Jumaat, November 14, 2014

Resepi Spaghetti Aglio Olio e Peperoncino

Hari ni nak update resepi spageti ringkas dalam entri terdahulu 'Saya, Urusan Hari Ini & Spaghetti Aglio e Olio'. Spaghetti Aglio e Olio ni bermaksud spageti minyak dan bawang putih. Version Aglio e Olio yang ini ada elemen pedas sedikit, so, nama resepinya 'Spaghetti Aglio Olio e Peperoncino' a.k.a Spageti Minyak Bawang Putih & Cili. 


Resepi Spaghetti Aglio Olio e Peperoncino
Saiz Hidangan: 3 - 4 orang



Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Spageti - 1/2 pek (Dimasak dengan air mendidih yang ditaburkan sedikit garam. Asingkan dalam secawan/ 3 senduk besar air rebusan spageti. Tuskan. Gaulkan spageti dengan beberapa titis minyak zaitun supaya tidak melekat. Nak guna mentega pun boleh. Tapi jangan banyak sangat! Kita nak gaul dengan minyak juga nanti.)
  • 6-8 siung bawang putih (cincang halus)
  • 3-4 sudu besar minyak zaitun
  • Beberapa tangkai cili kering (rendam dalam air panas lebih kurang 10 minit, hiris nipis/memanjang dan buang biji)
  • Beberapa tangkai cili api (hiris nipis)
  • Garam secukup rasa
  • Lada hitam secukup rasa
  • 8 ketul jejari ketam / beberapa ekor udang
  • Sedikit parutan keju parmesan
  • Daun parsli (untuk garnishing)

Cara penyediaan:
  1. Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang putih, cili kering dan cili api atas api perlahan. Apabila bawang putih bertukar keperangan, masukkan pula air rebusan spageti yang kita asingkan tadi.
  2. Masukkan jejari ketam yang telah dipotong kepada beberapa bahagian. Biarkan masak seketika.
  3. Masukkan spageti yang telah ditus. Padam api. Gaul pasta hingga sekata.
  4. Tabur parutan keju dan daun parsli sebelum dihidang.

 SELAMAT MENCUBA!




Khamis, November 13, 2014

DIY Cork Notice Board - Progress #3

Buat 'kepala' untuk Bloggers' Board saya. Mula-mula ingat nak buat rainbow lah, panji-panjilah...tapi bila fikir-fikir balik macam a bit too much. Saya nak pemberian rakan-rakan blogger itu sendiri yang jadi tarikan utama board ni.

My Blogger's Board

Cinonet je header ni sebenarnya. Frame kayu tu asalnya kotak letak kumbang-kumbang kecil (barang hiasan kraf). Daripada dibuang, baiklah guna semula kan :) Let's Go Green!

Dah panjat board :)

OK. Insya-Allah, hiasan-hiasan lain akan menyusul bersama poskad (poskad Aisya & Kak JM), kad, penanda buku dan nota kecil yang nak ditampal pada board. Nanti dah siap sepenuhnya, saya kongsi lagi di sini.


Intai juga:


Rabu, November 12, 2014

Angin Seoul, Thanks Sis JM!

Ni kisah gumbira semalam. Balik outing, checked letter box. Ada poskadlah! Berpusing-pusing biji mata tengok setem Korea. Dekat situ juga saya melompat-lompat sebab excited. Dapat poskad daripada Kak Jari Manis kita. Seronoknya!!!

Changdeokgung Juhamnu (pavilion)

Sempat Kak JM kita susah payah singgah post office untuk kirim poskad pada kami adik-adik di Malaysia. Thanks so much for your thoughts, sis!

Love from Seoul ;)


Rasa-rasanya ada tak dalam blog kita?


Ada tak?


Selasa, November 11, 2014

Tahniah Amy J, HSB & Cik Balqis

Mohon maaf banyak-banyak kepada yang terlibat, saya lambat umumkan pemenang. Terima kasih tidak terhingga kepada yang sudi tolong undi dan beri pandangan terhadap penyertaan kreatif-jiwang-bermadah mereka ini. OK. Dengan sukacitanya, setelah dikira 'undi-undi', saya umumkan pemenang untuk 'Jom Cuba Nasib - Pengorbanan Cinta' kita :)



Paling Kreatif

Memang kreatif kan? Tanpa ragu!

Paling Puitis
Hikayat Seorang Budak

Dalam tafsiran 'pengorbanan cinta' budak :)


Nanti dulu! Nanti dulu! Memang pada asalnya saya berniat tawarkan dua hadiah. Tetapi, hari ni suka-suka nak tambah hadiah ketiga.

Paling Bermakna
Cik Balqis

Kenapa saya kata paling bermakna? Sebab,..bukan sahaja sajak yang dihasilkan oleh Cik Balqis ni puitis, malah sajak ni turut beri impak pada orang yang membacanya. Kebetulan Cik Balqis buat entri mengenai Pengorbanan Cinta di blog Ceritera Cinta. Ramai yang salah faham ingatkan itu luahan hati tuan punya diri. Tidak kurang juga yang berasa empati terhadap apa yang dilalui. Hehehe tak ke bermakna tu...


Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Yang tak berjaya tu,..jangan sedih-sedih. Nanti ada rezeki kita buat lagi. Thanks so much sudi luangkan masa untuk 'Jom Cuba Nasib' kali ini.

Cik Balqis, tolong tinggalkan alamat surat-menyurat di ruangan komen (akak tak akan publish). Adik dua orang lagi tu tak perlu. Akak dah ada alamat kalian dalam simpanan :)


Saya, Urusan Hari Ini & Spaghetti Aglio e Olio

Alhamdulillah. Baru selamat sampai rumah! Hari ini seharian saya di luar. Buat macam-macam urusan. Beli barang dapur dan keperluan harian yang dah habis, pergi pejabat pos, pergi bank, cari hadiah untuk birthdays, weddings, newborn babies (Nampak tak semuanya 'plural',...banyak pula occasions bulan November ni) Dari satu tempat ke satu tempat. Ni baru rasa lega boleh tarik nafas. Kaki pun dah lenguh melampau minta rehat.

