan doh dengan garpu.
  5. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 20 hingga 23 minit. (Bergantung pada saiz biskut anda)


Biskut ni memang simple, rangup dan sekali makan nak makan lagi...lagi...dan lagi! Bolehlah ajak anak-anak tolong buat biskut ni untuk raya :)

 Mahu resepi lain berasaskan cornflakes? Cuba Resepi Chewy Flakes.

Ahad, Julai 01, 2012

Oat & Oreo Cookies

Sekarang ni aku memang suka sangat buat cookies. Kali ni cuba buat biskut oat pula. Bagi yang suka kunyah-kunyah tu, boleh cuba biskut ni. Tak guna telur, tak guna mentega dan kandungan utama biskut ni -- OAT. Jadi, ala-ala biskut sihat gitu :)


Resepi Biskut Oat Mudah

Bahan-bahan:
  • 1 cawan tepung
  • 200g margerin
  • 4 cawan oat
  • 3/4 cawan gula aising
  • kuning telur secukupnya untuk sapuan atas biskut sebelum dibakar
  • 1 cawan kacang gajus (yang telah dibelah menjadi separuh)

Cara-cara:
  1. Pukul margerin dan gula aising.
  2. Kemudian, masukkan oat. Gaul rata hingga membentuk doh yang boleh diterap. 
  3. Uli sedikit doh sehingga menjadi leper. Terap menggunakan acuan biskut pilihan anda.
  4. Sapukan sedikit kuning telur dan letakkan gajus di atasnya.
  5. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama 20 - 25 minit.

Kitorang sekeluarga suka sangat biskut ini. Biskut ni masa tengah bakar dalam oven wangi baunya. Rasanya pun sedap dan lemak. Teksturnya agak padat dan bukan jenis biskut rangup sebab banyak kandungan oat.  Untuk batch biskut dalam gambar di atas tu, aku tambah sedikit biskut Oreo yang dihancurkan. Maka, terciptalah Oat & Oreo yang Nyummmmm Nyummmmm!

Rabu, Mei 23, 2012

Andai Ku Bercinta Lagi - MOJO

Pernah dengar lagu ni sebelum ini tapi tak ingat di mana. Yang terlintas di fikiran aku masa tu, "Eh, dia ni nyanyi macam Awie!" Kali kedua dengar, masa balik kerja tadi. Tengok slot Samarinda: Ameera dengan Koyeen. Aku memang berkenan nak follow cerita ni sebab tengok iklan macam syokkk je :) Lagu ni jadi OST untuk Ameera. Sesuaiiii sangat di pendengaran aku yang gemor lagu ala-ala rock kapak nih. 

Lirik Lagu Andai Ku Bercinta Lagi -MOJO

Kini kau tiada
Senafas pun ku perlu mencuba
Kau bawa pergi sebahagian dari jiwa raga

Bersendiri hidup umpama hilang erti
Bagaimanakah meneruskan hayat ini

Andai ku bercinta lagi suatu hari nanti
Tunjukkan di mana
Ruang hati untuknya yang masih belum kau huni

Apabila tiba waktu bersemuka
Ku perlu pejamkan mata dan memaksa lafaz cinta
Dengan bayangmu di minda

Tiada pengganti bisa hadir dan mampu menyembuh
Rawan di hati meleraikan semangat ku runtuh

Bersendiri masa umpama tak beralih
Berapa lama lagi harus ku merintih

Malam tidak berpurnama
Fajar tiada kejora
Aku hilang di dalam gelita kalbu
Tanpa dirimu asaku mati

DISCLAIMER: Lirik lagu di atas adalah hak cipta / hak milik pengarang, penggubah, artis dan label muzik yang berkenaan. Seluruh media - termasuk lirik, 'guitar chords' & klip video yang terdapat di blog ini hanyalah untuk keperluan promosi dan evaluasi. Sokong artis/penyanyi/kumpulan kegemaran anda dengan membeli CD/nada dering/'caller ringtone' agar mereka dapat terus berkarya.

Khamis, April 05, 2012

Kuih Kasturi untuk Minum Petang

Kuih ni ada setengah tempat panggil kuih kacang,...ada yang panggil kuih kasturi (tak pasti tang mana yang 'kasturi' nya). Mana-manalah yea. Aku buat kuih ni untuk sajian minum petang dan hantar ke masjid untuk jemaah makan lepas Isya'. Mudah je nak buat kuih ni cuma masa rebus kacang tu agak-agak jelah airnya.

Bahan-bahan untuk inti:

  • 1 cawan kacang hijau (Basuh, toskan dan kemudian rendam selama 1 - 2 jam sebelum direbus)
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1/2 ke 3/4 cawan gula (Ikut citarasa. Nak kurang manis, kurangkan sukatan gula ye...)
  • 1/2 cawan kelapa parut



  1. Rebus kacang hijau dengan beberapa cawan air hingga kacang empuk dan mengembang.
  2. Apabila air mula kering, perlahankan api dan kacau selalu supaya bahagian bawah tidak hangus.
  3. Masukkan gula, garam dan kacau lagi hingga semuanya sebati. Tunggu sehingga adunan inti kembali kering, kemudian matikan api. Sejukkan inti. 
  4. Setelah inti sejuk dan boleh dikepalkan, masukkan kelapa parut. Gaul hingga sebati. Kemudian bentukkan bulat-bulat.



Bahan-bahan untuk kulit/salutan luar:

  • 3 sudu besar tepung beras
  • 5 sudu besar tepung gandum
  • 1/4 sudu besar garam
  • 1/2 sudu besar margerin
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng



  1. Campurkan semua bahan-bahan di atas (kecuali minyak) dan gaul sebati dengan air sedikit demi sedikit hingga membentuk adunan yang boleh menyalut kuih yang telah dibentukkan tadi. (Jangan terlalu cair)
  2. Goreng sehingga kekuningan.
  3. Sedia untuk dimakan!

Isnin, April 02, 2012

Acar Lobak Putih & UTI

Resepi Acar Lobak Putih



  • Sebatang lobak putih (dihiris nipis-nipis)
  • 1 - 2 sudu besar gula
  • 1/2 sudu teh garam
  • 3 sudu besar cuka Apple Cider (jika tak ada, guna cuka putih biasa pun boleh)
  • Beberapa biji cili api (jika suka pedas)

Caranya:
Satukan semua bahan-bahan di atas. Gaul sebati. Sedia untuk dihidang!

