Memaparkan catatan dengan label From Kitchen to Tummy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label From Kitchen to Tummy. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 12, 2021

Apam Bakar Kelantan yang Gebu dan Mudah Disediakan

Sebenarnya saya sudah lama teringin hendak makan apam bakar Kelantan atau tepung apam. Apam lembut gebu yang diperbuat daripada tepung beras, disajikan dengan kelapa parut memang lazat sekali. Bagi saya, apam bakar Kelantan sedikit berbeza daripada hidangan apam yang lain. Agak unik rasanya disebabkan penggunaan bahan-bahan seperti bawang merah, halia dan lada hitam.

Hendak mencari apam bakar Kelantan asli di kawasan saya memang tidak akan jumpalah. Jadi, mahu tidak mahu terpaksa usaha buat sendiri. Saya cuba dapatkan resepi daripada teman-teman di sebelah Pantai Timur. Ada banyak versi juga rupanya. Ada yang guna halia, ada yang tidak. Ada yang letak tapai, ada yang letak nasi. Saya difahamkan penggunaan tapai atau nasi adalah untuk buat apam supaya jadi lebih gebu dan kekal lembut sepanjang hari. 

Kebetulan beberapa hari sebelumnya memang ada beli tapai kerana mahu buat tapai goreng. Tetapi, dah jumpa resepi tradisi apam bakar yang guna tapai, kita dahulukan yang ini.


Lihat juga: Resepi Tapai Goreng


Hasil percubaan pertama saya membuat apam bakar Kelantan.

Isnin, Oktober 11, 2021

Perencah Nasi Daging Nasi Briyani Iman

Sewaktu terima kiriman ini, punyalah saya gembira. Rezeki dapat sebungkus asam keping, Perencah Nasi Daging dan Perencah Nasi Briyani Iman. 

Bott apabila ternampak je perencah nasi daging tu, terus dia kata hendak buat nasi bukhari. Sebelum ini memang pernah masak menggunakan perencah nasi daging jenama Iman. Selain nasi daging dan nasi beriani, ada juga perencah untuk nasi tomato. Yang dua lagi tu saya belum pernah cuba. Perencah nasi daging pula, saya tidak buat nasi daging hidangan tradisi dari utara yang popular tu. Sebaliknya, guna untuk buat nasi bukhari ayam.

Jumaat, Oktober 08, 2021

Nissin Ramen Tokyo Shoyu

Ini entri selongkar pantri. Biasalah apabila cuaca bertukar-tukar, sekejap panas sekejap sejuk ... yang malar tidak bertukar cuma selera dan hala langkah saya sahaja. Laju menapak pergi dapur selongkar pantri tengok apa yang boleh dimakan atau dibuat kunyah-kunyah.

Penemuan saya untuk kali ini - Sepek Nissin Ramen Tokyo Shoyu. Interesting! Ada yang pernah makan tak?

Nissin Ramen Tokyo Shoyu

Khamis, Oktober 07, 2021

Nasi Goreng Cina Green Dragon

Selalunya apabila saya pergi shopping barang dapur di Tesco, saya akan intai kalau-kalau ada buah-buah atau sayuran yang dijual dengan harga reduced to clear. Nampak sahaja sayur green dragon, terus saya grabbed sampai tiga bungkus. Selalunya saya akan beli green dragon time sayur ni dah jadi reduced to clear itemlah. Untung dan berbaloi sebab  harganya akan jadi jauh lebih murah. Sayur ni pula jenis tak cepat perish sangat. Boleh tahan lama juga dalam peti sejuk. Sempatlah untuk masak beberapa hidangan.

Inilah sayur green dragon. Maaf, ini puas saya gali balik gambar lama. Saya ingat saya ada snap gambar yang lebih jelas (tanpa packaging). Tak ada rupanya.

Cara Masak Sayur Green Dragon

Kebiasaannya, sayur green dragon saya tumis biasa sahaja dengan telur, hirisan bawang putih, garam dan sedikit lada hitam. Jika hendak lebih sedap, tambahlah bahan-bahan lain seperti jagung muda dan bebola ikan. Buat lauk macam Kucai Goreng Campur saya ini pun boleh. Tidak pun, saya potong-potong dan masukkan ke dalam adunan cucur. Meriah sikit warna cucur apabila ada hirisan green dragon ni.