Maaf hari ini belum sempat jengah sesiapa lagi. Balas komen pun jari rasa berat. Nak rehat dulu. Insya-Allah, jumpa malam nanti. Oh, entri pemenang 'Jom Cuba Nasib' pun umum sebelah malam karang atau selewat-lewatnya esok pagi.

Spaghetti Aglio e Olio
Inilah lunch + tea saya untuk hari ni. Tadi kat luar tak sempat makan sebab 'korban masa + korban duit' beli barang kraf kat POPULAR. Ter....tak sengaja Heheheh nasib baik Bott simpankan spaghetti. Alhamdulillah, kenyanggggg! Nak resepi tak? Tungguuuuuuu!




Isnin, November 10, 2014

Siapa yang Paling Kreatif, Paling Puitis?

Selamat Petang! Dah lunch? Ke baru nak lunch? OK, entri ini adalah kesinambungan daripada entri 'Jom Cuba Nasib 'Pengorbanan Cinta' Sabtu lepas. Tak sangka saya ramai yang sudi respon dan tunjukkan bakat masing-masing! Thanks for your support. Sebenarnya ada 10 penyertaan, tetapi saya tak dapat publish 3 lagi komen tu kerana atas sebab-sebab tertentu, tak sesuai dikongsikan di sini. (Guys, you know who you are,..hahaha. Nway, thanks friends. Those comments made me smile. Broadly!)

Saya nak minta tolong kalian semua. Tolong pilih 2 komen terbaik yang kalian rasa:
  1. Paling Kreatif
  2. Paling Puitis
Nanti kita sama-sama tentukan pemenangnya ye :)

#1
Amy J


#2
Hikayat Seorang Budak


#3
Cik Fafa


#4
Gagak Rimba


#5
Sis JM


#6
Kelas Tuisyen Dewan Hj. Ali (Ex-students saya yang uruskan blog tuisyen)


#7
Cik Balqis

Dah putuskan siapa yang paling kreatif dan puitis? Kongsi pendapat kalian di ruangan komen. Thanking you all in advance :)


Resepi Mudah - Sambal Hijau

Sambal Hijau Mudah

Saya memang penggemar sambal. Bertambah selera apabila makan ada sambal sebagai lauk. Sambal hijau di atas mudah sahaja nak buat. Saya kisar cili hijau dan cili api (Airnya jangan terlalu banyak!). Tumis bawang besar yang dipotong dadu dengan sedikit minyak. Kemudian masukkan cili dan tumis hingga masak. Tuangkan beberapa sudu cuka (agak-agak), perasakan dengan sedikit garam. Biar seketika hingga sambal betul-betul masak. Dah boleh dihidangkan :)


Sambal hijau ni sesuai dimakan dengan ayam bakar, ayam goreng, tauhu dan tempe goreng. Oh, kalau tak mahu pedas sangat, kurangkan penggunaan cili api ye.


Tak Peduli Apa-apa

Assalamu'alaikum. Selamat Hari Isnin! Haa, siapa yang kena angin Monday Blues tu, jom tengok gambar panda di bawah ni...

Panda Tak Peduli Apa-apa

Tengoklah si Panda yang tengah bobok tu. Tak kisah apa yang berlaku,..kawan dia nak memanjat ke,..nak terkungkang ke,..tidur dia tetap tak terganggu. I guess in life, sometimes kita kena buat begitu kan?! Just lay low, mind our own matters dan jangan ambil peduli sangat dunia di sekeliling kita (terutama sekali hal-hal peribadi orang). Bila kita tidak terlalu ghairah ambil tahu tentang orang lain, kita akan ada lebih masa untuk diri kita :)

Selamat Memulakan Kerja!

Psst! Tetapi konsep 'tidak ambil peduli' ini tidak apply untuk semua situasi ye...jangan salah anggap ingat saya nak semai nilai pentingkan diri pula ;)




Ahad, November 09, 2014

Kord Gitar Knock Knock - Elizabeth Tan (Easy Chords)

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Knock-knock - Elizabeth Tan (Easy Guitar Chords)


(Intro) 
Am

Am
Bulan bintang kau janjikan
Dm
Tidak aku teruja
G
Cakap memang mudah
C
Semuanya mampu

Am
Kata manis kau beri
Dm
Ku terpikat belum tentu
G
Cakap memang murah
C
Oh, kau pun tau


(i)

Am Dm
Kiranya kau benar mahu
E Am
Kiranya kau benar mahuku
Am Dm
One, two ku sayang kamu
E
Jangan sakiti aku


(Chorus)

Am
Knock knock
F
Mahuku perhatian
E
Knock knock
C
Mahuku kau buktikan
F Bm
Jangan tersalah, jangan tersilap
E
Jangan abaikanku

Am
Knock knock
F
Ku beri kau semua
E
Knock knock
C
Ku buktikan diriku
F Bm
Jangan tersalah, jangan tersilap
E
Jangan abaikanku


(ii)


Am Dm
Jaga-jaga hati, jaga-jaga nanti
G C
Kalau ku hampa kau kan rasa
F Dm
Jaga-jaga hati, jaga-jaga nanti
Am
Kalau ku terluka kau pun kan sama

Am
Bukan mahu tunjuk diva
Dm
Bukan nak mengada
G C E
Cuma ku tak mahu kecewa selalu
Am
Dan andai apa ku beri
Dm
Tidak cukup untukmu
G C E
Katakan padaku apa kau mahu


Ulang (i)

Ulang (Chorus)

Ulang (ii)


F
Satu, haruslah setia
Am
Dua, jangan cakap bohong
G C
Buatku nangis jangan, jangan
F
Tiga, buatku tersenyum
G C
Empat, pelangi jadi satu


Ulang (Chorus)



Sabtu, November 08, 2014

Jom Cuba Nasib - Pengorbanan Cinta

Assalamu'alaikum. Selamat Pagi! Hujung minggu sudah tiba! 
OK, hari ni ada mood nak buat entri 'Jom Cuba Nasib'. Ingat nak buat teka-teki, tapi buat based on keywords Nuffnang dululah. Boleh cungkil bakat terpendam dan jiwa puitis kalian semua :)

Nak buat apa?
Well, kalau sebelum ni kita dah main teka-teki siput babi, dan dah cuba reka ayat 'bila masih di langit', hari ni....