Aku buat acar ini untuk ibu. Ibu ada UTI (Urinary Tract Infection) sejenis jangkitan pada saluran kencing. So, ibu selalu amalkan makan lobak putih untuk bantu atasi masalah UTI nih. Kalau tak nak buat acar, buat air rebusan pun boleh. Lobak putih yang telah dibersihkan dan dihiris, dicampurkan dengan beberapa cawan air. Jerang hingga mendidih. Kemudian, minumlah airnya. 

Ada orang pernah cakap daun lobak putih pun boleh direbus sebagai penawar UTI. Tapi aku tak pernah cuba rebus lagi. Setakat ini, aku hanya buat acar atau rebus sahaja lobak putih tu. Alhamdulillah, nampaklah perkembangan positif pada penyakit ibu ni. Selamat Mencuba!

Ahad, April 01, 2012

11 Biji Tomato

Gardening dah jadi aktiviti santai aku sejak duduk di Kuang. Pokok yang mula-mula aku ada untuk launched hobby ala-ala green-fingers ni -- pokok cili api. [Sila baca entrinya di sini]. Malangnya, jodoh aku dengan pokok cili api aku tak panjang. Pokok ciliku mati diserang ulat daun huhuhu. Selain pokok cili, aku ada tanam beberapa pasu pokok tomato. Dah berbulan-bulan aku tanam. Makin tinggi naik pokoknya dan dah mula berbunga.

Sempat aku komplen pada Bott dan Ar perihal pokok tomato aku yang hanya tahu berbunga tapi buahnya masih belum nampak bayang :) Nak dijadikan cerita, elok je aku ngomel-ngomel pasal pokok tomato, esoknya pokok tu terus berbuah! Alhamdulillah, tuan pokok excited bukan kepalang! Walaupun masa tu, buahnya hanya sebiji, setiap isi rumah aku (termasuk kitten Angah, Yu-Ri) aku khabarkan dengan berita gumbira nih.

Hari ni aku bilang dah ada 11 biji kesemuanya. Super duper excited! Moga pokok tomato aku terus sihat dan biarlah sempat aku rasa buah-buahnya :) Ni gambar buah tomato yang aku sempat snap pagi tadi.

Hehehe...sesungguhnya dalam hati ada tomato!

p/s: Tiba-tiba teringat pulak pada kartun TomatoMan masa aku kecik-kecik dulu.


Tomato tomato tomato-mato!
Tomato tomato tomato-mato!
Tomato ke n ga n  Tomato ke n ga n 
Tomato-Ma-n!

Sabtu, Mac 31, 2012

Ibarat Cendawan Tumbuh Selepas Hujan

Pernah dengar tak perumpaan 'Ibarat Cendawan Tumbuh Selepas Hujan'? Well, hari ni bukanlah nak belajar pasal peribahasa tu hehehe just nak share gambar ni.


Inilah gambar cendawan yang tumbuh melata kat belakang rumah ibu baru-baru ni. Banyakkkkk tau! Tapi tak ada rezeki nak makan/buat lauk. By the time aku realized cendawan-cendawan ni tumbuh, cendawan ni dah rosak dan berulat.

Sebut pasal cendawan, teringat pula obsesi aku pada kulat ni. Masa di kampus dulu, penuh nota-nota aku dengan sketch cendawan especially time mengantuk! Heheheh yang parahnya lagi banyak cendawan daripada nota! 

Aduhaiiii, orang sibuk belajar, aku sibuk lukis kulat! Salah mazhab betulla...Anyway, kat bawah ni lah contoh cendawan 'kejung' yang aku selalu lukis. Langsung tidak sama dengan cendawan kat atas! Cendawan aku ada pengaruh smurfs sikit hehehe

Sepasang kaki yang enter-frame tu milik Yu-Ri, kitten adik aku :)



Doa Memohon Ditambahkan Ilmu Dalam Diri



Doa Memohon Ditambahkan Ilmu Dalam Diri

اللَّــهُمَّ انْـفَعْنِي بِمَا عَلَّمْـتَنِي

 

 وَ عَلِّمْنِي مَا يَنْـفَـعُـنِي 


وَزِدْنِي عِلْماً 


 الْحَمْدُ للَّـهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ


وَأَعُوذُ بِاللَّـهِ مِنْ حَالِ أَهْلِ النَّارِ



Terjemahan:

"Ya Allah berikanlah kepadaku manfaat atas segala yang Engkau ajarkan, dan ajarkanlah kepadaku apa yang memberi manfaat dan tambahkanlah ilmuku. Syukur kepada-Mu atas segalaperkara, aku memohon perlindungan dari-Mu dari keadaan ahli neraka."

Isnin, Februari 13, 2012

Andai kita rasa hidup kita susah,...fikir sekali lagi!

Hari ini aku layan 'monday blues' (walaupun aku tak layak nak rasa blues langsung sebab bukannya kena pergi kerja pun!) sambil tengok Bott kemas rumah. Tiba-tiba Bott panggil aku.

"Cepat, Far! Orang yang biasa tu datang!"

Aku pun bergegas ke 'sliding door' depan rumah. Mujurlah kaca 'sliding door' tu jenis 'tinted ' - nampak dari dalam tak nampak dari luar'. Berjedalah kami berdua di depan 'sliding door' tu sambil memerhatikan tingkah laku 'orang biasa' di luar rumah.

Kalian mesti nak tahu kan...siapa 'orang biasa' yang Bott maksudkan. Apa pula yang dia buat di luar rumah kitorang? Kenapa pula tingkah lakunya menarik perhatian kami?



Inilah 'orang biasa' yang kami maksudkan. Aku tidak kenal dengan mereka tetapi aku dan keluarga kerap nampak lelaki ini (kadangkala bersama dengan isterinya) dan anak-anak datang memunggah sampah di luar rumah dan mengambil barang-barang yang boleh mereka ambil (mungkin untuk kitar semula, dijual atau digunakan semula).

Pada mulanya, aku rasa ingin marah kerana bimbang mereka akan sepahkan sampah-sampah tu. Tetapi setelah beberapa ketika aku memerhati, marahku bertukar jadi kasihan. Kebiasaannya mereka akan rasa-rasa dulu bahagian luar plastik sampah. Bila mereka andaikan ada barang yang boleh diambil, barulah plastik sampah dibuka dan 'isi-isinya' diteroka. Setelah mengambil dan mengasingkan sampah-sampah tertentu, mereka akan ikat semula plastik sampah tu kemas-kemas.