Banyak cara untuk olah sayur green dragon dan masukkan ke dalam menu kita. 

Di bawah ini pula, Nasi Goreng Cina Green Dragon. Banyak sebenarnya saya guna sayur green dragon hidangan ini. Tetapi, sewaktu ambil gambar, tidak ketara sangat sebab sayurnya tersembunyi di dasar kuali. Dari segi rasa, green dragon ini agak mild jika hendak dibandingkan dengan kucai.  



Kalian biasa jumpa tak green dragon ni? Selalu guna untuk masak hidangan apa? Tolong kasi saran :)

Rabu, Oktober 06, 2021

Martabak Maggi Asam Laksa

Tiada angin tiada ribut Bott cakap dia nak makan martabak Maggi. Dah kenapa? Rupa-rupanya dia terliur sendiri tengok beberapa klip masak-masak di IG. Banyak pula perkongsian martabak Maggi yang menduga ketahanan minda, selera dan perut. Dengar nama Maggi pun dah terpancing selera, apa lagi jikalau lihat produk mi segera legend ini diolah sedemikian rupa. 😂

Di rumah, ada stok Maggi Asam Laksa dua pek. Mula-mula ingat nak buat sepek sahaja. Tetapi, alang-alang ada dua pek tu, kita habiskan jelah. Dapat banyak sedikit, boleh dipanjangkan rezeki pada orang lain.

Inilah rupanya martabak Maggi simple kami. Disertakan sekali resepinya di bawah.


Martabak Maggi Asam Laksa

Khamis, September 30, 2021

Tauhu Marmite Ekspres

Hidangan tauhu marmite ini saya buat untuk makan tengah hari Rabu lepas. Bott ada urusan di luar jadi saya seorang di rumah. Mula-mula tu tak kalut nak masak sebab rasa macam tak lapar. Leka saya menonton drama Cina back-to-back sambil siapkan tempahan kad ucapan sehinggalah tiba-tiba perut memberontak. Bukan sikit-sikit punya tahap berkeroncong. Dah macam semboyan kapal bunyinya. 

Bergegaslah saya ke dapur untuk menyediakan makanan. Buka peti sejuk, keluarkan tauhu dan terus proses untuk buat Tauhu Marmite. Ala-ala menu ayam goreng Marmite lah. 😊

Jumaat, September 24, 2021

Skon Kacang Walnat untuk Minum Petang

Sudah agak lama saya tidak bakar pastri atau biskut. Jadi, apabila ada kelapangan, terus masuk ke dapur lihat bahan-bahan apa yang ada. Saya putuskan untuk buat skon kacang walnat (walnut scones) sebab ada sepek kacang walnat yang lama tersimpan di dalam peti ais. 

Saya hanya menggunakan resepi asas skon Inggeris dalam simpanan saya dan tambahkan walnat ke dalam adunan.

Kopi dan skon walnat untuk minum petang. Biasanya, skon enak dinikmati bersama sapuan krim dan jem atau sapuan mentega. Saya makan begitu sahaja. Memadai sekadar rasa buttery pastri yang diperkaya dengan  kacang walnut.


Resepi Skon Kacang Walnat

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 450g tepung gandum
  • 5 sudu teh serbuk penaik. (Saya gunakan tepung gandum biasa, bukan tepung naik sendiri jadi memang agak banyak guna serbuk penaik.)
  • 50g gula halus
  • secubit garam
  • 125g mentega sejuk yang dipotong kepada kiub kecil
  • 1 biji telur Gred A
  • 250g susu
  • 100g kacang walnat yang telah dibakar selama 6-8 minit, disejukkan dan dicincang kasar. Jika mahu, tambah 20-30g kacang walnat lagi untuk diletakkan di atas permukaan skon.