Jeng jeng jeng!

Demam Pengorbanan Cinta

Haaa,..ini penangan Setia Band released album dan buat konsert baru-baru ini. Kebetulan saya ada entri mengenai lagu Pengorbanan Cinta. Bagi yang tak tahu, Setia Band merupakan kumpulan dari seberang. Asalnya kumpulan ST12, tetapi anggotanya berpecah dan tubuhkan kumpulan Setia. 

Jangan risau, tak perlu pergi cari lagu ni untuk dengar. Personally, gubahan lagu dan vokal Charly bawa lagu ni best, tapi lirik macam meh?! Kurang sikit kat situ ;)

OK. Simple je. Usahakan apa sahaja - ayat, sajak, pantun, syair,.. apa sahajalah yang boleh difikirkan. Temanya - Pengorbanan Cinta. Dalam erti kata lain, kalian boleh share tafsiran pengorbanan cinta kalian ke,..cerita-cerita dan pengalaman ke,...terpulang. Tinggalkan hasil kreativiti kalian di ruangan komen sebelum Isnin, 10 November, 12.30 tengah hari. 'Komen-komen penyertaan' akan saya approve selepas tu  :)

Selamat mengasah minda kreatif!

Psttt! Klik pada pautan 'bila masih di langit' di atas. Baca komen terkini daripada Sis JM ;)



Khamis, November 06, 2014

Urap Pegaga

Assalamu'alaikum! Selamat Pagi Khamis! Cepat betul masa berlalu...sedar-sedar dah nak hujung minggu. Minggu pertama November pun dah nak habis. Bagaimana November kalian setakat ni? Oh, semalam 'tuai' pegaga dari taman herba saya. Banyak jugalah yang dapat! Ada kerisik kering dalam peti sejuk. Apa lagi,...saya buat urap! Jamu mata dulu ye...Insya Allah petang nanti saya sertakan resepinya.

Urap Pegaga
Kemas kini 5.07 petang. 
OK. Jom intai resepinya!

Resepi Urap Pegaga 

Bahan-bahan:
  • 2 - 3 genggam/ikat daun pegaga (dibersihkan)
  • 1/4 - 1/2 biji kelapa parut yang disangai terlebih dahulu (Saya gunakan stok kerisik kering yang ada.)
  • 3 biji bawang merah  (mayang)
  • Halia lebih kurang sebesar ibu jari (hiris halus memanjang)
  • 7 tangkai cili padi (hiris). Kalau tak makan pedas, boleh kurangkan atau tak perlu letak langsung.
  • sedikit serbuk kunyit
  • sedikit garam
  • sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara:
  1.  Tumiskan bawang merah, belacan dan halia hingga naik bau. Tambahkan sedikit serbuk kunyit.
  2. Masukkan daun pegaga. Masak hingga daunnya layu.
  3. Masukkan kelapa parut dan cili padi. Kacau hingga semuanya sebati. Perasakan dengan garam.
  4. Sedia untuk dihidang!




Selasa, November 04, 2014

Rude - Magic! (Easy Guitar Chords)

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Rude - Magic! (Easy Chords)


*Capo on 6th fret

C D Em 
Saturday morning jumped out of bed
Em
and put on my best suit
C D Em
Got in my car and raced like a jet,
Em
all the way to you
C D G Em
Knocked on your door with heart in my hand to ask you a question
C D G Em
Cause I know that you're an old fashioned man yeah yeah

C D
Can I have your daughter for the rest of my life?
G Em
say yes, say yes, Cause I need to know
C D
You say I'll never get your blessings till the day I die
G Em
Tough luck my friend but the answer is no!

(Chorus)

C D G Em
Why you gotta be so rude? Don't you know I'm human too
C D G Em
why you gotta be so rude I'm gonna marry her anyway
C D
marry that girl (marry her anyway)
G Em
marry that girl (yeah no matter what you say)
C D
marry that girl (and we'll be a family)
G Em C D G Em
Why you gotta be so rude


C D Em
I hate to do this, you leave no choice
Em
I can't live without her
C D Em
Love me or hate me we will be boys
Em
Standing at that alter
C D G Em
or we will run away to another galaxy, you know
C D G Em
You know she's in love with me, she will go anywhere I go

Repeat (Chorus)


I don't dance, I balter,...

Baru-baru ini saya berbual dengan seorang teman lama. Catching up. Exchange notes. Tiba-tiba kawan saya soal, kau pandai menari tak? (Tak perlu tanyalah macam mana topik ni boleh muncul Hahaha!)

Dengan cepat, laju dan yakin saya geleng kepala!

"I don't dance! Aku tahu lompat-lompat dan loncat-loncat bila excited je." 

Masa saya jawab tu, saya terfikir,...hmmm, tak ada ke perkataan khusus (dalam BM atau English) yang boleh gambarkan perbuatan menari suka-suka tanpa proper steps or skills?

ADA! Memang ada! Hari ni kita belajar perkataan baru ye. Semalam baca novel, jumpa perkataan ni.
Credit

Inilah yang kita cari! So, bolehlah saya rephrase ayat saya...

I don't dance, I balter



Isnin, November 03, 2014

'Rumah untuk Along' dah jadi,...

Hmm,..siapa yang baca entri saya minggu lepas sure dah tahu apa bendanya 'Rumah untuk Along' ni. Kotak berbentuk rumah yang berisi biskut mentega pemberian adik ipar saya. Cantik sangat kotaknya! Sayanglah kalau nak recycle. Lagi sayang kalau simpan dan dibiarkan berhabuk begitu je. Jadi, saya dapat idea untuk jadikan rumah ni sebagai 'display board'. Untuk apa?




...
...
...
...

Tattadaaaaaa!

'Rumah untuk Along' dah jadi 'Rumah untuk Fridge Magnets Along' :)
 Saya gunakan magnet bulat yang agak kuat untuk 'pegang' fridge magnets tempatan koleksi saya dari dalam. Then, rumah ni diletakkan di atas meja kopi sebagai perhiasan. Awas! Kalau ada anak-anak kecil, tak sesuai langsung buat begini. Nanti rumah ke mana, magnet ke mana,...