Hari ini, si ayah datang setelah mengambil dua orang anaknya dari sekolah. Bayangkan dengan pakaian seragam sekolah, di bawah terik matahari kedua-dua anaknya turut sama menyelongkar plastik sampah besar di hadapan rumah kami! Ada beberapa perkara yang menyentuh hati aku:

  • Si adik terjumpa pen-pen lama yang aku buang semasa kemas bilik arwah nenek. Segera pen-pen itu dicoret ke tangan - ingin pastikan masih ada dakwat atau tidak. Apabila ada yang memuaskan hatinya, pen-pen itu dimasukkan ke dalam beg sekolahnya.
  • Si abang pula tidak selfish. Ayah jumpa beberapa sapu tangan lama dan berikan kepada abang. Abang dengan baik hati membahagi-bahagikan sapu tangan antara mereka dua beradik.
  • Ketika sedang sibuk menyelongkar sampah, lalulah sebuah van yang membawa murid-murid. Dalam van tu ada murid yang mengenali mereka dan sibuk melambai pada mereka berdua. Ada juga 'anak-anak tak cukup ajar' yang 'boo' budak-budak ni, mengejek dengan nama-nama sampah dan macam-macam lagi. Apa reaksi adik-beradik ni? Mereka lambai balik pada kawan-kawan dan kemudian sambung balik mengasingkan sampah-sampah. Ya Allah, kalau aku dah 'terkundat' dan muncung bibir dah kena ejek! Silap-silap aku jalan setapak...setapak...tahu-tahu dah sampai dekat bus-stop sebelah rumah pulak! Mungkin anak-anak ini sudah lali diperlakukan sedemikian.


Aku pernah dengar orang kata 'one man's trash is another man's treasure'...tapi tidaklah dalam erti kata begini :(  Entri ni aku tulis bukan untuk merendahkan atau memalukan sesiapa. Ini pengajaran untuk kita semua. Andai kita rasa hidup kita susah,...fikir sekali lagi! Ada ramai lagi orang yang susah daripada kita.

Selasa, Januari 31, 2012

Kerabu Mangga oh Kerabu Mangga

Dah lama aku buat kerabu ni tapi tak sempat nak update di blog. Barulah petang ni ada masa nak share resepi kerabu mangga mudah ini di sini. Selamat Buat Kerabu!


Bahan-bahan:
  • 4 biji mangga muda - hiris nipis memanjang (boleh guna 'peeler' khas)
  • 4 ulas bawang merah - hiris nipis
  • 5 biji cili api - hiris nipis atau tumbuk hingga hancur
  • 1 batang serai - hiris nipis
  • 1 sudu besar gula
  • 3 sudu besar sos ikan
  • 3 - 4 biji limau nipis - ambil jusnya
  • 3 - 4 sudu besar kacang tanah - goreng dan tumbuk kasar
  • Garam secukup rasa - tidak perlu terlalu banyak garam kerana sudah menggunakan sos ikan.

Cara-cara:
  1. Masukkan hirisan mangga, bawang merah, cili api dan serai ke dalam mangkuk sederhana besar.
  2. Kemudian masukkan gula, sos ikan dan jus limau nipis. Gaul sehingga semuanya sebati. Perasakan dengan garam jika kurang masin.
  3. Akhir sekali taburkan kacang tanah sebelum dihidangkan.

Sabtu, Januari 28, 2012

Dia Hamzah Perisai Nabi

Dua tiga hari ni aku dengar lagu-lagu dalam playlist Bott. Boleh layan jugaklah. Entah kenapa dah bosan dengan lagu-lagu yang aku ada. Terpikat pula dengan lagu nyanyian In-Team ni. Lirik best,lagunya mendayu + meruntun perasaan... The best part is -- ini salah satu cara mudah lagi santai untuk didik diri kita (+family especially anak-anak) tentang sirah Rasulullah (s.a.w) dan para sahabat.


Lirik Lagu Hamzah Asadullah - In Team

Kesedihan para mukminin,
Masih terpancar di pedang musyirikin,
Sedang darah para syuhada',
Masih merah di lantai sirah.

Ketamakan kepada harta,
Mungkin itu jadi puncanya,
Maka Allah menjadi murka,
Sehingga Nabi pun turut terluka,

Dalam ramai umat yang gugur,
Satu jasad tubuhnya hancur,
Kepiluan beratapan,
Menangisi satu kehilangan.

Dan setelah dikenal pasti,
Dia Hamzah perisai nabi,
Biar nyawa dikorbankan,
(jiwa raga dikorbankan)
Agar Islam tetap terselamat.

Di sebalik ketewasanmu,
Ada syurga sedang menunggu,
Tiap perintah mengandung hikmah,
Keingkaran kan mengundang padah.

Lailahaillallah,
huwa Saidina Hamzah asadullah.

Dikaulah perisai Rasulullah,
Berjuang berkorban demi Allah.

Sudahkah puas hatimu Hendon,
Dapat melapah hati dan jantung,
Terbalaskah dendam kesumat,
Yang sekian lama telah tersemat.

*Lagu ni dari album Allahu Rabbi, rasanya released tahun 2009. Kalau nak dengar, pandai-pandailah korang search ye :)

DISCLAIMER: Lirik lagu di atas adalah hak cipta / hak milik pengarang, penggubah, artis dan label muzik yang berkenaan. Seluruh media - termasuk lirik, 'guitar chords' & klip video yang terdapat di blog ini hanyalah untuk keperluan promosi dan evaluasi. Sokong artis/penyanyi/kumpulan kegemaran anda dengan membeli CD/nada dering/'caller ringtone' agar mereka dapat terus berkarya.

Rabu, Januari 18, 2012

Kerepek Ngaku @ Arrowhead Root Chips

Kali pertama aku makan ngaku chips ni (6-7 tahun lepas) semasa berkunjung ke rumah kenalan keluarga sempena Tahun Baru Cina. Terus jatuh cinta!! Kerepek ni hanya available time Chinese New Year sahaja. Jadi, setiap tahun aku akan usaha untuki cari ngaku chips ni. Harganya agak mahal (dalam RM10-15 sebalang) sebab nak buat kerepek ni agak remeh dan memenatkan. Nak makannya senangggggg sangat! Kruppp krappp kruppp kraaapppp....abis!

Tahun lepas, semasa shopping time-time Chinese New Year, aku nampak sikit punya ramai orang kerumun nak beli Arrowhead Roots. Kebanyakannya bangsa Cina lah. Sekali tengok macam bawang putih. Bila diteliti macam tekstur dan baunya macam sengkuang cina pun ada. Diorang nak buat apa ni? Sajalah aku gatal mulut tanya, arrowhead roots ni nak buat apa? 'Lu potong nipis-nipis kasi goreng macam keropok. Manyak sedapppp, dik!' Balas seorang nyonya yang sedang sibuk memilih tapi masih sempat layan pertanyaan aku.