Untuk sapuan di atas skon:

Telur yang dipukul sedikit dan dicampur dengan sedikit susu. Guna susu sahaja untuk glaze permukaan atas skon pun boleh kalau nak jimat telur. 😊


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan tepung, serbuk penaik, gula halus, garam dan mentega sejuk ke dalam sebuah mangkuk. 
  2. Dengan menggunakan hujung jari, ramas-ramaskan ketulan mentega dengan tepung sehingga menjadi serbuk kasar seakan-akan serbuk roti. Teknik ini dipanggil rubbing. Tidak perlu terlalu halus dan jika masih ada sedikit bahagian mentega yang berketul kecil juga tidak mengapa.
  3. Masakkan kacang walnat yang telah dicincang. Gaul sekata. 
  4. Seterusnya, buat lubang di tengah-tengah campuran tepung dan mentega. Pukul telur dengan susu dan tuangkan ke dalam campuran tepung.
  5. Kaup balikkan adunan, uli sehingga membentuk doh yang tidak melekat di tangan atau jari. Tidak perlu uli terlalu lama. Cukyp sampai doh tidak melekat di jari. Jika melekat, tambahkan sedikit tepung lagi.
  6. Canai doh sehingga mendapat ketebalan kurang lebih 2.5 cm. Terap menggunakan acuan biskut berbentuk bulat. Jika tiada, boleh guna gelas.
  7. Susun di atas dulang pembakar. Sapukan sapuan telur dan susu untuk dapatkan warna coklat keemasan pada permukaan atas skon setelah dibakar. Letak sebiji kacang walnat di atas permukaan skon.
  8. Bakar pada suhu 200 darjah celcius selama 15 - 20 minit. Pastikan oven dipanaskan terlebih dahulu.


Selamat mencuba!

Khamis, September 23, 2021

Air Jeruk Lepas Gian

Kelmarin, saya perlu ke klinik kesihatan buat ujian darah untuk periksa tahap hormon tiroid. Dalam perjalanan balik, Bott berhenti di bahu jalan. Terdapat banyak gerai orang berjaja di situ. Saya ingat dia hendak beli goreng-gorengan. Ada jugalah makanan untuk dikunyah-kunyah petang nanti.

Terpinga-pinga saya apabila dia masuk semula ke kereta dengan hanya satu plastik kecil di tangan. Saya ulang, satu plastik kecil di tangan. Di dalam plastik tu, ada beberapa ketul jeruk kundang kecut dan selebihnya air rendaman jeruk.

Itu sahaja? Alahai ... Bott ... Bott. Tetapi, bagus juga. Kalau dapat saya yang turun kereta, mahu penuh tempat duduk belakang dengan makanan-makanan belian gerak hati (impulse purchase) saya.

Lagipun, dah tua-tua ni, tak boleh sembarangan beli jeruk. Tekak dia sensitif. Kalau nak puas makan jeruk, kena cari Jeruk Pak Ali atau yang segar 'diimport' dari Pasar Chowrasta. Kalau tak, tak perlulah pertaruhkan keadaan tekak main redah je. Kita tak pasti dah berapa lama jeruk tu dalam stok penjual. Tak pasal-pasal batuk kong kong kong nanti.


Tahu tak Bott hendak buat apa? Dia nak lepas gian. 

Dahulu masa kecil-kecil, setiap kali balik sekolah dia akan beli jeruk. Penjual jeruk tu masukkan sedikit ais dan air jeruk sekali. Siap letak straw. Tinggal srotttt minum dan menapaklah dia pulang ke rumah dengan gembira.

Jadi, itulah justifikasi Bott untuk beli hanya sejemput kecil jeruk dan dua tiga sudu airnya. Dia nak feeling-feeling gamit memori lama. 

Gelas comel di atas itulah jeruk yang dibeli setelah ditambah sedikit ais dan air sejuk. Saya tumpang sekaki. Selalu kalau makan jeruk, air jeruknya saya tidak minum apatah lagi hendak letak dalam cawan dan tambah ais begini. Sedap! Tetapi, sekadar untuk lepas rasa teringin tu bolehlah. Tak boleh minum selalu. Tinggi kandungan gula dan garamnya tu.

Ada tak dalam kalangan kalian yang suka buat begini juga?