Bahagian tepi kotak.

Bahagian tepi kotak yang tertera ingredients saya tampal dengan kertas berwarna. Ruang kosong boleh tampal kertas Post-It untuk kacau atau sakat Cekebon! Bumbung rumah tu boleh diangkat dan di dalamnya saya simpan lebihan 'fridge magnet'. Nanti, bila dah boring boleh tukar kepada yang lain.

Tetamu Hebat Oktober

Happy Monday! Selamat Memulakan Minggu Baru! Saya mulakan entri minggu ni dengan Senarai Tetamu Hebat Oktober. Tetapi, yang tak masuk senarai jangan tersinggung pula. Kalian tetap dihargai tau! Tunggu sahaja saya datang bertamu. OK, 10 pengomen tegar untuk bulan lepas ialah,...


Mereka Tetamu Hebat Oktober ;)

Terima kasih banyak-banyak kerana rajin singgah, baca entri-entri di FAMF Tower dan tinggalkan komen-komen best! CT dear, please email address pada akak ye. Ada tanda ingatan buat si pemilik takhta :) Jom terjah blog mereka sekarang!




Aina Akmal









Ahad, November 02, 2014

DIY Cork Notice Board - Progress #2

DIY Cork Notice Board - Progress #2

Balik outing tadi sempat tambah wall decoration. Kononnya nak kasi naik seri.

Cork boards dengan wall decoration :)

Haaa, lepas ni dah bolehlah saya hias board ni sikit demi sikit. Slow slow, bergantung pada mood dan masa senggang yang ada  :) Kalau saya rajin, saya akan upload progressnya lagi. Tapi, kalau sifat M tu menebal, saya kongsi apabila dah betul-betul siap ye.


Jom Nasi Liwet!

Happy Sunday! Hari ni saya sediakan Nasi Liwet Sunda untuk lunch! Kebiasaannya nasi liwet dimakan dengan lauk ayam bakar, sayur asem, tauhu dan tempe goreng. Tetapi, hari ni nasi liwet saya bukan versi yang complete. Akan disajikan dengan ayam goreng sambal hijau (intai resepi mudahnya di sini) dan rendang paru. Yang ini Cekebon order daripada kawan dia. Saya merendang once in a blue moon je ;)

Nasi liwet baru lepas karih.

Nasi liwet ni sebenarnya lebih kurang macam nasi lemaklah cuma rasanya lebih enhanced sebab kita tambah daun salam, bawang putih dan bawang merah. Aroma nasi ni,...fuhhhhh! Nak cuba? Moh, resepi ada kat bawah ni.

Resepi Nasi Liwet Sunda

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 3 cawan beras (lebih kurang 450g)
  • 1 kotak santan 200ml (Saya gunakan Ayam Brand yang fat trimmed tu) + dengan air yang menepati sukatan beras
  • 4 helai daun salam
  • 3 batang serai (diketuk)
  • 3 siung bawang putih (mayang)
  • 3 biji bawang merah (mayang)
  • secubit garam (jangan terlalu banyak kerana kita akan ada rasa masin ikan bilis)
  • segenggam ikan bilis (goreng rangup, tumbuk kasar)

Cara penyediaan:
  1. Cuci beras, masukkan santan dan tambah air.
  2. Sesetengah cara memerlukan bawang putih, bawang merah, daun salam dan serai ditumis dengan sedikit minyak terlebih dahulu. Barulah dimasukkan ke dalam periuk bersama beras. Tetapi, saya tak tumis. Saya masukkan je semua bahan-bahan tadi (kecuali ikan bilis) ke dalam periuk nasi.
  3. Karih nasi apabila air dah mula kering. Saya biasanya akan tambah sedikit air supaya nasi lebih gebu, biarkan buat beberapa ketika hingga nasi masak dan betul-betul kering.
  4. Semasa nak hidangkan nasi, tabur/gaul ikan bilis yang ditumbuk kasar. Kalau tak ada ikan bilis, boleh juga tukar dengan ikan masin/ikan kering.

Nak cari resepi yang sesuai makan dengan nasi liwet? Cuba Semur Ayam dan Sambal Lonte ni :)

Nota Senyum: Sorry, tak ada gambar nasi liwet yang proper. Saya kena gegas keluar selepas ni. Enjoy the rest of your day!

Sabtu, November 01, 2014

Dah Naik Dah! (DIY Cork Notice Board - Progress #1)

Salam 1 November! Mudah-mudahan bulan 11 ini lebih baik, lebih happening dan janjikan sesuatu yang lebih indah buat kita semua :)

Apa yang dah naik? Nak cerita ni, cork boards saya dah 'naik dinding' :)  Semalam Bott tanya nak buat apa dengan cork boards tu. Dengan excited saya cerita, "Bloggers' Board! Itu projek bulan sebelas nanti..."

Then, Bott tanya balik, "Bukan esok dah bulan 11 ke?"

Erkk?! Time tu jugak saya masuk bilik kraf dan tampal 4 keping cork boards saya. Entah kenapa rasa macam bulan 10 panjang lagi hehehe. So,...Tattadaaaaa!

Add caption

Apa kecoh sangat pasal board ni? Hmmmm, boleh baca di sini dan di sini.


Selamat Berhujung Minggu! Have a spectacular weekend!


Jumaat, Oktober 31, 2014

Hafiz Hafizol Paling Kreatif

Ini entri sambungan Jom Cuba Nasib - Bila Masih di Langit. Hari Selasa, saya kongsi search keywords Nuffnang yang saya rasa menarik. Kemudian, saja-saja ajak kawan-kawan yang berminat untuk cuba buat ayat menggunakan 'bila masih di langit' (ambil dari search keywords tersebut). Tak sangka tau,..yang ambil bahagian bukan main lagi berbakat! Puitis,..bermadah pujangga! Jangan lupa intai entri di atas untuk baca ayat-ayat mereka. 

...dan ini ayat ciptaan pemenangnya!

Minta ayat, dapat sajak tau!

Tahniah Hafiz! Tepuk tangan sikit :)
Nanti tolong emelkan alamat surat menyurat pada akak ye - faidamf[at]gmail.com.