"Ini ngaku ke, nyonya?"
"Betul, betul...kita panggil ngaku."

Oh, inilah rupanya ngaku 'favourite' ku sebelum jadi kerepek.

Credits to: The Cook's Thesaurus
Tahun ni, bila nampak ngaku dah mula available di pasaraya, aku belilah beberapa biji. Survey cara-cara nak buatnya di internet dan cuba buat dalam kuantiti yang kecil. Wallllaahhhhh! Alhamdulillah menjadi.

So, the following week, aku ke Tesco dan  jumpa ngaku lagi. Kebetulan time tu, ngaku tengah sale. Bayangkan sekilo harganya hanya RM1.98! Normally harganya dalam RM2.50 - RMM3.50 sekilo. Berplastik-plastik aku beli. Lagipun Faidz nak balik hujung minggu tu. Bolehlah bekalkan untuk adik dan adik ipar aku bawa balik rumah buat kunyah-kunyah.

Cara nak buat ngaku chips mudah sahaja (but a bit tiring!)

  1. Kupas kulit ngaku, cuci hingga bersih dan biarkan kering.
  2. Parut ngaku menjadi hirisan kecil dan nipis. Gaulkan dengan sedikit garam agar hirisan-hirisan ngaku tidak melekat antara satu sama lain.
  3. Panaskan minyak dalam kuali. (Minyak kena banyak tau...)
  4. Apabila minyak dah panas, masukkan hirisan-hirisan ngaku ke dalam kuali. Pastikan hirisan-hirisan tidak bertindan. Angkat dan toskan apabila ngaku bertukar warna menjadi keperang-perangan.
  5. Sejukkan seketika dan masukkan dalam balang kedap udara. Hati-hati stage ni paling 'bahaya',... ngaku chips might ended up dalam mulut sebelum sempat masuk dalam balang hahahah

Inilah hasilnya! Tattadaaaaaa!!

Zikir Ketika Berada dalam Cuaca Panas

"Panas betul sekarang nih!"


"Tak laratlah nak keluar ... cuaca sekarang terik..."


"Sekarang cepat penat. Badan alah pada cuaca panas."


Biasa dengar, bukan? Aku pun selalu keluar 'remarks' macam ni. Belakangan ni, cuaca memang panasnya lain macam sikit. Kat tempat aku, dah lama tak hujan. Terik matahari kat luar tu, kalaulah kita pecahkan telur dan biarkan...confirm boleh masak jadi telur mata kerbau! Hehehe boleh buat lunch ;)

So, hari ni aku nak share dengan korang semua -  ketika dalam kepanasan atau berada dalam cuaca yang panas zikirkanlah nama Allah 'Ya Latif' sepenuh hati dan berulang-ulang kali. 'Ya Latif' bermaksud Yang Maha Lembut. Nama Allah ini digunakan dalam banyak amalan lain contohnya untuk lembutkan hati anak-anak, redakan perasaan marah dan tatkala kita nak berdepan dengan orang yang sukar dibawa berbincang.

Aku belajar tentang zikir 'Ya Latif' untuk cuaca panas ni sejak zaman sekolah dulu. Kalau tak silap, dari salah sebuah buku Hajat (99 Nama Allah). Insya Allah, apabila dizikirkan berulang-kali, Allah akan kurniakan keselesaan pada kita. Walaupun panas terik, dengan izin-Nya, akan ada angin/udara lembut yang mendinginkan kita.


Sabtu, Januari 14, 2012

A Good Start for 2012

Inilah entri pertama aku untuk 2012. Walaupun dah dua minggu kita sambut tahun baru, aku tak sempat langsung nak jengah dan 'celebrate' new year dengan blog aku ni. Well, first two weeks ni life agak taxing but alhamdulillah managable lagi :)

Tahun 2012 ni aku mulakan dengan senyuman yang lebar. Nak tahu kenapa?



Well, aku dapat Planner Starbucks dari adik lelaki aku. Aku memang perlukan planner. Maklumlah orang kelam-kabut & pelupa macam aku ni wajib ada planner or organizer. So, minggu terakhir 2011, masa dia datang rumah lawat ibu, aku buat muka seposen mintak planner kat dia. Hehehe ni memang aktiviti tahunan aku,...agak-agak hujung tahun je aku mulalah buat muka tak malu mintak planner/calendar free dari adik-adik. Kesian diorang dapat kakak macam aku nih.

Punyalah excited dapat planner Starbucks. Cantekkkkkk!!! Adik aku kata dia redeem guna points yang dia kumpul. Siap kena buat extra trip ke Starbucks lagi sebab nak cukupkan points. Thanks so much, bro! Really appreciate it.

Bukan itu saja,....Angah pula beri aku table calendar err... actually 3 table calendars! 1 aku letak kat 'opis' aku kat dewan, satu letak dalam bilik dan satu lagi letak kat ruang tamu. Yang 1 ni aku paling suka (yang dalam gambar tu lah) sebab siap ada waktu solat. Senang nak refer. Thanks so much, Cekengah!!! Oh thanks jugak untuk organizers yang macam notebook tuh. Boleh guna untuk prepare bahan ngaja budak :)

So, I've got a planner and a table calendar. It's a good start for 2012, rite?

Jumaat, Disember 30, 2011

"Bulan depan panggil lagi ye..."

Hari ini aku kena 'stand by' di rumah sebab dah buat janji dengan pak cik (rasanya layak panggil atuk) tukang potong rumput. Selalunya bab-bab potong rumput ni arwah nenek aku yang uruskan sendiri. Setiap bulan, bila dah dapat wang pencen, nenek akan telefon Pak Cik/Atuk K untuk potong rumput. Pak Cik/Atuk K ni baya-baya nenek, kurus orangnya, ada sakit semput pulak tu. Selalu masa potong rumput aku tengok dia batuk-batuk. Rasa penat sikit, dia akan rehat sekejap lepaskan lelah. Tapi Pak Cik K ni orangnya teliti. Kemas dia potong rumput. Lambat sikitlah rumput nak panjang.

Selepas arwah nenek pergi, urusan 'rumput panjang' tergalas di bahu ibu hehehe. Ibu pula tak ada nombor telefon Pak Cik K. Jadi, ibu panggil dan cari orang-orang yang dia kenal. Malangnya semua tak memuaskan hati. Ada yang ambil upah macam potong rumput satu stadium. Ada pula yang dah potong rumput tapi tak kemas sisa rumput. Yang paling menyedihkan, ada yang potong serupa tak potong. Baru 3 hari rumput dah meninggi balik. Pening juga kepala ibu aku. Ibu selalu nak pastikan rumput laman dan keliling rumah pendek.  