Kerepek Kulit Popia

Dua tiga hari ini, cuaca di kawasan saya punyalah terik. Lain macam bahangnya. Saya pula, apabila dah kepanasan, mula jadi serba tidak kena. Bila panas je, lapar. Bila panas je, tahu-tahu dah sampai dapur. Sedar-sedar dah selongkar peti ais. Mulut ni kan ...  rasa macam nak mengunyah je!

Dalam freezer ada kulit popia, makanya muncullah 'mentol kuning terang menyala di atas kepala'. Tengok barang kering dekat pantri, serbuk keju ada, Horlicks, serbuk Oreo dan Nestum pun ada. Boleh buat 'kekupo' (baca: kerepek kulit popia) beberapa perasa ni.

Proses pertama, keluarkan pek kulit popia dan biarkan berada pada suhu bilik sehinggalah kulit popia tidak lagi beku. Ini untuk memudahkan proses menggulung kulit popia.

Beginilah rupa kekupo keju saya. Ini perasa keju biasa (tak pedas.)

Selasa, September 21, 2021

Piza Arang

Dua tiga hari ini saya masih menghabiskan makanan yang dihantar oleh kawan saya pada hujung minggu lalu. Cerita lanjut di sini. Untuk fika hari ini, saya makan dua potong piza yang dibakar menggunakan ketuhar arang. 

Alhamdulillah. Saya makan dengan gembira. Yang sebelah atas tu pepperoni dengan keju. Satu lagi tidak pasti apa perasanya. Saya suka tekstur dan aroma asap-asap pada roti piza. Dua potong di atas sekejap sahaja saya habiskan. Ada beberapa potong lagi di dapur, tetapi cukuplah dulu. Nanti terlebih makan mengantuk, terus tak jadi kerja.

Khamis, September 16, 2021

Jus Timun yang Menyegarkan

Semalam, semasa hendak makan tengah hari, Bott potong timun untuk dibuat ulam. Tetapi, timun tu pula dah lembik sedikit terutamanya pada bahagian empulur. Kami nak buat cecah sambal belacan. Tak kick sebab timunnya tak rangup.

Terpandang hirisan-hirisan timun di atas papan pemotong, terus saya minta kesemuanya daripada Bott. Suruh dia ambil dan potong timun lain. Saya hendak buat jus timun.

Jus Timun Mudah

Pulut Pagi Hari Malaysia

Assalamualaikum. Selamat Hari Malaysia! Alhamdulillah, moga hari ini dapat kita manfaatkan sebaiknya untuk berehat. Ada yang punya sebarang rancangan untuk keluar jalan-jalan? Jika ada, jaga diri baik-baik. Patuhi SOP ya.

Kalian sudah bersarapan? Hari ini rezeki kami berdua makan pulut pagi. Kebetulan ada sedikit beras pulut yang berbaki di dalam balang. Seawal pagi Bott dah kukus pulut di dapur.

Sabtu, September 11, 2021

Sambal Sardin | Sardin Gulung

Baru-baru ini, seorang kenalan saya telah bermurah hati hantar sebekas penuh ikan sardin berkuah tomato yang dia buat sendiri menggunakan pressure cooker. Punyalah saya dan Bott gembira. Kami berdua ni pantang jumpa sardin. Tetapi, tak adalah diikutkan sangat rasa suka tu. Makanan dalam tin, kan ... jarang masuk menu. Sekali-sekala, apabila teringin baru beli barang setin dua. 

Dah dapat versi homemade, mulalah laju fikir hendak masak apa. Pilihan pertama, tentunya sambal sardin dan kentang. 

Sambal Sardin dan Kentang

Khamis, September 09, 2021

Roti Canai Kepah Berkuah Sos Mentega

Sebelum ini saya ada cerita yang teringin hendak makan kupang atau kepah Two Sons Bistro. Boleh baca mengenainya di sini. Alhamdulillah, berjaya beli kupang tetapi tak ada rezeki hendak masak sebab pada hari tersebut, saya dapat satu tugasan urgent yang perlu disiapkan. Sudah tentulah tiada masa untuk feeling-feeling jadi chef tersohor di dapur. Kupang-kupang segar tu sudahnya jadi orang lain. Projek kupang ala Two Sons Bistro ditangguh ke lain kali.