Tahniah juga buat Acik Watie, Scha, CT Humairah dan aRz Moha yang sporting! Kalian memang best!!





Khamis, Oktober 30, 2014

Beli Rumah untuk Along

Comel tak rumah ni?

Butter Cookies
Ini ole-ole daripada adik ipar saya, Dhila. Semasa sedang tunggu flight dari Bangkok ke Kuala Lumpur, she came across this adorable box of butter cookies. Adik ipar saya ni antara insan terdekat yang betul-betul memahami minat saya dalam kraf. Kalau jumpa gambar benda-benda yang crafty di internet, dia akan forward pada saya. So, bila dia nampak kotak biskut comel ni, terus dia beli!

"Beli rumah untuk Along. Kotak ni along boleh guna untuk kraf!"

So sweet! Thanks so much, Dhila! Gumbira hati Along dapat rumah sebijik! Dua tingkat lagi! Bumbung tu boleh diangkat. Saya dah dapat idea nak buat apa dengan kotak ni. Projek hujung minggu. Tunggu ye!


Update

Rumah untuk Along dah jadi! Lihat hasilnya di sini :)

Mbak, biar kita bantuin!

Petang semalam, saya ada home tuition. Rumah pelajar saya sedang buat construction di bahagian luar dan dapur. Rasanya dah nak masuk bulan ke-2 dah. So, saya biasalah terserempak dengan pekerja-pekerja yang buat pembinaan setiap kali ke sana.

Nak dijadikan cerita, semalam entah apa masalahnya kekisi pintu utama rumah jammed. Tak boleh bukak! Puas saya dan student main tolak tarik. Seorang dekat luar seorang dekat dalam. Muka student saya dah berubah dah. Parents tak ada. Kerja. Tak kan nak belajar kat depan pintu pulak! Ada satu lagi pintu di dapur. Tetapi tak boleh nak lalu sebab barang-barang constructions semua penuh dekat situ. Mati akal saya sekejap. Kalau ikut hari biasa, boleh je batalkan kelas. Tetapi, budak ni tengah exam...

"Mbak, biar kita bantuin." 

Rupa-rupanya salah seorang pekerja terperasan masalah yang kami hadapi. Masa dia cakap tu, saya ingat dia nak tolong tarik pintu ke,..cuba letak minyak dekat engsel ke,..Then, saya dengar dia cakap kat pekerja-pekerja yang lain...

"@#g*!...(tak dapat tangkap dia cakap apa) ...pintu....@$*wd@ bla..bla..bla.. cikgunya mau mengajar nih!"

Kemudian, saya nampaklah beberapa orang pekerja lain bergegas ke sana ke mari. Diorang buat apa? Pintu ni bila nak tolong tengok?

"Mbak, silakan!" 

Saya pandang anak murid saya. Anak murid saya pandang saya. Dalam keadaan clueless, saya pun ikutlah pekerja tu ke bahagian belakang rumah. Terus saya ternganga! Mereka siapkan laluan untuk saya! Bayangkan,..mereka susun kampit-kampit simen dan kemudian letak papan supaya saya boleh meniti dan masuk ikut pintu dapur! Saya tak tahulah lebar mana saya senyum sebab impressed tengok titi saya. Rasanya berbuih mulut jugaklah saya cakap terima kasih.

Dan bertitilah saya atas papan dan simen tu,...nervous sebab saya ni clumsy. Dapat pulak berpasang-pasang mata tengah pandang,..silap perhitungan ada gempa bumi kecil pula yang berlaku! Alhamdulillah! Selamat sampai ke pintu!

Nota Senyum: Tahun ni banyak pengalaman manis masa mengajar!Oh, hari ni hari terakhir untuk cuba nasib dengan 'Bila Masih di Langit' :)

Rabu, Oktober 29, 2014

Dahsyat Betul Mommy-to-be yang Seorang Ini!

Bukan main lagi tau Ayu ni! Tengah-tengah sarat rajin blogwalking lagi. Oh, Ayu sekarang dah joined group komen pukat tunda jugak yea :)  Masuk blog, baca komen yang nak kena approve dan sebahagian besarnya daripada Ayu. 23! Kagumlah. Pakai bateri apa, dik? Energizer? Duracel?

Antara komen-komen Mommy-To-Be yang berseri-seri ni :)
Jom kita jengah blog Ayu pula!

Thanks so much, dik! Sudi luangkan masa baca entri dan tinggalkan jejak di blog akak. Please jaga diri dan rehat cukup-cukup. Di kesempatan terluang ini, saya dengan penuh takzim nak ucapkan terima kasih kepada seketumbukan tentera dan pasukan nelayan pukat tunda yang selalu ledakkan bom serta tinggal komen pukal di FAMF Tower. You know who you are hehehe cuma sebelum ni saya tak sempat buat entri tentang kalian ;)

Ooops! Kejap kejap! Ada lagi,...tidak lupa juga rakan-rakan blogger yang lain yang sudi datang intai-intai, jeling-jeling, singgah dan tinggalkan komen (yang tak tinggalkan komen pukal pun saya hargai tau!) Merci! Your simple gestures always make me smile!


Psst! Sempat lagi cuba nasib --> 'Bila Masih di Langit' Saya sediakan hadiah untuk anda :)



Selasa, Oktober 28, 2014

Cork Boards Sudah Tiba!!!

Ingat tak entri saya sebelum ini tentang poskad dari Jerman? Sudi-sudikanlah baca di sini. Disebabkan poskad titipan Aisya yang sangat thoughtful tu, saya dapat idea nak buat board khas,...ala-ala notice board khusus untuk letak kad/kad nama/penanda buku/fridge magnets dan tanda-tanda ingatan lain daripada teman-teman dunia blogging.

Hari ni, cork boards yang saya nak gunakan untuk projek board saya dah sampai! Minta tolong kawan belikan. Dua tiga minggu ni agak sibuk, tak sempat ke kedai jual peralatan kraf. 

Tattadaaaaaa!