"Senang kakak nak main badminton,"katanya. Hehehe terukkan aku. Irresponsible betul. Dah aku yang selalu main badminton kat laman tu, akulah yang patut in-charge potong rumput!

Akhirnya, setelah 4 bulan, ibu berjaya dapatkan nombor telefon Pak Cik K. Seawal pukul 8 pagi Pak Cik K dah datang rumah. Dengan muka ceria dia mulakan kerja. Sempat juga berbual-bual dengan aku sambil memotong rumput di sekeliling rumah. By the time ibu balik (dari hospital - pergi ambil ubat), Pak Cik K pun datang jumpa ibu. Dah beres kerjanya!

"Bahagian belakang luar pagar tu dah potong rumputnya?" Ibu tanya minta kepastian. Masa tu aku dah tepuk dahi. Alamak!! Macam mana Pak Cik K nak potong rumput kat luar pagar yang berkunci tu kalau aku - si irresponsible kuasa 2 nih lupa nak bukakan pintu pagar pagi tadi! Terkedek-kedek aku lari dapatkan kunci pagar belakang tapi sempat tangkap perbualan pakcik K dengan ibu.

"Dah potong dah. Macam biasa yang tepi-tepi longkang tu pun saya dah potong,"balas Pak Cik K. Ibu masa tu dah dapat hidu 'kecuaian' aku.

"Pak Cik ikut mana? Saya terlupa buka kunci pagar belakang."

"Saya pusing dari pagar depan," balasnya dengan senyuman. 

Ya Allah, boleh je dia tanya tentang kunci pada kami yang ada di rumah ni. Tahan dia bersusah payah keliling pagar luar rumah aku untuk langsaikan tugasnya. Dapat sesetengah orang, dah tahu pagar kunci,  tak akan berpotonglah rumput kat luar tu. Rasa bersalah pula aku menyusahkan orang tua ni.

Ibu pun segera keluarkan sejumlah wang dan bayar pada Pak Cik K.

"Bulan depan panggil lagi ye..." Perlahan suaranya tapi jelas di pendengaran aku.

Hati aku betul-betul tersentuh. Mesti Pak Cik K tertanya-tanya kenapa dah 4 bulan kami tak panggil dia untuk potong rumput. Betapa besarnya erti dan nilai sebuah rezeki pada Pak Cik K. Upahnya tak adalah banyak mana. Dengan kudrat yang tak seberapa sanggup dia berpanas, membuat tugasnya seikhlas dan sebaik mungkin demi dapatkan sedikit wang poket.

Ya Allah, semoga aku dapat contohi keikhlasan Pak Cik K dalam mencari rezeki yang halal. Yang penting, at the end of the day aku dan ibu senyum lebar....hasil kerja Pak Cik K memang tip-top!!!

Selasa, Disember 27, 2011

Kerepek Biji Durian


Tattadaaaaa! Inilah kerepek biji durian yang berjaya saya hasilkan petang semalam. Pernah rasa tak? Rasa dan tekstur ala-ala macam kerepek ubi cuma rasanya lemak sikit. Nak buat kerepek ni kenalah kumpul biji-biji durian dulu. Terima kasih kepada jaguh-jaguh makan durian ~ Angah & Uje yang secara tidak langsung menyumbang kepada penghasilan kerepek biji durian ini.

Macam mana nak buat? Senang je...

1. Mula-mula bersihkan semua biji durian dan basuh. Kemudian rendam di dalam bekas selama 2 - 3 hari. Tujuannya adalah untuk kembangkan biji durian tu sehingga lapisan kulit luarnya merekah dan senang dikupas.

2. Kupas kulit luar biji durian. Ambil biji bahagian dalam. Haaa...kat bawah ni gambar biji durian yang telah dikupas dan dibersihkan.

3. Panaskan minyak dalam kuali dan sagatla biji durian tu hingga jadi hirisan halus. Bagi yang expert boleh terus sagat masuk ke dalam kuali (bila minyak dah panas tau!). Yang masih baru nak coba-coba, bolehlah sagat masukkan ke dalam bekas. Tapi gaulkan dengan sedikit garam supaya hirisan-hirisan tu tak melekat antara satu sama lain.

4. Goreng hingga keperang-perangan. Angkat dan toskan. Perasakan dengan garam.

5. Kerepek dah sedia untuk dimakan. Ngapppppp! Krup krap krup krap!


Nota Senyum: Oh, kalau nak lagi umpphhh...bolehlah dihiris beberapa biji bawang merah dan beberapa ulas bawang putih. Gorengkan hingga rangup macam nak buat bawang goreng tu dan gaulkan sekali dengan kerepek biji durian tadi.

Rabu, Disember 14, 2011

90kg Sampah = RM18


Hari ini, aku & Bott uruskan sampah-sampah untuk kitar semula. Kebetulan kitorang baru saja selesai pindah, maka banyaklah buku-buku, kertas-kertas lama yang kena classified "BUANG". Tapi tak buang dulu... Kitorang ikat kemas-kemas dengan tali rafia (supaya senang nak bawa) dan angkut pergi kedai yang beli barangan kitar semula.

Sebelum ni kertas-kertas, majalah dan buku-buku yang dah tak boleh digunakan lagi memang aku akan jual di kedai recycle. Apa yang penting, aku tak bakar sampah-sampah tu. Ulang sekali lagi - AKU TAK BAKAR SAMPAH! Dapatlah dalam RM2-RM5. Siapa nak bagi, kan? Sekurang-kurangnya sampah kita tu ada jugak nilainya hehehe

Trip ke kedai recycle kali ni, penuh satu kereta dengan sampah kertas. Pekerja tu nampak kitorang terus tanya, "Semua kertas?"

Bott angguk.

Lepas tu pekerja tu suruh Bott reverse kereta dan naik pada tempat yang ditunjukkan. Eh, nak buat apa ni? Selalunya pekerja tu ambil dari bonet kereta pakai kereta sorong je...Rupa-rupanya dengan kitorang sekali kena timbang! Hahaha

Mula-mula, apabila kita sampai, berat keseluruhan kenderaan akan ditimbang. Err,..termasuklah berat aku & Bott yang terpinga-pinga dalam kereta. Kemudian, semua sampah kertas akan dikeluarkan dan kenderaan akan ditimbang semula. Dua nilai timbangan ini ditolak untuk dapatkan berat sampah kertas yang kitorang bawa.