Tetapi, alhamdulillah. Dah tertulis ada rezeki saya nak makan apa yang diidamkan. Kan saya cerita, saya kenen-kenen adik saya si Cekengah tentang menu kupang ini. Bangun-bangun pagi, dapat gambar melalui Whatsapp.

Rabu, September 08, 2021

Hujan | Guntur | Ramen Panas

Assalamualaikum. 

Di kawasan saya belakangan ini, cuaca panas setengah hari sahaja. Menjelang petang ke malam memang hujan lebat. Angin kuat, guruh berdentam-dentum, semua cukuplah.

Dengan keadaan cuaca sebegini, pola pemakanan di rumah ini berubah secara tak langsung. Dah kurang masak nasi dan lauk. Asyik nak makan sup-sup …  sesuatu yang panas dan berkuah untuk panaskan badan. Mulalah segala bentuk mi, ramen dan bihun jadi pilihan.

Ini hidangan bersup kami untuk makan malam tempoh hari. Mula-mula tak rasa lapar, ingat nak makan roti je. Tetapi, bunyi hujan dan guntur yang saling bertingkah menjadikan perut cepat berlubang! 😂 Tak boleh jadi ni! We need something soupy

Terus capai mi kering dan korek apa ada di dalam peti sejuk untuk buat hidangan bersup ala-ala ramen.

Bott punya. 

Ramen Ayam

Selasa, September 07, 2021

Spageti Isi Ketam

Saya ada baki isi ketam dalam 1 cawan. Hendak disupkan macam alang-alang. Sedikit sahaja isi ketamnya, nanti tak naik rasa pula.  Benda paling mudah, jadikan rencah untuk spageti.

Spageti isi ketam berkrim. Manis dari isi ketam, lemak dari mentega dan susu (atau krim) dan sedikit kepedasan dari chili flakes.

Spageti Isi Ketam

Isnin, September 06, 2021

5 Idea Hidangan Mudah untuk Minum Petang

Assalamualaikum. Tengah buat apa tu? Saya sedang berehat sekejap sambil isi perut. Hari ini agak lama duduk di hadapan komputer buat tugas suntingan, rasa penat pula. Berehat sebentar untuk coffee break. Sebelum ini, saya ada buat cakoi dan saya dinginbekukan. Panaskan semula beberapa ketul dengan air fryer, nikmati cakoi dengan secangkir kopi.

Resepi Mudah Cakoi di sini.

Gendang gendut tali kecapi. Kenyang perut senang hati! Bolehlah sambung kerja.

Mi Goreng Spicylicious Mi Sedaap

Sudah rasa Mi Goreng Spicy’licious dengan Sambal Hijau Mi Sedaap yang baharu? Baru tak baru, sudah sebulan lebih rasanya produk ni berada di pasaran. 

Saya sebenarnya tidak perasan pun yang di rumah ni ada Mi Sedaap Spicy’licious. 

Cuma baru-baru ini apabila lapar dan teringin hendak makan mi segera jenis goreng, selongkar pantri jumpa satu pek. Tak pasti dari mana dapat. Mungkin masa beli barang dapur di Econsave dapat hadiah percuma. Tak pun Cekengah yang bagi. Adik saya ni ada kecenderungan suka cuba produk baharu yang dia nampak sedap. Apabila dah makan, tak kena selera atau telinga berasap sebab tak tahan pedas, semua dihantar ke rumah saya. 

Inilah rupanya Mi Goreng Spicy’licious dengan Sambal Hijau.  

Jumaat, September 03, 2021

Sarapan Selepas Lengkap 2 Dos Vaksin

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, semalam saya terima suntikan vaksin dos kedua. Lengkap sudah vaksinasi untuk tubuh ini. Saya terima vaksin di klinik kesihatan tempat saya dapatkan rawatan untuk asma dan hipertiroid. Jadi, tak kalut sangatlah. Dekat je dengan rumah.