Cork Boards
Ada empat keping semuanya. Tetapi, saya tak bercadang nak hias board ni dalam jangka masa terdekat! Insya-Allah, apabila sudah ada progress, saya akan update :)


Psst! Sempat lagi cuba nasib --> 'Bila Masih di Langit' Saya sediakan hadiah untuk anda :)


Jom Cuba Nasib - Bila Masih di Langit

Assalamu'alaikum. Selamat Pagi! Checked akaun Nuffnang dan intai-intai keywords. Cuba tengok kat bawah ni,...

Keywords hits

Guitar chords and crafts tu biasalah. Apa yang buat saya tersenyum ialah phrase 'bila masih di langit' tu. Menarik pulak! Boleh buat tajuk lagu atau tajuk novel gitu! Hmmmmm,...(urut-urut dagu sebab kononnya dapat idea!) OK, kalau minggu lepas kita main teka-teki, (jemput baca di sini), minggu ni kita sambung-sambung ayat pula nak?!

Mari! Mari! Mari! Saya tahu ramai yang berbakat menulis di luar sana. Jadi, apa yang perlu kalian lakukan ialah lengkapkan frasa 'bila masih di langit' menjadi satu ayat yang paling kreatif! Ya, paling kreatif!

'bila masih di langit' perlu ada dalam ayat. Boleh pilih sama ada nak letak di
  • Pangkal ayat- 'Bila masih di langit,...'
  • Akhir ayat- '...bila masih di langit.' ataupun
  • Pertengahan ayat - '... bila masih di langit ...'
Nak guna tiga-tiga sekaligus pun boleh!

Tak perlu buat entri di blog kalian. Saya bukan buat segmen atau GA :) Suka-suka je nak interact dengan rakan-rakan yang rajin singgah di blog. Tinggalkan ayat di ruangan komen. Kali ni kita buat lama sikitlah - sehingga pukul 11.59 malam, Khamis, 30 Oktober 2014. OK?

Seperti sebelum ini, komen-komen 'penyertaan' akan saya approve selepas semuanya tamat! Biar suspen sikit. Selamat Mencuba! Ada hadiah untuk pencipta ayat terbaik!

Nota Senyum: Hadiah untuk Acik Watie & Amy J tak hantar lagi. Busy dengan kerja translation pula. Jadi, tak dan nak ke pejabat pos! Saya hold dulu ye...hantar sekali dengan yang ini nanti.


Kord Gitar Malaikat - Hazama

Simpler version of Malaikat by Hazama.

*Tan, best of luck for your show! Break a leg!

Kord Gitar From FAMF Tower


Kord Gitar dan Lirik Lagu Malaikat - Hazama


(Chorus)
C E
Tuhanku Kamu tolonglah hantarkan kepadanya
F D E
Malaikat untuk jaganya bila ku tiada
Am C
Tunaikan semua permintaannya kerna
F Fm
Ku cintanya sungguh-sungguh


C
Pagi petang berlumba
G
Terkejar-kejar masa
Bb F
Cuba bina istana untuk hidup bersama
C
Berkelip-kelip mata
G
paksa diri bekerja
Bb F
Tapi lebih ku rela lihat senyumanmu


Am G
Ini sahaja ku mampu demi menjaga kamu
F Ab
Ku tambahkan satu doa untuk kamu


Ulang (Chorus)

C
Lewat ku menyedari
G
kini ku menghadapi
Bb F
Segala yang ditakdirkan untuk hidupku
C
Maafkanlah diriku
G
kerna melukakanmu
Bb F
Terpaksa ku melangkah pergi meninggalkan kamu


Am G
Ini sahaja waktuku di dunia menjagamu
F Ab
Ku tambahkan satu doa untuk kamu


Ulang (Chorus)

Am G
Sampaikanlah rinduku padanya
F Am
Agar dia sentiasa sempurna
F C
Bawalah cinta kita
F Fm
Terbang bersama ke syurga


Sabtu, Oktober 25, 2014

Keringkan Thyme Pula

Hari ini hampir seharian di luar. Outing dengan family kecuali Cekengah yang sekarang ni tengah sambut Diwali di bumi India :) Dah balik, sempat lagi melawat taman herba. 'Tuai' thyme. Nak dikeringkan. Sebelum ni saya pernah keringkan daun pudina. Ingin tahu caranya? Jemput baca di sini :)

Thyme. Sesudah dibasuh. Nak diikat untuk dikeringkan.


Insya Allah, esok saya jalan-jalan ke blog kalian. Dah bookmarked dan buat senarai lagi! Hari ni agak letih. Mata dah ruyup! Selamat Malam!


Jumaat, Oktober 24, 2014

Jom Cuba Nasib - Cikgu, kenapa siput babi jalan lambat?


Kebiasaannya, sebelum memulakan kelas bersama si cilik, mereka yang sampai awal ke kelas akan berkerumun depan meja saya. Sambil perhatikan saya asingkan buku, potong kertas, sediakan bahan mengajar,...akan ada segmen teka-teki. (Haa,...jangan ingat blog aje yang banyak segmen!) Mereka akan tanya teka-teki, saya akan cuba jawab. Tiap-tiap hari macam tu. Banyak betul teka-teki yang budak-budak ni tahu!

OK. Teka-teki ini malam tadi punya.

Kenapa siput babi jalan lambat?

Siapa nak jawab, jawab cepat! Nak buat interesting sedikit, siapa yang pantas menjawab akan dapat 'something' daripada saya. Tetapi, ada twistnya di sini. Selain jawab teka-teki tu, kalian kena guna daya fikir sendiri untuk kaitkan rasionalnya dengan kehidupan kita. Dalam erti kata lain, explain dulu kenapa si siput babi ni jalan lambat. Then, gunakan jawaban anda untuk tunjukkan bagaimana it can be reflected to our lives. Faham tak? Gunakan kreativiti kalian. Jangan copy paste dari blog lain pula ye.

Nyatakan jawaban dan pandangan kalian di ruangan komen di bawah. To be fair, saya tidak akan approve sebarang komen sehinggalah pukul 11.59 malam nanti :)

Jumpa nanti selepas kelas-kelas saya tamat!



Khamis, Oktober 23, 2014

Kebabommmm! Nur As, ekau buek apo nih?