Tengok gambar kat bawah ni:


Nilai timbangan 1 - 990kg
(aku penyumbang utama kepada nilai ini hehehe)
Nilai timbangan 2 - 900kg 
(kertas-kertas dah tak ada...hanya berat aku, Bott & kereta)

Maka berat kertas = 90kg x RM0.20 (utk setiap kg) = RM18.00

Punyalah kitorang excited sebab first time kena timbang sekali! Apapun, hari ni, bertambah duit tabung kitar semula aku (tabung ni aku adakan untuk simpan semua wang yang aku dapat hasil recycle).At the end of the day, rumah bersih daripada sampah, aku tak cemarkan alam dengan bakar sampah & the best part aku dapat sejumlah wang untuk sampah-sampah aku. Let's Go Green!

Isnin, November 21, 2011

Lemon Cupcakes

Hari Sabtu hari tu tetiba kepingin nak makan cupcake. Tak mahu cupcake yang cantek-cantek tu. Nak yang simple, gebu dan ringan je teksture nya. Kebetulan stok lemon ada di rumah, so, buatlah lemon cuppies!


Ini gambar lemon cupcakes yang plain. Ada 1 batch yang aku 'solek' dengan 'lemon creamcheese frosting' lebihan frosting aku buat butter cake beberapa hari lepas. Yang itu lupa pulak nak ambil gambar. Rasanya memang uummmphhh! Masa dalam oven, bau lemonnya semerbak satu rumah!

Resepinya aku tak pasti dari mana. Yelah, dulu-dulu zaman rajin carik resepi di internet,...main copy resepi dan save terus dalam komputer. Tak terfikir pun nak catat sumbernya.

Resepi Lemon Cupcake

A.
220gm tepung gandum
2 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh garam

B.
180gm mentega 'unsalted'
150gm gula
2 biji telur saiz 'A'

1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar parutan kulit lemon 

C.
80ml susu segar
2 - 3 sudu besar jus lemon

Cara-caranya:
  1. Ayak bahan-bahan A. Ketepikan.
  2. Pukul mentega dan gula hingga gebu dan putih. Masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul hingga sebati. Masukkan esen vanila dan parutan kulit limau. 
  3. Masukkan tepung (Bahan A yang telah diayak) secara berperingkat. Selang-seli dengan susu dan jus lemon. Maknanya, masukkan tepung -- pukul hingga sebati -- susu dan jus lemon -- pukul hingga sebati -- tepung -- pukul hingga sebati -- susu dan jus lemon -- dan akhiri dengan tepung. Pastikan semuanya sebati tetapi jangan overbeat.
  4. Isi adunan ke dalam acuan hingga 3/4 penuh.
  5. Bakar pada suhu 180 darjah Celcius selama 23 - 25 minit.

Selamat Mencuba!

Sabtu, November 19, 2011

Tuna Puff

Selamat Berhujung Minggu! Budak-budak sekolah dah mula 'cuti Jepun'. Semalam last day of school. Sure ada ibu bapa yang dah sibuk plan aktiviti untuk anak-anak. Hari ni aku spend time di Kuang. Ibu panggil adik-beradik semua balik Kuang. Makan-makan sikit.

Ibu suruh aku buat curry puff. Dia teringin nak makan. Tapi last minute kentang masih ada lagi dekat kedai hehehe. Tukar sikit menu. Kita buat Tuna Puff ye, Bu.

Tadddaaaaaa!!


Senang je nak buat. Yang penting kita kena ada pastry puff (bolehlah dapatkan di kedai menjual bahan buat kek). Kemudian, potonglah mengikut saiz yang dikehendaki.

Untuk inti tuna:
  • Isi ikan tuna secukupnya (aku guna tuna chunk dalam tin)
  • 1 labu bawang besar (potong dadu)
  • 3 sudu jagung/ 3 sudu mix-vegetables
  • 1- 2 sudu mayones
  • Sedikit garam dan lada sulah
Gaulkan semuanya sehingga sebati.


Cara-caranya:
  1. Ambil kepingan pastry yang dipotong tadi. Letakkan inti tuna secukupnya.
  2. Kelimkan pastry dengan hujung garpu. Susun di atas dulang pembakar (sapukan dengan sedikit mentega terlebih dahulu). 
  3. Campurkan 1 biji kuning telur dengan 1 sudu besar susu. Kacau sedikit hingga rata. Sapukan kuning telur ke atas puff. 
  4. Bakar pada suhu 190 darjah Celcius selama 20 - 25 minit.

Selamat Mencuba!

Zikir untuk Mengatasi Rasa Letih atau Penat

Rasa penat? Tak larat? Letih dan lesu? Tapi kerja masih banyak,...hari masih panjang....urusan banyak yang masih belum selesai?! Jangan bimbang. Zikirkan nama Allah yang berikut:

Ya Qawwiyu Ya Matin
(Maha Kuat Maha Kukuh)

Zikirkanlah berulang kali nama Allah di atas. Insya Allah, akan dikurniakan kekuatan untuk kita meneruskan kerja atau tugasan yang masih bersisa. Aku biasa amalkan zikir ini sebab ringkas dan mudah. Alhamdulillah, memang berkesan. Tidaklah rasa penat tu terus hilang dengan ajaibnya! Tetapi Allah akan beri kita tenaga untuk memudahkan urusan harian kita.

Selain itu, di kala menghadapi sebarang kesulitan, zikirkan 'Ya Matin 'banyak-banyak dengan hati yang ikhlas. Dengan izin-Nya, kesulitan kita akan lenyap atau diringankan oleh Allah.

Rabu, November 16, 2011

Terima kasih kerana 'sayangkan' bumi.

Kita selalu merungut setiap kali bahang cuaca yang panas jamah kulit kita. Kita tidak selesa jika penglihatan dan kesihatan kita terganggu disebabkan jerebu. Tapi pernah tak kita terfikir yang semua tu sebenarnya berpunca daripada tindak-tanduk kita juga?

Rasanya dah banyak kali kita dengar dan lihat melalui kempen-kempen kesedaran alam sekitar:

'Jangan buat pembakaran terbuka!'
'Elakkan pembakaran terbuka!'
'Jangan bakar sampah-sarap anda!' 

 
Masih ada yang tidak ambil peduli :( 
Terima kasihlah sebab 'sayangkan' alam sekitar.

Aku akui, nak lupuskan sampah terutamanya sampah pukal yang besar (seperti sofa dan almari lama) agak sukar. Kita kena cari tempat pelupusan sampah dan uruskan pengangkutan untuk bawa sampah-sampah pukal tu. Tetapi, itu yang perlu kita didik dalam diri. Kenalah bersusah payah sedikit demi jamin 'kesihatan' bumi untuk jangka masa panjang. Cuba bayangkan kalau sepuluh orang buat pembakaran terbuka di kawasan korang dalam satu hari (dengan asap tebal dan kotor begini) - apa akan jadi pada kita dalam masa sepuluh tahun lagi?