Saya antara orang yang terawal dapat masuk ke dewan vaksinasi untuk sesi pagi. Tetapi, disebabkan keadaan kesihatan saya, lama sedikitlah kena luangkan masa di dalam bilik pantauan. Mana tahu ada kesan pada pernafasan atau degup jantung. Alhamdulillah, semua okey.

Balik rumah, masih kuat buat itu ini. Tetapi, lengan yang disuntik mula berat dan sengal. Menjelang malam, otot dan sendi sengal-sengal, macam nak demam.


Sarapan Pagi untuk Pulih Tenaga

Pagi ini apabila bangun, badan rasa macam kena rempuh dengan lori. Tak larat betul! Mata memang berat. Nak tutup je rasa. Bott periksa suhu, mujurlah saya tidak demam. 

Mulut saya pula payau semacam. Ada nasi lemak untuk sarapan tapi rasa tak lalu nak makan. Ini sesuatu yang jarang-jarang berlaku. 😂 Jadi, Bott buatkan puding biji chia sementara badan nak kuat. Kebetulan, semalam memang dah rendam biji chia dengan serbuk koko untuk buat puding. 


Peanut butter and jam chia seed pudding

Puding Biji Chia Mentega Kacang dan Jem Rasberi

Khamis, September 02, 2021

Kakiage untuk Minum Petang

Kelmarin, selepas Bott balik beli barang dapur dan keperluan rumah, saya kemas peti sejuk. Korek baki bahan masak yang lama supaya boleh dimasak terlebih dahulu berbanding stok bahan baru beli. 

Ada lebihan kobis, lobak merah dan cili hijau. Kebetulan untuk minum petang tak terfikir hendak sediakan juadah apa lagi. Jadi, masak kakiage sahajalah.

Kakiage merupakan sejenis hidangan sayuran digoreng rangup lebih kurang seperti tempura. Untuk buat kakiage kita hanya perlu ada bawang besar dan beberapa sayuran yang dihiris memanjang seperti lobak merah, cili benggala, keledek dan kobis.

Kakiage untuk Minum Petang

Kakiage saya kali ini banyak cacat celanya. Dah hiris bawang, tetapi selepas digoreng baru sedar yang bawang masih di atas papan pemotong. Kemudian, sewaktu potong kobis, entah apa yang saya fikirkan ... tahu-tahu dah jadi potongan dadu. Okey, jom tengok resepi.


Resepi Kakiage Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 labu bawang besar
  • 1/2 batang lobak merah
  • 1/4 - 1/2 biji kobis, terpulang hendak banyak mana
  • beberapa tangkai cili hijau.

* Secara asasnya, ada 2-3 jenis sayur dah cukup dah. Jika ingin lebih sedap, boleh juga tambah hirisan cendawan atau jejari ketam.

  • 1/4 - 1/2 cawan tepung
  • beberapa sudu tepung ubi
  • 1 biji telur


** Penggunaan tepung agak-agak sahaja. Sekadar untuk salut bahan-bahan yang kita hiris seadanya. Tidak perlu banyak macam hendak buat bater cucur. 

Adunan kakiage sedia untuk digoreng.


*** Tak ada tepung ubi? Apa salahnya kita derhaka resepi. 😅 Boleh tukar kepada tepung beras atau tepung jagung. Hasil akhir sedikit berbeza mengikut jenis tepung yang digunakan.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan  yang telah dihiris ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar.
  2. Kemudian, masukkan tepung gandum, tepung ubi dan telur yang telah dipukul sedikit.
  3. Gaul sekata semua bahan.
  4. Panaskan minyak. Api biar sederhana besar. Apabila minyak dah betul-betul panas, sudukan adunan ke dalam kuali.
  5. Goreng sehingga kakiage bertukar keperangan. Balik-balikkan agar gorengan sekata.
  6. Angkat. Tuskan minyak. Sedia untuk dihidangkan bersama sos pilihan. 


Kakiage biasanya dihidangkan dengan sos khas dipanggil tentsuyu. Tetapi, saya tidak buat pun. 😊 


Pstt! Masih dalam proses blogwalking sambil berperang dengan masalah kotak komen. Kalau komen tak muncul, insya-Allah saya datang round lain kali dan komen bertubi-tubi 😂