Hahaha jangan panik! Adik Nur As kita ni tak buat apa-apa. Tak buat apa-apa! Cuma dia tinggal komen pukal je,...Fikir jap....Ermmm, rasanya istilah 'komen pukal' is an understatement. Tak sesuai! Ni dah masuk kategori ledakan komen. Pakai explosives gitu. Kebabommmmmm!!!

Malam tadi, dengan mode anak dugong kenyang (pergi open houselah katakan,..), saya sempat terjah beberapa blog rakan-rakan. Lambatlah juga masuk tidur. Buka blog pagi tadi, terbuntang mata saya sekejap. 44 komen?! Bukan sebelum bobok dah approved semua komen ke? 

Daripada 44 komen tu, 42 daripada Nur As! Rupa-rupanya by the time saya logged out, Nur As datang meninggalkan jejak. Tak cukuplah! Meninggalkan jejak-jejak, footprints, paws,...

Sebahagian kecil daripada komen-komen cik adik ni.

Terima kasih banyak-banyaklah, dik! Kunjungan dan setiap komen Nur amat akak hargai. Sayang sikit! Mmmuaaaahhhhhh! Harap tidur malam tadi tak ngigau sesat dalam tower akak ;)

Nota Senyum: Nantikan akak datang ketuk pintu. Tapi, kalau nak bagi komen sebanyak ini, tak mampu kot. Awal-awal akak kena angkat bendera putih. Line broadband ala-ala 'snail-swine' (translate sendiri ye..hehehe). Mau makan tiga hari tiga malam tu!

Rabu, Oktober 22, 2014

Happy Diwali, Cuti dan Tortina,..

Selamat pagi! Selamat bercuti semua!
Hari ini buka mata jadual saya dah bersusun-susun!

...breakfast & gathering dengan family

...edit 3 bab terakhir manuskrip (Bunyi macam simple tapi bila tinggal 3 chapters nilah penyakit malas saya semakin menebal!)

...siapkan tempahan kad ucapan
Saya kena buat personalised invitation cards untuk 30 orang.

...hadiri beberapa open house kenalan yang sambut Deepavali.


Insya-Allah, kalau saya tidak terlalu kenyang (nampak tak ada niat nak makan banyak tu ahaks!) hari ini saya akan balas komen-komen dan singgah Deepavali ke blog kalian. Akan ku gagahkan jua walaupun sekarang ni mood blogwalking agak merudum. Musim line menyiput!

Loacker Tortina
Ini untuk umpan diri. Bott tengah simpan tortina ni jauh-jauh daripada saya. Saya akan dapat makan as rewards hanya setelah saya berjaya sudahkan kerja editing by the end of the day. Semangat! Semangat! Tolong doakan tortina ni jadi milik taste-buds saya hehehe ;D

Ta Ta Ti Ti Tu Tu!

Selasa, Oktober 21, 2014

Resepi Mudah: Kentang Bakar Mustard

Satu lagi resepi berasaskan kentang. Mustard Baked Potatoes. Sedap tau! Nak cuba? Silakan. Boleh pakai sebarang jenis sos mustard yang kalian ada di rumah. Tidak kiralah yellow mustard ke... honey mustard ke... dijon mustard...apa sahaja pun boleh.


Bahan-bahan untuk kentang bakar

Kentang dibasuh bersih-bersih, dibelah kemudian direbus. Jika tidak mahu rebus dahulu pun tak mengapa, tetapi nanti kena bakar lama sedikit.


Sedia untuk dibakar.

Pastikan ketulan kentang tidak bertindan. Bakar pada suhu 230 darjah celcius selama 30 minit.


Hidangan kentang bakar mustard.


Dah siap! Jemput makan!

Isnin, Oktober 20, 2014

Bukan Hadiah GA Tau!

Tengah hari tadi, saya terima kunjungan daripada Aunty N, kenalan lama Cekebon saya. Dah lama tak jumpa Aunty N. Anak-anak aunty N ni semua merasa belajar dengan saya. Sekarang dah besar-besar, dah kahwin dan berkeluarga. (Aikk,..apsal tiba-tiba rasa diri macam dah tua bebenar nih?) Anak gadisnya yang bongsu, Dihah (sekarang Tingkatan 2) paling lama berguru dengan saya. Tuisyen kat dewan,..home tuition,..group tuition semua dia pernah rasa heheh.

Aunty N dan keluarganya sangat mesra dan friendly. Bayangkanlah jika saya datang mengajar si bongsu di rumah mereka, ada sahaja yang dibekalkan untuk dibawa pulang. Sekiranya ketika itu ada ahli keluarga yang masak sesuatu di dapur, saya akan turut dapat share semangkuk/sepinggan. Sampai naik segan pula saya tengah-tengah mengajar disajikan dengan makanan. Paling tidak, akan ada air panas yang disediakan buat saya ("Sebab Teacher asthma, elok untuk dada."). Touching, kan?!

Hari ini, Aunty N datang bukan dengan tangan kosong. Aunty N bawa nasi lemak kegemaran saya (Aunty N memang pandai masak!) dan hadiahkan saya sepasang kain potong.

Warna kegemaran saya!
Gembira+teruja+tersentuh dapat hadiah! Alhamdulillah. Terima kasih, Aunty N. Thanks so much,  Dihah. Susah-susah je belikan saya hadiah. Rasanya sepanjang mengajar anak-anak Aunty N, dah macam-macam hadiah saya terima. Malah dah beberapa tahun jugalah saya tak perlu risau fikirkan baju/tudung raya dek kerana pemberian-pemberian Aunty N. Hanya Allah dapat membalas kebaikan dan keluhuran budi kalian. Semoga Allah memurahkan rezeki Aunty N dan keluarga, mengurniakan mereka dengan kebahagiaan berpanjangan dan kehidupan yang penuh barakah.




Sabtu, Oktober 18, 2014

Khabar dari Jerman

Terharunya saya tidak terkata! Beberapa hari lepas, terima poskad daripada Aisya Ibrahim, salah seorang kenalan blogger yang kini sedang menuntut di Germany. Sebelum ini, Aisya memang dah pernah minta alamat untuk hantar poskad sebagai tanda ingatan. Sweet kan?!