Ada tips yang boleh dikongsikan di sini:

1. Barangan elektrik yang rosak atau tidak boleh digunakan lagi (seperti peti sejuk, mesin basuh atau oven) - jual di kedai kitar semula. Memanglah berapa sangat duit yang korang akan terima. Tetapi sekurang-kurangnya korang tak payah bersusah payah nak fikir mana nak buang barang-barang tu.

2. Sekiranya mahu membeli perabot baru, rundingkan dengan kedai perabot yang akan hantar barang korang supaya mereka boleh ambil perabot lama (yang korang nak get rid). Selalunya mereka akan setuju sebab nak jaga hati customer. Tahulah diorang nak buat apa dengan benda tu. Perabot baru masuk -- perabot lama keluar pada hari yang sama. Tak perlu bakar-bakar! Hilang kusut fikiran!

Let's Go Green!

*Err,.. entri ni memang ada elemen-elemen poyo tapi berbaloi untuk kita fikirkan sejenak.

Selasa, November 15, 2011

Bislor - Biskut Telur Cekebon

Bislor? Apa kebendanya tu? Haa...ini lah antara makanan 'santai' yang ibu (sapaan manjaku buatnya - Cekebon) akan buatkan untuk kami adik-beradik bila balik rumah ibu. Nama 'Bislor' ni Angah yang bagi. Nanti sambil borak-borak di meja makan, ibu akan capai tin biskut, ambil telur dan buatkan hidangan 'Bislor' untuk kitorang.

Baru-baru ni aku demam. Tekak tu teringin pula nak makan 'Bislor' ibu. Dalam tak sedap badan tu, aku buat jugak. Simple je. Ambil beberapa keping biskut tawar - biskut fibre pun boleh. Pecah-pecahkan sikit. Panaskan 2 sudu minyak zaitun dalam kuali (jangan panaskan terlalu lama, nanti khasiatnya hilang). Masukkan 1 biji bawang besar dan 1 batang cili hijau yang dihiris nipis. Tumis sekejap.

Kemudian, masukkan biskut ke dalam kuali dan kacau. Pecahkan sebiji telur dan pukul bersama secubit garam dan lada sulah. Tuangkan ke atas biskut tadi - biar sekejap sehingga biskut jadi lembut dan telur masak.

Inilah hasilnya!

Terus kebah demam makan 'Bislor' hehehe... tapi kurang ummmphhhh sikit sebab aku pakai cili merah. Lari sikit rasanya. Kena pakai cili hijau jugak.

*Sedap makan sambil duduk depan TV atau nikmati dengan kopi O panas.

Sabtu, November 12, 2011

Panggilan daripada Khudri

Aku baru je lepas borak dengan Baba bila terima 1 lagi panggilan dari nombor yang tak familiar. +03913XXXXX eh, area mana ni? Antara mahu tak mahu, aku angkatlah telefon. Petang-petang macam ni bukanlah masa yang sesuai untuk layan pemanggil misteri heheheh

"Assalamu'alaikum, Kak Long?" Suara di hujung talian macam biasa ku dengar. Tapi di mana ya?

"Ini Khudri." Subhanallah! Dah lama benar aku tak borak atau jumpa dengan Khudri. Rasanya kali terakhir jumpa masa kenduri tahlil arwah nenek bulan 7 yang lalu.

Dulu ada juga borak/tinggal message di Facebook. Belakangan ni, dengan keadaan aku yang jarang log in fb dan Khudri yang sibuk membuat persediaan untuk SPM, memang lamalah kitorang tak bertukar khabar berita. Khudri ni dulu jiran aku. Dah macam adik sendiri. Macam anak pun iye jugak. Aku ni guru tuisyen Khudri (untuk beberapa tahun) sebelum dia masuk ke sekolah berasrama penuh. Yang itu, kalian boleh baca di sini.

Terharunya! Khudri telefon untuk berbual dengan aku sebelum dia 'berjuang' untuk SPM pada 14 November ini. Cepat betul masa berlalu. Rasanya macam baru semalam aku menjerit kegembiraan dapat panggilan Khudri yang maklumkan dia dapat 8A untuk PMR. Tahu-tahu dah nak SPM dah?!


Khudri, you are a thoughtful young boy :) Restu dan doa Kak Long sentiasa ada buat kamu. Buat sehabis baik. Jangan putus panjatkan doa pada Allah. Insya Allah, Allah akan kurniakan yang TERBAIK buat Khudri.

All the best, Khud. Break A Leg!!


Jumaat, November 11, 2011

Ketupat Palas Gumbira


Ketupat palas memang favourite aku. Tak kisahlah ketupat palas yang kosong atau yang ada inti kacang, dua-dua aku suka. Memang kalau dapat makan ketupat palas, hati aku paling gummmmbiiraaa! Tak silap aku, kalau di Johor, mereka panggil ni lepat.

Nak belajar buat ketupat palas? Kat bawah ni ada resepinya.

Resepi Ketupat Palas

Bahan-bahannya:

  • 1 kg beras pulut
  • 1 kg santan
  • 1 sudu teh garam
  • Beberapa helai daun pandan
  • Daun palas secukupnya

Cara-caranya: 

  1. Basuh beras pulut sehingga bersih dan toskan.
  2. Masukkan santan dan garam ke dalam periuk. Masak atas api sederhana besar. Kacau sampai mendidih.
  3. Kemudian, masukkan pulut dan daun pandan (carik-carik sedikit dan simpulkan). Kacau sehingga sebati. Masak hingga pulut menjadi setengah masak. Sentiasa kacau supaya bahagian bawah pulut tidak berkerak.
  4. Setelah itu, bolehlah dibungkus menggunakan daun palas. Cara nak membungkus ketupat palas, sila rujuk video di youtube ini. How to Fold & Stuff Ketupat Daun Palas (Credit to myindo)
  5. Akhir sekali, bolehlah direbus ketupat-ketupat tu. Masukkan ke dalam periuk besar dan isi air sehingga parasnya menutupi semua ketupat. Rebuslah sehingga air kering dan ketupatnya masak.
  6. Sajikan dengan rendang, serunding atau kuah gula.

Selamat Mencuba! 

  

Isnin, November 07, 2011

Vanilla Muffin with Blueberry Filling

Mari cuba resepi mudah ni. Untuk fillingnya, boleh tukar ikut citarasa. Gantikan dengan rasberry/kiwi/mango fillings atau bagi penggemar coklat, gunakan Nutella :)


Bahan-bahan:
  • 125g mentega - suhu bilik
  • 100g gula
  • 3 biji telur saiz A
  • 1 1/2 sudu teh esen vanila

  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 1/2 sudu teh garam
(3 bahan di atas diayak bersama)

  • 3/4 cawan susu
  • Blueberry filling/jam

Cara Penyediaan:
  1. Pukul mentega dan gula hingga berkrim. Kemudian, masukkan telur satu persatu diikuti dengan esen vanila. Pastikan semua bahan telah sebati.
  2. Masukkan campuran tepung dengan susu berselang-seli. Campuran pertama -- tepung, diikuti dengan susu dan mestilah diakhiri dengan tepung.
  3. Masukkan ke dalam cup atau muffin tray kira-kira 1/2 penuh. Masukkan 1/2 ke 1 sudu teh filling/jam. Kemudian tutup filling dengan adunan sehingga 3/4 penuh. 
  4. Bakar pada suhu 190 darjah Celsius dalam 20 - 23 minit.

Khamis, November 03, 2011

Cara 'Brilliant' Guna Semula Tin Biskut!

"Buang je lah tin tuh!" JANGAN! Kalau semua benda kita nak buang, 5 atau 10 tahun akan datang kita akan jadi negara sampah. Aku bukanlah nak pupuk habit kumpul sampah atau barang-barang tak guna....tapi cuba tengok gambar ni.

Cantik tak? Tin biskut yang selama ni kita buang dan kita lanting dalam tong sampah tu, lepas sessi 'make-over' boleh jadi ekslusif macam ni. Tin biskut 'vogue' ni di pasaran harganya dalam RM40 - RM60 tau! Sesuai untuk jadi ahli baru di dalam dapur korang. Sangat presentable dan bergaya untuk letak di meja makan atau meja hidangan. Letaklah keropok ke, rempeyek ke, biskut ke atau jadikan kotak simpanan barang-barang yang kecil,...stationeries, kids' stuff/small toys.

Bagi aku, ini cara guna semula tin biskut yang sangat-sangat brilliant! So, to all the creative-crafty hands out there, apa lagi....gunakan kepakaran dan kreativiti kalian untuk hasilkan sesuatu yang bernilai dan yang penting -- dah tak jadi sampah lagi :) Yeayyyy! Let's Go Green!

Rabu, November 02, 2011

ST12 - Memuja-Mu

Hi! As usual, I will not write about any song melainkan lagu ni jatuh kategori 'Cinta Dengar Pertama'. Love the music! Love the lyrics.

Lirik Memuja-Mu - ST12

bila ku lihat bulan
semua begitu indah
terbentang di langit
jika dan/kan ku lihat bintang
memang begitu indah
bertabur di langit

semua apa yang ku lihat
hanya Tuhan yang bisa
menciptakan semua

(1)
Tuhan memberi keindahan
yang terindah
seisi langit dan bumi ciptaanMu Tuhan

(2)
biarkan aku berada di sini
biar ku tahan laju angin
ajarkan aku menyebut namaMu
ajarkan aku untuk hidup

tiada tuhan kecuali Allah
Allahu Akbar Allah Maha Besar
ijinkan aku bersujud padaMu
ku agungkan kebesaranMu

Ulang (1)

biarkan aku berada di sini
biar ku tahan laju angin
ajarkan aku bersujud padaMu
ajarkan aku untuk hidup

tiada tuhan kecuali Allah
Allahu Akbar Allah Maha Besar
ijinkan aku bersujud padaMu
ku agungkan kebesaranMu

Ulang (2)

Nak dengar lagu ni? Layan kat youtube ye.

DISCLAIMER: Lirik lagu di atas adalah hak cipta / hak milik pengarang, penggubah, artis dan label muzik yang berkenaan. Seluruh media - termasuk lirik, 'guitar chords' & klip video yang terdapat di blog ini hanyalah untuk keperluan promosi dan evaluasi. Sokong artis/penyanyi/kumpulan kegemaran anda dengan membeli CD/nada dering/'caller ringtone' agar mereka dapat terus berkarya.

Isnin, Oktober 31, 2011

Once Upon A Time [2011]

Siapa yang tidak suka pada dunia 'fairy tales'? Semua berakhir dengan 'happily ever after'. Well, tidak dalam 'Once Upon A Time'. TV Show terbaru terbitan ABC lakonan Ginnifer Goodwin, Jennifer Morrison dan Jared Gilmore ini. Dalam siri baru ini, kita tetap akan disajikan dengan watak-watak dongeng yang kita 'familiar' sejak dulu, cuma dengan pelbagai twists here and there.

Once Upon A Time - Mula ditayangkan pada 23 Oktober 2011


Once Upon A Time mengisahkan tentang Emma Swan yang ketika menyambut hari lahirnya yang ke-28, didatangi oleh Henry (seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun). Henry mendakwa bahawa Emma merupakan ibu sebenarnya yang menyerahkan Henry for adoption 10 tahun lepas.

Henry mengajak Emma pulang ke Storybrooke, bandar kecil di mana dia tinggal bersama ibu angkatnya, seorang mayor. Henry turut membawa sebuah buku cerita dongeng dan memberitahu bahawa semua penduduk di Storybrooke adalah watak-watak dari cerita dongeng tersebut yang terperangkap di dunia nyata. Malangnya apabila terperangkap di bumi, tiada seorang pun yang tahu apa yang berlaku. Mereka seolah-olah menjalani kehidupan baru dan masa silam mereka semuanya kabur.

Bayangkan Snow White dihantar ke bumi dan menjadi seorang guru di Storybrooke? Dan ibu angkat Henry adalah si Evil Queen yang bencikan Snow White.

Bagaimana Emma menerima semua ini? Percayakah Emma pada omelan-omelan Henry? Adakah Emma akan tinggal di Strorybrooke bersama Henry lebih-lebih lagi bila Henry memaklumkan hanya Emma yang mampu membetulkan keadaan? Siapa Emma sebenarnya?

Yang pasti ini bukan cerita dongeng biasa. Jalan ceritanya agak berat tetapi sangat menarik. Kita akan didedahkan dengan dua jenis penceritaan (1) dunia nyata di Storybrooke dan (2) scenes dari buku cerita dongeng yang dibaca oleh Henry. Sedikit sebanyak kita akan dapat 'join the dots' dan rungkaikan siapa dan apa peranan Emma dalam cerita ini.

Klik sini untuk rating tv show ini di IMDb.