Poskad daripada Aisya :)
Tersengih-sengih saya apabila tengok surat-surat di atas meja, ada terselit sekeping poskad cantik. Makin lebar senyuman sebab dapat setem dari Jerman!

Nampak tak setem bunga tu? Heheh

Thanks so much, Aisya! Memang gembira sangat terima poskad daripada Aisya. Tak perlu hadiah besar-besar, dik. Persahabatan ini dah cukup bermakna. The thought that counts. Really appreciate this! Disebabkan poskad dan setemnya cantik (sayang akak nak tanggalkan setem tu huhuhu), jadi akak display poskad Aisya dekat Reminder Board di bilik kraf. Taddaaaaaa!

My Reminder Board
Bagi yang belum mengenali Aisya, mari terjah blog anak rantau yang seorang ni. Bersedia untuk senyum dan ketawa membaca setiap coretan perjalanan hidupnya di sana.

Nota Senyum: Dapat idea untuk projek kraf seterusnya. Saya nak buat satu board khas untuk display business cards, bookmarks, cards and mementos daripada rakan-rakan blogger. Ala-ala murder/investigation board gitu. Tiap-tiap hari boleh tengok dan senyummmmmm.

I am not fat,..I am zaftig!

Salam Hujung Minggu!
Pstt! Ini bukan e-novel tau! Hehehe...


Lewat malam tadi, saya terima panggilan daripada Kak Sal, salah seorang kenalan saya. Kenapa Kak Sal telefon malam-malam buta ni? Cepat-cepat saya angkat. Mana tahu ada sebarang kecemasan ke.

"Ko tak yah nak buat suara orang mengantuk tu, Paghah! Burung hantu macam ko mana tido lagi time-time ni!" Sergahan Kak Sal buat saya terus celik mata. Of all the nights, kenapa lah akak pilih time saya ngantuk dan bobok awal?

"Ada apa, kak?" Macam cemas je suara.

"Ingat tak dulu ko penah ajar akak satu perkataan tu..."

"Perkataan apa?" Aduhai, kak! Saya mamai lagi ni. Bagilah klu terperinci sikit.

"Alah, perkataan lain untuk describe orang tu gemuk ke,..berisi ke,..tapi yang sopan sikit."

"Plump? Chubby?"

"Bukan! Ini bukan word biasa! Bunyi dia macam zigzag...zagig..."

"Zaftig?"

"Haaaaa! Zaftig! Maksudnya berisi kan?"

"Lebih kuranglah, perempuan yang berisi, plump.  Tapi ni slang. Perkataan tak formal tau! Akak nak buat apa guna 'zaftig'?

"Aahhhh, tak kisahlah formal ke idak! Berat badan akak naik,  Paghah! Pipi ni pun makin tembam. Nanti bila abang Zek (suaminya) tegur, akak nak cakap,...

I am not fat! I am zaftig!

Saya terdiam sekejap. Lepas tu tergelak besar tak henti-henti! Baik punya defence

Nota Senyum: Hari-hari yang saya lalui mungkin biasa sahaja. Nothing extraordinary. Tetapi saya ada insan-insan seperti Kak Sal yang buat hidup saya lebih berwarna.


Jumaat, Oktober 17, 2014

Buku Skrap Mini yang Comel!

Baru-baru ni pergi DAISO. Tengok apa saya jumpa!


Mini scrapbook! Saiznya 17cm x 17cm. Spiral binding. Cover luarnya keras. Lembaran halamannya guna cardstock yang agak berkualiti. Tinggal nak masukkan contents dan hias apa yang patut. Terus saya rembat beberapa buah. Bagi saya, buku skrap mini seperti ini sesuai untuk buat Travel Scrapbook. Maknanya 1 destinasi percutian, 1 buku. Buatlah beberapa buah. Ala ala set buku cerita percutian kalian. Then, boleh susun cantik-cantik bersama koleksi album keluarga. 

Bagi yang baru nak berjinak-jinak dengan scrapbooking, buku mini ini amat convenient dan sesuai untuk kalian. Tak adalah pening kepala fikir macam mana nak hias satu muka surat besar. RM5 untuk buku skrap ini? Sangat berbaloi-baloi!


Psst! Saya tak sempat blogwalking dua tiga hari ini. Ada beberapa urusan penting yang perlu diselesaikan. Maaf ya. Insya-Allah, akan gagahkan diri curi-curi masa untuk datang berkunjung dan tinggal jejak once semuanya selesai :)


Khamis, Oktober 16, 2014

Resepi Mudah - Ikan Bilis Air Asam

Mari! Mari! Mari! Siapa-siapa yang suka makan ikan bilis tu, jom cuba buat resepi ni. Sangat mudah untuk disediakan. Wajib buat dalam portion yang besar sebab takut berebut apabila makan ramai-ramai hahaha!


Ikan Bilis Air Asam


Resepi Ikan Bilis Air Asam

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Segenggam atau dua ikan bilis (buang kepala dan bersihkan)
  • 1 labu bawang besar (dimayang)
  • 3 batang cili hijau (hiris serong)
  • 7 batang cili api (hiris serong) *Kalau tak makan pedas, jangan letak.
  • 1 cawan air asam jawa
  • garam secukup rasa
  • Minyak masak secukupnya

Langkah-langkah:

  1. Panaskan minyak, goreng ikan bilis sehingga rangup. Ketepikan.
  2. Tinggalkan dalam lebih kurang dua sudu minyak. Tumis bawang besar, cili hijau dan cili api.
  3. Masukkan air asam jawa. Jangan terus tuang semua. Agak-agaklah kemasamannya. Perasakan dengan garam. Biarkan hingga mendidih. Siap dah!
  4. Untuk kekalkan kerangupan ikan bilis, masukkan ikan bilis ke dalam kuah asam hanya apabila lauk sedia untuk dihidangkan.

Pertama kali saya cuba resepi simple ni. Best sangat! Licin-licau! Selama ni kalau buat ikan bilis goreng, saya tidak letak air asam jawa. Hanya tumis dengan bawang besar dan cili hijau je. Nanti kalau dah cuba, jangan lupa kongsi pendapat kalian di sini ye!